Pengasuhan Positif

Makanan Bayi Segera Dan Mudah

Makanan bayi komersial adalah makanan sedia dimakan yang disediakan khusus untuk bayi berumur antara 6 bulan hingga 2 tahun. Dalam bentuk jus mahupun puri, dengan pelbagai rasa, warna dan tekstur, ia disesuaikan dengan keupayaan dan pengalaman makan pada peringkat awal si manja. Anda mungkin melihatnya sebagai jalan penyelesaian yang mudah, lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang sibuk. Tetapi, jangan jadikan sebagai satu makanan kebiasaan untuk bayi anda.

Prinsip Makanan

Sama ada anda memilih untuk membeli makanan bayi komersial atau memasaknya di rumah, jadikan kepelbagaian sebagai prinsip utama. Kepelbagaian makanan – kebanyakannya harus segar dan dimasak di rumah – dapat memastikan si manja mendapat segala nutrien, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk membesar dan menjadi bijak pandai.

Tahukah Anda?

Kebanyakan makanan bayi dalam botol yang sedia dimakan dikategorikan mengikut tahap perkembangan bayi.

  • Tahap 1: Untuk bayi (berumur 6 bulan) yang baru mula mengambil makanan pejal. Teksturnya dalam bentuk puri dan biasanya terdiri daripada satu jenis makanan sahaja (cth: pisang, mangga atau sos epal).
  • Tahap 2: Untuk bayi (berumur 7-9 bulan) yang sudah berpengalaman mengambil makanan pejal. Teksturnya lebih pekat kerana makanan adalah dilecek dan biasanya mengandungi dua jenis bahan seperti buah pic + mangga, buah pir + avokado atau lobak merah + ubi keledek.
  • Tahap 3: Untuk bayi (berumur 9 bulan). Teksturnya lebih pekat, dengan ketulan makanan. Ia biasanya mengandungi pelbagai ramuan makanan seperti daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Baca dengan Betul

Banyak makanan bayi komersial membuat tuntutan mengandungi segala nutrien yang diperlukan oleh bayi anda. Walau apa pun tuntutan pengeluarnya, baca kesemua maklumat yang tercetak pada label untuk mengetahui dengan jelas kandungan makanan yang akan diberikan kepada si manja. Beberapa petua berikut boleh membantu anda:

  • Jauhi produk yang mengandungi gula, dekstrosa, sukrosa atau garam. Bahan perasa seperti garam boleh merosakkan buah pinggang bayi anda yang masih belum matang.
  • Jika air disenaraikan paling dahulu dalam senarai ramuan, ini bermakna sebahagian besar produk adalah air. Maka, ia tidak begitu berkhasiat.
  • Sentiasa pastikan tarikh luput, terutama sekali jika membeli pada harga diskaun.
  • Semak arahan penyimpanan. Selepas dibuka, makanan bayi komersial biasanya boleh disimpan selama 24 jam dalam peti sejuk atau selama sebulan dalam ruangan sejuk beku, jika tidak dicemari air liur bayi atau sisa makanan.
  • Lihat jika terdapat maklumat tambahan mengenai kandungan mineral dan vitamin.
  • Sekiranya bayi mempunyai alahan, pastikan tiada ramuan yang kerap menimbulkan alahan seperti susu, telur, ikan, gandum, kacang atau kacang soya.

Ingat!

Makanan bayi komersial selalunya dipekatkan dengan kanji dan ini bermakna kurang ramuan lain yang berkhasiat. Rasa dan teksturnya juga kerap serupa. Pemberian terlalu banyak makanan komersial mengurangkan peluang si manja untuk mencuba pelbagai jenis rasa, warna dan tekstur makanan. Ini boleh menjadikan bayi susah menerima makanan yang anda hidangkan apabila dia beralih kepada makanan pejal yang lain.

Hadkan pemberian makanan pelengkap komersial kepada waktu-waktu yang memerlukan kesenangan seperti semasa percutian. Ingatlah, makanan segar dan berkhasiat yang dimasak di rumah hendaklah sentiasa diutamakan dan sepatutnya membentuk sebahagian besar diet si manja.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen