Asma telah, selama beberapa tahun, menjadi masalah kesihatan yang amat ketara dan malangnya telah berterusan sedemikian. Asma, penyakit paling lazim didiagnos dalam kanak-kanak turut merupakan penyakit bronkial yang paling kronik. Gejala-gejala asma boleh mengganggu kebolehan kanak-kanak yang menghidapi asma untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka. Secara amnya, serangan asma berlaku apabila seseorang itu mengalami serangan kesesakan nafas yang berulang dan berdehit akibat bengkak tiub bronkiol yang menyebabkan laluan udara sempit dan mengurangkan aliran udara yang masuk dan keluar dari paru-paru.
Jauhi pencetus-pencetusnya!
Faktor-faktor utama penyebab asma masih belum diketahui. Ia mungkin kombinasi faktor yang diwarisi secara genetik dan faktor persekitaran, atau salah satu daripada kedua-dua faktor ini yang bertindak secara berasingan. Apa yang pasti adalah serangan asma boleh berpunca daripada banyak pencetus. Pencetus-pencetus ini perlu dielakkan kerana boleh mengakibatkan reaksi alahan dan membawa kepada serangan asma.
Perengsa Asma!
Awasi bahaya-bahaya yang sering diabaikan kerana mereka boleh meninggalkan anda tercungap-cungap.
- Asap tembakau
- Jangkitan saluran pernafasan atas akibat virus
- Debu rumah, hama katil atau bulu, air kencing atau air liur haiwan peliharaan
- Wap, gas atau debu
- Debunga dan kulat
- Perubahan cuaca terutama sekali cuaca sejuk
- Bahan pencuci
- Reaksi alahan terhadap sesetengah makanan
Pelan tindakan
Walaupun asma tidak boleh disembuhkan, namun gejala asma anak anda masih boleh dikawal dengan perancangan dan pengurusan yang betul.
Satu pelan tindakan yang disediakan dengan kerjasama doktor anak anda boleh membantu anda dan anak anda mengurus serta mencegah serangan asma. Objektif pelan tindakan ini adalah untuk memaklumi ahli keluarga atau penjaga anak anda tentang apa yang perlu dielakkan bagi mencegah serangan asma, atau apa yang perlu dilakukan semasa serangan asma.
Pelan tindakan yang khusus untuk anak anda perlu mempunyai semua maklumat relevan dan penting jika berlaku kecemasan asma. Sebagai permulaan, berikut adalah satu senarai maklumat penting yang perlu disertakan dalam pelan tindakan anda:
- Semua pencetus gejala asma anak anda dan bagaimana untuk menjauhinya.
- Gejala asma yang biasa dialami anak anda seperti kesesakan nafas, batuk, berdehit dan sesak dada, serta apa yang perlu dilakukan jika ia berlaku.
- Nama dan dos ubat asma harian anak anda yang perlu diambil walaupun tiada gejala asma.
- Nama dan dos ubat pelega yang diambil anak anda apabila muncul gejala asma dan ubat penyelamat apabila mengalami serangan asma.
- Semua nombor telefon dan lokasi perkhidmatan kecemasan dan juga nombor-nombor telefon ahli keluarga yang boleh dihubungi semasa kecemasan.
- Beberapa arahan tentang bila perlu menghubungi doktor, siapa yang perlu dihubungi jika tidak dapat menghubungi doktor dan senarai lokasi di mana rawatan kecemasan asma boleh diperolehi dengan mudah.
Anak anda juga perlu mempunyai pengetahuan mencukupi tentang penyakit kronik ini dan ubatan yang terlibat untuk mengurus dan mencegah serangan asmanya. Duduk bersama anak anda dan terangkan kepadanya (bergantung kepada usia dan tahap pemahamannya) tentang asma dan kesannya. Latih dia untuk memantau dan mematuhi jadual ubat hariannya serta cara menggunakan ubat sedut dengan betul.
Semua kanak-kanak yang menggunakan terapi ubat sedut perlu menggunakan alat corong atau spacer yang tidak memerlukan kordinasi pernafasan, untuk pengambilan ubat yang lebih berkesan. Kanak-kanak kecil memerlukan alat corong dengan topeng muka (face mask) manakala kanak-kanak yang lebih besar pula boleh menggunakan alat corong dengan satu alat mulut (mouth piece). Terangkan kepada anak anda bahawa untuk menggunakan ubat sedut dengan alat corong secara betul, dia perlu:
- Goncangkan ubat sedut sebelum membuka penutupnya. Kemudian, sumbatkannya ke dalam alat corong.
- Kemudian, tekan ubat sedut untuk melepaskan kabus ke dalam alat corong dengan perlahan, dan tarik nafas sambil menekan ubat sedut bagi membolehkan kabus memasuki paru-parunya. Kemudian, dia perlu bernafas secara normal sebanyak 5-8 kali.
- Jika anak anda perlukan satu lagi dos sedutan, maka dia perlu tunggu seminit sebelum mengulangi teknik di atas.
- Ingatkannya bahawa ubat sedut dan alat corong mesti dijaga bersih dan kering (dicuci sekali seminggu).
Langkah-langkah ini perlu disertakan dalam pelan tindakan asma anak anda dan diedarkan kepada mereka yang menjaga anak anda, seperti guru atau penjaga.
Satu pelan tindakan asma yang mengenalpasti pencetus-pencetus dan pengesanan awal serangan asma boleh membantu mengurangkan risiko serangan asma anak anda. Rawatan awal menggunakan bronchodilator (ubat sedut) boleh mengurangkan keparahan dan kekerapan serangan asma. Jadi mulakan pelan tindakan asma anda dari sekarang!
Komen