Pengasuhan Positif

Campurkan Makanan Untuk Anak Anda

Dalam isu-isu lepas, kami menyentuh tentang prinsip pemberian makanan pelengkap dan juga sebanyak mana serta sekerap mana si manja anda perlu diberi makan. Untuk isu pertama Panduan Pemakanan istimewa ini, kami akan fokus terhadap makanan pelengkap di mana kita akan mendalami tentang kebaikan memberi anak anda makanan pelengkap yang baik.

Seperti mana yang anda mungkin telah tahu, makanan pelengkap diperlukan semasa anak anda sedang membesar dan apabila menjadi lebih aktif (pada masa ini susu ibu sahaja sudah tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluannya). Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengesyorkan bahawa makanan pelengkap patut mula diberikan pada usia enam bulan ke atas.

Anda boleh bermula untuk mencampurkan makanan untuk anak anda sebaik sahaja anak anda selesa dengan penambahan makanan pelengkap dalam diet mereka.

Mengapakah ia penting untuk memberikan si manja campuran makanan pelengkap?

  1. Dia memerlukan diet yang pelbagai. Satu campuran makanan pelengkap yang baik boleh membekalkan semua nutrien yang dia perlukan. Berikan anak anda makanan yang kaya dengan tenaga, protein dan mikronutrien (terutamanya zat besi, zink, kalsium, vitamin A, vitamin C dan folat).
  2. Dia memerlukan kepelbagaian dalam bentuk rasa, warna dan tekstur yang berlainan. Ini memastikan anak anda terus mempunyai minat dengan makanannya. Ini adalah benar kerana bayi kecil juga boleh menjadi bosan jika diberikan makanan yang sama sahaja pada setiap hari. Jangan bimbang jika anak anda enggan mencuba sesuatu yang baru pada hari ini, dia mungkin akan mencubanya semula esok.

Apakah suatu campuran yang baik?

Kunci ke arah makan secara baik pada usia ini adalah dengan memastikan si manja anda mendapat pelbagai jenis makanan-makanan seperti berikut:

Makanan asas

Ia merupakan sebahagian utama daripada diet anak anda dan kerap dimakan dan dalam kuantiti tertentu. Ia turut membekalkan sebahagian besar daripada keperluan tenaga dan nutrien anak anda. Walau bagaimanapun, makanan asas sahaja tidak akan dapat memenuhi keperluan keseluruhan pemakanannya. Dia memerlukan pelbagai jenis makanan yang lain.

Apa yang baik: Bubur nasi, kentang lenyek, pasta, ubi keledek.

Kekacang dan bijian minyak

Makanan ini merupakan sumber protein yang baik untuk anak anda. Bijian minyak dan sesetengah kekacang (kacang tanah, kacang soya, dsb) sememangnya kaya dengan lemak dan mengandungi tenaga yang banyak.

Apa yang baik: Kacang kuda, lentil, dhal.

Sayuran dan buah-buahan berwarna hijau tua dan kuning jingga

Galakkan anak anda untuk makan makanan ini daripada muda lagi kerana semuanya merupakan sumber yang kaya dengan folat, zat besi, vitamin A dan C. Lebih gelap warna daun atau lebih terang warna kuning jingganya, lebih banyak vitamin A yang terkandung di dalamnya.

Apa yang baik: Bayam, sawi, brokoli, kailan, lobak merah, mangga, ubi keledek, betik, oren.

Makanan daripada sumber haiwan

Makanan ini boleh menjadi sumber protein, zat besi, zink dan vitamin A yang baik. Makanan yang mengandungi tulang (contohnya, ikan kecil, ikan dalam tin atau ikan bilis) merupakan sumber kalsium yang baik.

Apa yang baik: Ikan, daging tanpa lemak, ayam itik, yogurt.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen