Dua tahun pertama hayat bayi anda amat penting kerana si manja melalui fasa pertumbuhan dan perkembangan paling pesat. Pemberian susu ibu merupakan langkah pertama untuk memastikan bayi anda mendapat segala jenis nutrien dalam jumlah yang betul mengikut keperluannya untuk membesar dengan sihat.
Apabila bayi anda membesar, keperluan tenaga dan pemakanannya juga bertambah. Pemberian makanan pelengkap hendaklah dimulakan pada usia 6 bulan apabila susu ibu semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan si manja anda.
Apabila masuk bulan keenam atau apabila si manja mula menunjukkan tanda bersedia menerima makanan separuh pejal, ramai ibu baru tidak pasti jenis makanan yang boleh diperkenalkan kepada si kecil dan cara untuk menyediakan makanan ini dalam bentuk dan tekstur yang sesuai dengan usia bayi mereka.
Tidak susah untuk menyediakan sendiri makanan bayi di rumah sungguhpun anda perlu memikirkan cara yang sesuai. Terdapat pelbagai kaedah dan peralatan yang berlainan untuk memudahkan anda membuat puri, mengisar, melenyek atau mengukus makanan. Teruskan membaca untuk mengetahui cara yang mudah untuk menyediakan makanan bayi di rumah dengan menggunakan alat dan kaedah yang berlainan, dan juga beberapa tip-tip tentang bagaimana anda boleh menambah rasa dan kepelbagaian kepada makanan si manja anda.
Apa yang anda perlu tahu
Sebaik-baiknya, sediakan makanan dengan tekstur dan kelikatan yang sesuai untuk lebih memudahkan bayi anda menerima dan menghadamkan makanannya. Makanan pejal bayi umumnya bermula dengan puri yang cair dan licin yang diberikan pada usia 6-8 bulan, kemudian beralih kepada makanan lembut yang dikisar, didadu dan dicincang pada usia 8-10 bulan; dan akhirnya makanan dalam bentuk ketulan kecil yang mudah dikunyah pada usia 10-12 bulan.
Makanan berasaskan bijirin adalah juga pilihan yang baik untuk memulakan makanan separuh pejal bayi (seperti bijirin beras selama beberapa minggu, diikuti bijirin lain), disusuli buahbuahan dan sayuran, dan akhir sekali, daging.
Menyediakan makanan bayi
Berikut adalah beberapa cara anda boleh menggunakan alat perkakas yang berlainan untuk membantu anda menyediakan makanan yang sihat untuk si manja.
-
Pengukus atau periuk dan kuali
Kukus atau rebus makanan bayi anda hingga masak. Sebaik-baiknya, kukus sayuran sebelum dijadikan puri untuk mengekalkan nutriennya. Buah-buahan lebih keras seperti epal dan buah pir dan juga ikan, daging dan ayam juga boleh dikukus atau direbus sebelum dikisar.
-
Pengisar atau pemproses makanan
Sebaik sahaja makanan yang perlu dilembutkan sudah dimasak, masukkan ke dalam pengisar atau pemproses makanan dan kisar hingga halus mengikut konsistensi yang sesuai dengan bayi anda. Tambah cecair seperti susu ibu, susu formula, air atau air rebusan makanan yang anda masak untuk mencairkan makanan bayi apabila perlu.
-
Lenyek!
Banyak makanan boleh dilenyek dengan garpu biasa atau alat pelenyek kentang. Pisang masak, keledek kukus atau rebus, epal atau labu boleh dilenyek. Pastikan makanan yang dilenyek sesuai dengan jenis tekstur makanan yang diperlukan oleh bayi anda.
-
Gunakan alat pengisar makanan bayi
Satu lagi cara untuk mengisar makanan atau menyediakan puri untuk membuat sup, sos dan kentang lenyek ialah dengan memotong makanan menjadi potongan kecil dan kisar (kulit dan biji akan tinggal dalam pengisar).
-
Pengisar makanan biasa
Penggunaan pengisar makanan juga menyenangkan anda menyediakan puri makanan untuk di manja. Cara ini juga mudah untuk menyediakan daging dan makanan yang lebih bertekstur.
-
Ayak atau tapis untuk menyediakan makanan bayi masakan rumah
Anda boleh menggunakan alat pengayak atau penapis untuk menapiskan lagi makanan bayi anda, terutama sekali makanan yang berkulit seperti kacang pis dan kacang hijau. Tuang makanan ke dalam pengayak atau penapis dan tadah dalam mangkuk.
-
Gunakan alat parut
Jika anda ingin menyediakan makanan kudapan untuk si manja anda, alat parut keju adalah untuk memarut buahbuahan dan sayuran. Kupas buah-buahan masak dan sayuran seperti epal dan lobak merah, kemudian parut menggunakan mata parut halus. Hasil parutan yang nipis atau halus ini mudah dikunyah. Anda juga boleh menggunakan parut keju untuk memarut keju atau daging dan ayam yang sudah dimasak lembut untuk membuat makanan kudapan untuk bayi anda.
Penggunaan pelbagai peralatan dan perkakas ini bukan sahaja boleh memudahkan anda menyediakan makanan untuk bayi, tetapi juga menjimatkan masa anda. Anda boleh memilih alat perkakas mengikut kesesuaian dan kesukaan anda. Yang paling penting, anda tahu isi kandungan makanan yang anda suapkan ke mulut si manja.
Komen