Hakikat Yang Menyedihkan
Negara kita boleh dianggap sebagai negara yang sedang pesat membangun. Dengan status sosioekonomi kita yang bertambah baik, kita dapat menjalani kehidupan yang lebih mewah. Ia bukan sahaja berhubung kait dengan peningkatan taraf hidup, tetapi juga dengan peningkatan penyakit gaya hidup kronik.
Hakikat yang menyedihkan ialah rakyat Malaysia, terutama sekali generasi muda kita, menjadi semakin kurang sihat hari demi hari. Keghairahan kita dengan gaya hidup tidak sihat seperti mengamalkan tabiat makan yang kurang sihat, serta gaya hidup kita yang tidak aktif mendorong anak-anak kita menjadi kurang cergas berbanding generasi terdahulu.
Gaya hidup tidak sihat ini telah meningkatkan bilangan kanak-kanak obes (mempunyai berat badan berlebihan), seterusnya meningkatkan risiko mereka mendapat penyakit diabetes (kencing manis) Jenis 2, tekanan darah tinggi (hipertensi) dan kolesterol tinggi. Penyakit-penyakit seperti barah, penyakit buah pinggang kronik, serangan jantung, penyakit pernafasan kronik, strok, osteoporosis, penyakit pundi hempedu, dan banyak lagi penyakit dan masalah kesihatan lain yang serius juga termasuk dalam senarai ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit ini ditakrifkan sebagai “Penyakit Tidak Berjangkit” atau NCD, dan ia juga dirujuk sebagai penyakit kronik berkaitan pemakanan atau penyakit gaya hidup kronik.
NCD kini bukan lagi merupakan penyakit orang dewasa atau orang tua. Risiko sebenar penyakit ini bermula pada usia muda, dan berlarutan hingga dewasa dan tua. Di samping itu, risikonya meningkat apabila seseorang mengamalkan pemakanan tidak sihat dan gaya hidup kurang aktif sejak kanak-kanak lagi atau minum minuman beralkohol dan merokok semasa remaja.
Semua tabiat tidak sihat ini yang berterusan sehingga dewasa telah menyebabkan penularan penyakit kronik yang semakin jelas dan membimbangkan. Rencana seterusnya menghuraikan dengan lebih lanjut angka-angka dan fakta-fakta mengenai NCD, khususnya obesiti di kalangan kanak-kanak. Gejala ini paling mudah dikesan daripada pemakanan dan gaya hidup tidak sihat di kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Tahukah anda…?
- 60% daripada semua kematian adalah disebabkan oleh penyakit kronik berkaitan pemakanan
- 25% daripada kematian ini adalah pada usia muda dan sepatutnya boleh dielakkan
- Di Malaysia, 60%-70% daripada mereka yang mendapatkan rawatan di klinik menghidap sejenis NCD
Untuk artikel penuh, sila download PDF di bawah:
Komen