Perkembangan setiap kanak-kanak, dari zaman bayi ke zaman dewasa, sangat bergantung kepada pemakanan yang baik. Tempoh dari lahir hingga ke usia 2 tahun merupakan fasa yang paling kritikal di dalam kehidupan seorang kanak-kanak dan pemakanan yang baik sangat penting untuk menyokong tumbesaran serta perkembangan yang optimum.
Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa penyusuan ibu dan amalan makanan pelengkap yang kurang baik dan juga penyakit berjangkit merupakan punca-punca utama malnutrisi dan tumbesaran yang tidak baik dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak. Bagi mencegah daripada berlakunya keadaan yang tidak diingini ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan satu set garis panduan dan saranan tentang makanan pelengkap khusus untuk kanak-kanak yang pernah diberi susu ibu. Garis panduan ini juga boleh digunakan untuk kanak-kanak yang tidak pernah diberi susu ibu.
- Susui bayi anda secara eksklusif sehingga usia 6 bulan, dan perkenalkan makanan pelengkap selepas usia 6 bulan sebagai tambahan kepada penyusuan ibu. Penyusuan susu ibu secara eksklusif semasa 6 bulan pertama akan melindungi bayi daripada jangkitan gastrousus dan meningkatkan perkembangan motor mereka. Namun demikian, selepas 6 bulan, susu ibu sudah tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan nutrien bayi dan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan makanan pelengkap kepadanya.
- Susui bayi anda secara mengikut permintaan sehingga usia 2 tahun atau selanjutnya. Susu ibu boleh mencegah dehidrasi dan membekalkan mikronutrien untuk melawan jangkitan. Bayi di bawah usia 6 bulan yang disusui ibu sepenuhnya akan memperolehi semua keperluan tenaga mereka daripada susu ibu. Manakala bayi antara usia 12-23 bulan yang disusui ibu serta telah memulakan makanan pelengkap, hanya akan menerima 35 -40% keperluan tenaganya daripada susu ibu.
- Amalkan penyusuan responsif yang bukan sahaja mementingkan makanan yang diberi malahan bagaimana, di mana, bila dan siapa yang memberi makanan kepada anak anda. Bayi perlu disuap manakala kanak-kanak yang lebih besar pula boleh dibantu makan sendiri. Bersabar dan galakkan anak anda makan tanpa paksaan. Jika anak anda menolak makanan yang biasa, cuba pula kombinasi-kombinasi makanan lain.
- Amalkan kebersihan. Sentiasa cuci tangan sebelum menyediakan makanan dan juga sebelum makan. Gunakan perkakas, cawan dan pinggan mangkuk yang bersih. Jangan guna bekas minuman yang sukar dicuci. Akhir sekali, simpan makanan di tempat yang sesuai dan bersih, contohnya seperti bekas kedap udara, peti sejuk atau kabinet dapur.
- Mula memberi makanan dalam kuantiti kecil apabila bayi anda berusia 6 bulan dan tingkatkan kuantiti yang diberi apabila dia semakin besar. Sebagai tambahan kepada susu ibu, bayi anda perlu mendapatkan tenaga daripada makanan pelengkap setiap hari: bayi berumur 6-8 bulan memerlukan pengambilan lebih kurang 200 kkal, bayi berusia 9-11 bulan memerlukan 300 kkal, dan keperluan seorang bayi yang berusia 12 -24 bulan meningkat kepada 550 kkal. Peningkatan kalori secara beransur-ansur boleh dicapai dengan memberi makanan tambahan seperti bubur nasi dan sayur-sayuran pada setiap waktu makan. Nota: 100 kkal adalah sekurang-kurangnya 1 cawan bubur nasi kosong, 1 keping roti atau 1 pisang sederhana.
- Tingkatkan kelikatan dan kepelbagaian makanan si manja anda secara beransur-ansur apabila dia membesar. Bayi berusia 6 bulan boleh diberi makanan dilumat atau separa pejal. Pada usia 8 bulan, bayi sudah boleh memakan “finger food” atau snek. Kebanyakan kanak-kanak sudah boleh makan makanan yang dimakan keluarga pada usia 12 bulan. Elakkan makanan yang boleh mengakibatkan mereka tercekik seperti kacang, lobak merah mentah, buah anggur, rambutan dan makanan berbentuk aneh.
- Tingkatkan secara beransur-ansur kekerapan bayi anda makan. Bayi berusia 6-8 bulan boleh diberi makan sebanyak 2-3 kali sehari. Kemudian, antara usia 9-11 bulan, tingkatkan kekerapannya kepada 3-4 kali sehari, dan apabila berusia 12-24 bulan pula boleh diberi snek berkhasiat tambahan sebanyak sekali atau dua kali sehari.
- Beri anak anda pelbagai makanan yang tinggi nutrien. Makanan seperti daging, ayam, telur atau ikan perlu dimakan setiap hari atau sekerap mungkin. Diet vegetarian semata-mata tidak sesuai untuk kanak-kanak pada usia yang muda ini melainkan mereka turut diberi suplemen nutrien tambahan. Beri anak anda sayur-sayuran seperti lobak merah, bayam atau brokoli dan buah-buahan kaya vitamin A seperti betik, mangga atau tembikai setiap hari. Elakkan minuman yang bernutrien rendah seperti teh, kopi atau minuman bergula seperti sirup atau minuman ringan berkarbonat.
- Ada kalanya, anda dan bayi anda mungkin perlu mengambil suplemen vitamin dan mineral atau produk makan yang diperkuat. Ibu yang menyusu badan mungkin perlu melengkapi diet mereka dengan suplemen dan produk diperkuat untuk kesihatan diri sendiri dan juga untuk membekalkan nutrien-nutrien tertentu di dalam susu mereka. Ingatlah bahawa anda perlu merujuk kepada doktor, pakar pemakanan, pegawai dietetik atau para profesional kesihatan lain sebelum mengambil suplemen nutrien.
- Jika bayi anda jatuh sakit, tingkatkan pengambilan cecair dan penyusuan ibu sekerap mungkin. Galakkan anak anda makan makanan yang lembut dan menyelerakan. Apabila kembali sihat, berikannya makan dan susu ibu yang lebih banyak daripada biasa serta sekerap mungkin. Kanak-kanak memerlukan pengambilan nutrien yang lebih banyak untuk menggantikan kehilangan nutrien semasa sakit.
Pengambilan makanan pelengkap semasa dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah kritikal bagi memastikan perkembangan fizikal dan kognitif yang baik. Ikutilah saranan-saranan yang diberikan tentang makanan pelengkap ini untuk memastikan keperluan pemakanan si manja anda dipenuhi.
Komen