Pengasuhan Positif

Masalah Cirit-Birit

Ramai bayi dan kanak-kanak akan mengalami masalah cirit-birit pada suatu peringkat umur. Ia biasanya bukanlah satu penyakit yang serius dan boleh dirawat di rumah. Punca cirit-birit akut yang paling lazim ialah gastroenteritis virus, di mana perut dan usus mengalami keradangan disebabkan oleh sejenis virus yang dipanggil Rotavirus.

Menurut satu kaji selidik yang dijalankan di seluruh negara baru-baru ini, virus ini merupakan punca utama serangan cirit-birit yang teruk yang menyebabkan lebih daripada 2686 kes cirit-birit di kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Malah, dua orang bayi yang berumur 2 dan 10 bulan, telah meninggal dunia daripada jangkitan Rotavirus yang berlaku di Perak pada awal bulan Februari tahun ini.

Virus ini boleh menyebabkan kematian jika gejalagejalanya tidak diurus dengan baik. Ketahui cara-cara untuk mengenali dan merawat gejala-gejala ini sebelum berlakunya sebarang komplikasi yang selanjutnya.

Pengesanan awal

Ia adalah biasa kanak-kanak yang dijangkiti cirit-birit mengalami peningkatan dalam kekerapan membuang air besar, iaitu dua kali lebih kerap daripada biasa dalam sehari. Ini mungkin diikuti dengan kekejangan, sakit perut dan pergerakan usus yang tidak terkawal. Jika cirit-birit berlarutan melebihi dua hari, anak anda berisiko untuk mengalami dehidrasi, yang boleh membahayakan kanakkanak yang mempunyai sistem imun yang lemah. Berikut adalah tanda-tanda lazim cirit-birit yang menunjukkan dehidrasi dan perlu diambil ke doctor:

  • Kelesuan atau meragam
  • Demam tinggi
  • Lampin tidak basah untuk 3 jam atau lebih (bagi bayi)
  • Tiada air mata apabila menangis
  • Mata cengkung
  • Fontanel yang cengkung (bahagian lembut pada kepala bayi)

Dapatkan nasihat perubatan dengan segera jika anda perhatikan kehadiran darah dalam najis.

Pencegahan!

Jangkitan Rotavirus sangat mudah berjangkit. Kanakkanak boleh menyebarkan virus tersebut apabila mereka terlupa untuk membasuh tangan sebelum makan atau selepas menggunakan tandas. Rotavirus boleh bertahan selama beberapa hari pada permukaan yang keras dan kering, dan ia boleh hidup selama berjam-jam di tangan manusia. Walaupun tidak terdapat rawatan yang spesifik untuk rotavirus, berikut adalah beberapa cadangan untuk mencegah jangkitan virus di rumah.

  • Amalkan kebersihan diri yang baik. Pastikan anda dan anak anda membasuh tangan dengan baik dan kerap, terutamanya selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
  • Pastikan bahawa anda menghidangkan makanan yang dimasak dengan betul dan hidangkan makanan sejerus selepas memasak.
  • Mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar dengan sebersih-bersihnya.
  • Lebih berhati-hati apabila anda membeli makanan dari gerai penjaja di tepi jalan.
  • Melatih anak anda supaya mengelakkan daripada minum air terus dari paip.

Vaksinasi – keputusan yang bijak

Oleh kerana peningkatan sanitasi tidak mengurangkan prevalensi penyakit rotavirus dan kadar kemasukan hospital kekal tinggi meskipun dengan penggunaan cecair rehidrasi oral, intervensi kesihatan awam yang paling berkesan ialah vaksinasi. Vaksin rotavirus boleh didapati sebagai vaksin pilihan di Malaysia. Vaksin adalah diberi secara oral, dalam 2 atau 3 dos bergantung kepada pengeluar vaksin. Vaksinasi hanya boleh diberikan kepada bayi yang berumur kurang daripada enam bulan.

Kadang-kadang, kejahilan adalah kebahagiaan, tetapi ia pasti bukanlah satu penyelesaian untuk mengatasi masalah rotavirus. Mencegah kejahilan merupakan langkah pertama untuk mengatasi masalah ini dan ia sepatutnya berlaku bukan hanya apabila orang yang kita sayangi dijangkiti rotavirus, sebaliknya ia harus menjadi satu proses yang berterusan untuk membantu meningkatkan kadar keseluruhan kelangsungan hidup kanak-kanak daripada penyakit cirit-birit.

Dapatkan rawatan

Proses perjuangan untuk mengatasi cirit-birit mungkin tidak selesa dan tidak menyenangkan, tetapi lazimnya ia tidak menjadi masalah bagi kanak-kanak yang sihat. Namun, jika anda tidak cukup teliti untuk menggantikan cecair badan yang hilang, anda mungkin akan merumitkan suatu situasi yang sepatutnya mudah sekali. Berikut adalah beberapa cara untuk memastikan anak anda sihat semasa cirit-birit:

  1. Menyusu bayi
    • Bagi bayi, susu ibu kekal sebagai pilihan yang terbaik. Ia adalah sumber pemakanan yang bersih dan mengandungi faktor antimikrobial yang boleh membantu meningkatkan sistem imun bayi anda. Jika anda sedang menyusu, terus berbuat demikian.
  2. Kekalkan hidrasi badan
    • Banyakkan minum air dalam jumlah yang sedikit tetapi secara kerap
    • Pastikan minuman anda sejuk dan menghirup cecair secara kerap dan bukannya meneguk satu gelas air sekaligus.
    • Beri anak anda Air Garam Rehidrasi (ORS) untuk menggantikan cecair dengan cepat jika anak anda boleh mengambilnya. Tanyakan doktor anda tentang jenis, jumlah dan tempoh yang harus diberi.
  3. Elakkan makanan berminyak
    • Apabila anda mengalami cirit-birit untuk jangka masa yang singkat, anda boleh menjaga diet anda dan pastikan ia hambar.
  4. Akhir sekali, banyakkan berehat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen