Pengasuhan Positif

Makanan Pertama, Rasa Pertama

Makan merupakan pengalaman baru untuk bayi berusia 6 bulan. Oleh kerana sudah biasa dengan susu dan gerakan lidah yang khusus untuk menyusu, secara semulajadinya lidah bayi anda akan menolak keluar sebarang makanan yang disuap ke dalam mulutnya. Menyuap makanan pejal dari sudu dan menelannya adalah kemahiran yang perlu dipelajari secara perlahan-lahan. Bayi anda perlu menguasai kemahiran ini mulai usia 6 bulan kerana pada usia ini, susu ibu sahaja sudah tidak memadai untuk memenuhi keperluan pemakanannya yang meningkat.

Artikel ini memberikan panduan langkah demi langkah bagaimana anda boleh memberikan bayi anda makanan pejal buat kali pertama. Mulakan dengan makanan separuh pejal seperti puri, dan diikuti dengan makanan yang semakin pejal pada bulanbulan berikutnya.

Berikannya makanan pejal pada waktu pagi atau tengah hari dan tingkatkan kekerapan secara berperingkat. Ingat jangan paksa bayi anda makan. Biarkannya belajar dengan caranya sendiri:

  1. Sediakan makanan bayi, tuala kecil dan cawan di tempat yang mudah diambilnya. Buat kesemua persediaan sebelum anda mula memberi makan kepada bayi.
  2. Bersembang dengan bayi anda tentang apa yang akan dialaminya. Malah, apabila bayi sudah biasa dengan rutin tersebut, dia pasti menantikan waktu makan apabila mendengar anda seringkali mengulangi perkara yang berkaitan dengan makan dan makanan.
  3. Mulakan waktu makan dengan menyediakan beberapa sudu penuh makanan pejal sahaja. Oleh kerana baru belajar, bayi hanya akan makan sedikit makanan pejal sahaja. Sekiranya bayi lapar, anda boleh menambah dengan memberikannya susu ibu. Bagaimanapun, jangan berikan susu ibu sebelum makanan pejal kerana bayi akan rasa kenyang dan tidak berminat untuk mencuba makanan baru.
  4. Ambil sedikit makanan dan letakkan di bibir bayi anda supaya dia boleh merasanya. Reaksi pertamanya terhadap makanan pejal mungkin kombinasi terkejut dan tidak mahu. Elakkan dari menyuap masuk sudu ke dalam mulutnya, kerana bayi anda baru belajar makan. Selepas beberapa percubaan, bayi anda akan mula menikmati proses memakan dan akan mula membuka mulutnya dengan luas ketika diberi makan.
  5. Bayi anda sedang membiasakan diri dengan makanan pejal dan tidak boleh makan begitu banyak. Selepas memberi satu atau dua sudu makanan, sambung dengan penyusuan susu ibu. Anda boleh meningkatkan jumlah makanan pejal selepas bayi biasa dengannya.

MEMBERI MAKAN KEPADA KANAK-KANAK CEREWET

Setiap bayi adalah berbeza dan sesetengah ibubapa mungkin mendapati tugas memperkenalkan makanan pejal kepada bayi adalah suatu yang sukar dan sesetengahnya pula mendapati ianya agak mudah. Sekiranya bayi anda menolak makanan yang diperkenalkan, di sini ada beberapa cara yang boleh anda lakukan:

  • Bayi anda sedang mempelajari rasa baru, jadi bersabarlah dan berikannya masa untuk membiasakan diri. Tambahan pula, dia hanya biasa dengan susu ibu, jadi janganlah risau sekiranya dia enggan makan makanan pejal. Jangan putus asa. Terus mencuba.
  • Sentiasa perkenalkan satu makanan baru sahaja pada sesuatu masa. Berikan makanan yang sama untuk selang masa 4 hari sebelum memperkenalkan makanan baru. Ini akan memberikan masa untuk bayi menyesuaikan diri dan anda akan dapat mengenali tindak balas alergi sekiranya ia berlaku.
  • Jangan cuba untuk mencampur adukkan makanan yang disukai dengan yang tidak disukainya. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak suka kedua-duanya.
  • Berikannya pelbagai jenis makanan. Lebih banyak variasi, lebih baik keperluan pemakanan dapat dipenuhi. Sekiranya dia tidak suka sesuatu makanan, cuba masak dengan cara berbeza. Dengan itu, dia tidak kekurangan khasiat yang terdapat dalam makanan tertentu. Sebagai contoh, sediakan makanan dalam bentuk sup berbanding dalam bentuk puri.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen