Apabila anak anda muntah, kandungan perutnya dipaksa naik ke esofagus dan keluar melalui mulut. Muntah bukan penyakit, tetapi suatu gejala. Ada kalanya ia adalah tanda gangguan atau penyakit tersembunyi.
Anak-anak kecil biasanya akan muntah beberapa kali pada tahun awal usianya kerana muntah adalah tanda penyakit yang biasa dialami oleh kanak-kanak seperti gastroenteritis (disebabkan oleh virus, bakteria atau jangkitan parasit dalam saluran gastrousus), jangkitan bahagian atas saluran pernafasan dan keracunan makanan.
Dalam sesetengah kes, muntah boleh menjadi petanda keadaan seperti saluran penghadaman tersumbat, jangkitan saluran kencing, gangguan pada mekanisme imbangan dalam telinga, hepatitis (radang hati) dan pankreatitis (radang pankreas). Tekanan meningkat dalam otak yang boleh disebabkan oleh kecederaan kepala, pendarahan otak, tumor otak dan jangkitan pada otak seperti meningitis, turut boleh menyebabkan muntah. Si manja memerlukan perhatian serius jika muntah secara berterusan.
Bila perlu Berjumpa Doktor
- Muntah secara berterusan.
- Muntahkan cecair warna hijau kekuningan (hempedu).
- Muntahkan darah (warna merah terang atau coklat).
- Demam atau sakit kepala yang berterusan.
- Meragam atau mengantuk.
- Enggan makan dan tidak boleh menelan cecair.
- Menunjukkan tanda penyahhidrat (badan kekurangan air).
- Mengalami sakit perut yang teruk.
- Mula muntah semula sebaiknya menyambung makanan biasa.
Melegakan Kerengsaan Si Manja selepas Muntah
- Jangan menahan si manja daripada muntah.
- Jangan beri si manja ubat tahan muntah tanpa nasihat doktor.
- Tolehkan kepala si manja ke sisi atau tunduk ke bawah menghadap singki atau tuala untuk mengelakkannya daripada tersedut muntahnya sendiri.
- Selepas si manja muntah, bantu bersihkan mulutnya dengan air kerana muntah meninggalkan rasa masam.
- Muntah boleh meletihkan dan menakutkan anak anda. Tenangkan perasaannya.
- Pujuk si manja supaya minum air bagi mengelakkan penyahhidratan atau dehidrasi. Rumusan minuman untuk penghidratan semula atau Oral Rehydration Solution (ORS) berkesan menggantikan bendalir tubuh dengan segera. Anda boleh mendapatkan ORS dari kebanyakan klinik dan kedai farmasi.
- Jika si manja boleh mengambil makanan, berikan sedikit sup dan kentang lecek secara lebih kerap. Perut si manja mudah menerima sedikit makanan 4-5 kali sehari berbanding hidangan besar 2-3 kali sehari.
- Elakkan daripada memberi si manja makanan berlemak atau pedas.
- Bagaimanapun, jangan paksa anak anda makan atau minum jika dia benar-benar tidak boleh makan ataupun jika si manja rasa mengantuk. Bawa si manja berjumpa doktor segera.
- Pastikan si manja mendapat rehat secukupnya.
Perhatikan Tanda Penyahhidratan
Kehilangan bendalir badan akibat muntah boleh menyebabkan penyahhidratan, lebih-lebih lagi jika si manja muntah secara berterusan dan disertakan ciritbirit. Jika tidak dirawat, penyahhidratan boleh mengancam nyawa, terutama sekali di kalangan kanak-kanak berusia satu tahun ke bawah. Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengesyaki si manja mengalami penyahhidratan.
Komen