“Mengapakah makanan bayi tidak wajar ditambah garam? Pada umur berapakah seorang bayi boleh makan makanan yang ditambah garam? Adakah garam boleh membantutkan tumbesaran bayi atau membawa kesan sampingan lain?”
PM Dr Poh: Buah pinggang bayi belum cukup matang untuk memproses garam yang berlebihan daripada makanan.
Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dalam jangka masa panjang. Garam merupakan nutrien penting yang diperlukan oleh badan dan ia boleh didapati dalam kuantiti yang mencukupi di dalam susu ibu, nasi dan kebanyakan makanan bayi. Oleh itu, jangan tambah garam, kicap atau bahan perisa buatan ke dalam makanan bayi.
Kanak-kanak yang berumur 1 tahun ke atas boleh mengambil makanan yang ditambah garam, tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Cuba kurangkan garam dalam makanan anak-anak (dan ahli keluarga yang lain) secara beransur-ansur. Lamakelamaan, anda akan mendapati semua makanan anda sudah cukup rasa tanpa perlu menambah garam. Jika tidak, gunakan perisa semulajadi seperti jus limau, herba dan rempah ratus.
“Bayi saya yang berumur tujuh bulan mula minum susu formula semenjak umurnya 2 bulan. Sekarang, saya memberinya bijirin bayi selain susu formula. Akan tetapi, berat badannya hanya 6.5 kg, agak rendah untuk usianya. Sila bantu saya.”
PM Dr Poh: Berat badan bayi meningkat dua kali ganda daripada berat lahir apabila umurnya mencecah 5 bulan. Jika berat anak anda adalah 2.5 kg ketika dilahirkan, 6.5 kg adalah berat yang normal ketika dia mencapai umur 7 bulan. Setiap bayi mengalami kadar pertumbuhan yang berbeza dan jika tubuhnya agak kecil, ini bukanlah bermakna dia tidak sihat. Dapatkan nasihat pakar pediatrik anda mengenai kadar pertumbuhan anak anda.
Dari usia 6 bulan, bayi perlu diberi makanan lain selain susu ibu atau formula. Mulakan dengan bijirin bayi berasaskan beras dan buahbuahan, atau puri sayuran. Pada umur 7 bulan, bayi boleh disuapkan bubur nasi yang dicampur sayuran seperti lobak merah atau bayam yang dicincang halus. Pada usia 8 bulan, makanan bayi boleh ditambah cebisan ikan yang telah dibuang tulangnya. Untuk maklumat lanjut, anda boleh dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan, pakar diet atau pakar pediatrik.
“Bayi saya kini berumur 9 bulan dan hanya menyusu susu ibu. Sekarang saya memperkenalkan makanan pejal namun dia enggan makan. Dia hanya mahu menyusu badan. Adakah ini perkara biasa? Adakah dia mendapat nutrien secukupnya dari susu ibu, memandangkan umurnya hampir mencecah 1 tahun?”
PM Dr Poh: Susu ibu sahaja tidak dapat memenuhi keperluan nutrien yang diperlukan oleh bayi yang berumur 9 bulan. Dia perlu diberi makanan pelengkap bermula dari umur 6 bulan lagi.
Berikan bayi anda semangkuk makanan dan biar dia menyuap sendiri. Pada masa yang sama, gunakan sudu untuk menyuapnya. Berikan makanan yang lebih pejal selain daripada bubur, bijirin dan sayuran lecek. Pastikan makanan mudah digigit, dikunyah dan ditelan. Berikan makanan yang boleh dipegang dengan jari seperti ikan tanpa tulang, nuget ayam (tanpa perasa, garam dan bahan pengawet tambahan) dan buah-buahan lembut atau sayuran yang dipotong kecil. Perhatikan bayi ketika dia makan, walaupun dia mampu makan dengan sendiri.
Bayi akan makan sedikit sahaja kerana saiz perutnya yang kecil. Jangan rasa kecewa jika dia berhenti selepas makan dua atau tiga suap. Apabila bayi lapar, berikan makanan terlebih dahulu dan bukannya susu. Asalkan bayi membesar dengan sihat dan aktif, anda tidak perlu bimbang.
Jadikan waktu makan sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan bagi bayi. Apabila bayi berasa seronok ketika waktu makan, dia akan lebih berminat untuk mencuba makanan baru. Jika boleh, teruskan penyusuan susu ibu sehingga bayi anda mencapai umur 2 tahun atau lebih.
Komen