Pengasuhan Positif

Adakah Bayi Anda Mengalami Kekurangan Zat Makanan?

Dalam 6 bulan pertama usianya, bayi anda hanya memerlukan susu ibu. Apabila bayi membesar dan menjadi lebih aktif, pemberian susu ibu sahaja tidak lagi mencukupi. Si bayi memerlukan makanan pelengkap untuk memenuhi keperluan pemakanannya selain daripada yang dibekalkan dalam susu ibu. Jika anda gagal berbuat demikian, bayi anda tidak akan mendapat pemakanan yang seimbang. Oleh itu, tanyalah diri anda sama ada anda telah menyediakan makanan pelengkap yang sesuai untuk bayi anda:

  1. Adakah anda mula memberi makanan pelengkap ketika bayi anda berumur 6 bulan?

    Kegagalan untuk memulakan makanan pelengkap ketika anak anda berumur 6 bulan akan menyebabkan bayi anda tidak mendapat tenaga dan nutrien yang mencukupi. Bayi anda mungkin mengalami tumbesaran yang lambat atau berhenti membesar. Risiko untuk mengalami kekurangan pemakanan dan mikronutrien juga akan meningkat.

  2. Adakah anda masih menyusukan bayi anda selepas memperkenalkan makanan pelengkap kepadanya?

    Susu ibu masih merupakan sebahagian yang penting diet bayi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya ibu terus menyusukan bayi di samping memberikan makanan pelengkap sehingga bayi berumur dua tahun atau lebih.

  3. Adakah anda beransuransur meningkatkan jumlah makanan pelengkap untuk bayi anda?

    Berikan makanan pelengkap kepada bayi anda 3 kali sehari ketika bayi berumur 6 hingga 12 bulan, 5 kali sehari ketika bayi berumur 12 hingga 24 bulan. Ini termasuklah snek yang berkhasiat sekali atau dua kali sehari selain daripada susu ibu. Di samping meningkatkan kekerapan pemberian makanan, anda juga perlu meningkatkan jumlah makanan apabila anak anda semakin membesar.

  4. Adakah anda menyediakan makanan yang kaya dengan khasiat untuk bayi pada setiap hari?

    Walaupun bayi anda yang aktif memerlukan tenaga daripada makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, bijirin dan kentang lecek, dia juga memerlukan makanan yang kaya dengan nutrien seperti daging, ayam itik, ikan dan telur; kacang, kacang pis, kacang dal dan produk tenusu; serta buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

  5. Adakah anda mempelbagaikan makanan yang diberikan kepada bayi anda?

    Apabila bayi anda berumur 6 bulan, perkenalkan makanan baru secara berperingkat (satu jenis pada sesuatu masa, dengan tempoh sekurangkurangnya empat hari sebelum memperkenalkan makanan baru). Ini adalah untuk memberi masa kepada bayi anda membiasakan diri dengan makanan itu dan membantu anda mengenalpasti sebarang tindakbalas alahan. Jenis makanan yang diberikan kepada bayi perlu dipelbagaikan apabila dia semakin membesar. Kepelbagaian jenis makanan akan memastikan bayi anda memenuhi keperluan nutriennya. Jika anak anda tidak suka makanan tertentu, cuba masak makanan tersebut dengan cara lain. Dengan demikian, anak anda tidak akan kekurangan nutrien penting daripada makanan tersebut.

GEJALA PETANDA KEKURANGAN ZAT MAKANAN

Adakah berat bayi anda tidak berubah atau semakin menyusut? Adakah bayi anda mudah sakit? Adakah bayi kelihatan pucat, kurang aktif dan kurang responsif terhadap persekitarannya? Jika anda dapat mengesan sebarang petanda ini, sila berjumpa dengan doktor.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen