Pengasuhan Positif

Sejauh Manakah Pengetahuan Anda Tentang Makanan Pelengkap?

  1. Makanan pelengkap diperlukan apabila susu ibu tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanan bayi.

    Benar/Salah

  2. Sebaik-baiknya, mulakan pemberian makanan pelengkap seawal mungkin supaya bayi boleh membiasakan diri dengannya sejak kecil.

    Benar/Salah

  3. Makanan pertama yang terbaik untuk si manja adalah makanan bertekstur lembut seperti bubur nasi dan bijirin bayi yang sedia untuk dimakan.

    Benar/Salah

  4. Jika si manja tidak mahu mencuba atau enggan makan makanan pelengkap sewaktu pertama kali disuapkan, ini menunjukkan bahawa bayi cerewet makan.

    Benar/Salah

  5. Makanan bayi selalunya tawar. Anda boleh menambah sedikit garam sebagai perasa.

    Benar/Salah

Jawapan:

  1. Benar.. Menambah makanan pelengkap kepada diet yang eksklusif susu ibu memang penting apabila si manja mencapai usia 6 bulan atau lebih. Si manja akan menjadi lebih aktif apabila dia membesar dan usianya meningkat. Ini juga merupakan peringkat tumbesaran pantas. Maka, susu ibu semata-mata tidak cukup untuk memenuhi keperluan pemakanan si manja. Makanan pelengkap membantu mengisi keperluan pemakanan si manja yang tidak dapat dibekalkan oleh susu ibu, untuk memastikan dia membesar dengan sempurna. Teruskan memberi susu ibu sehingga si manja berusia 2 tahun, walaupun anda sudah memberikan makanan pelengkap.
  2. Salah.. Memberi si manja makanan pelengkap terlalu awal bukanlah amalan yang baik. Si manja mungkin belum bersedia dari segi fizikal untuk menerima makanan pejal atau separa pejal, dan ini boleh meningkatkan kemungkinan si manja tercekik. Selain itu, makanan pelengkap mungkin akan membuat si manja menolak susu ibu, menyebabkan kekurangan bekalan tenaga dan nutrien dalam dietnya. Kanak-kanak juga boleh mengalami cirit-birit dan penyakit lain disebabkan sistem penghadamannya masih belum matang. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya pemberian makanan pelengkap dimulakan apabila si manja berusia 6 bulan.
  3. Benar.. Pada peringkat awal pemberian makanan pelengkap, sebaik-baiknya berikan si manja makanan yang bertekstur lembut seperti makanan lenyek atau tapis. Bubur nasi dan bijirin bayi sedia untuk dimakan adalah contoh terbaik makanan yang boleh diberikan kepada si manja yang baru mula makan makanan pelengkap. Sebaliknya, makanan pejal seperti ketulan buah-buahan boleh menyebabkan bayi tercekik kerana kemahiran otot mulut masih belum cukup matang. Tukar tekstur makanan si manja secara beransur-ansur mengikut peningkatan usianya.
  4. Salah.. Si manja bukan cerewet makan. Mungkin dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan tekstur atau rasa baru kerana sudah biasa dengan susu ibu. Mulakan dengan memberi 1-2 sudu teh, dua kali sehari. Jika dia menolak, jangan putus asa. Cuba lagi kemudian dan akhirnya dia akan menerima makanan baru tersebut. Secara beransur-ansur, tambah jumlahnya dan pelbagaikan jenis makanan yang diberikan kepada si manja. Paling penting, jadikan waktu makan saat yang menyeronokkan agar si manja dapat menikmati makanannya dengan gembira.
  5. Salah.. Ibu mana yang tidak mahu anaknya menikmati makanan yang enak! Namun, sebaik-baiknya elakkan daripada menambah garam ke dalam makanan si manja kerana buah pinggangnya masih belum matang dan tidak mampu untuk memproses lebihan garam di dalam makanan. Dalam jangka panjang, garam boleh memudaratkan buah pinggang si manja. Kanak-kanak berumur lebih 1 tahun boleh mengambil makanan yang ditambah sedikit garam. Walau bagaimanapun, jangan tambah terlalu banyak garam ke dalam makanan anak anda, tidak kira berapa usianya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen