Pengasuhan Positif

Keracunan Makanan

Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut dan/atau usus berlaku disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar. Selalunya tanda keracunan makanan akan muncul dalam masa dua hingga 24 jam setelah makan. Bergantung kepada tahap keracunan, mereka yang mengalami keracunan makanan mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta dehidrasi. Walaupun keracunan makanan kerap berlaku dan biasanya merupakan sejenis penyakit yang ringan, namun kadangkala ia boleh membawa maut, terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Bakteria Berjangkit Punca Keracunan

Keracunan makanan biasanya berpunca daripada agen toksik atau agen berjangkit. Agen toksik adalah seperti racun perosak pada buah-buahan dan sayuran, makanan eksotik yang tidak disediakan dengan betul (seperti siput), atau cendawan beracun.

Kebanyakan kes keracunan makanan di Malaysia adalah disebabkan pencemaran makanan yang dicemari oleh agen berjangkit. Makanan yang mengandungi virus, bakteria dan parasit berbahaya membebaskan racun yang menyebabkan keradangan pada lapisan usus. E. coli , Salmonella , Shigella dan Staphylococci bakteria berjangkit umum penyebab keracunan makanan.

Amalan Kebersihan Mengelakkan Pencemaran Makanan

Amalan kebersihan yang kurang memuaskan atau penyediaan makanan yang tidak betul biasanya punca pencemaran makanan. Pengendali makanan harus amalkan kebersihan sendiri dan memastikan kawasan penyediaan makanan sentiasa bersih. Makanan juga harus disimpan dengan betul dan pada suhu yang sesuai. Amalan penyediaan makanan berikut harus dipraktikkan:

  1. Sediakan makanan dengan berhati-hati
    • Basuh semua buah-buahan dan sayuran sehingga bersih.
    • Jangan sediakan makanan tanpa bersarung tangan jika tangan luka.
    • Gunakan peralatan memasak (pisau/papan memotong) yang berasingan bagi bahan mentah dan makanan dimasak.
    • Pastikan makanan dinyahbeku sepenuhnya di bawah aliran air bersih sebelum memasak.
    • Masak makanan (daging, ayam itik, telur dan makanan laut) dengan sepenuhnya.
    • Panaskan semula makanan yang telah dimasak dengan menyeluruh. Makanan seperti sup dan rebusan dipanaskan sehingga mendidih.
  2. Hidangkan makanan dengan baik
    • Hidangkan makanan yang telah dimasak secepat mungkin dalam pinggan mangkuk bersih.
    • Jangan biarkan makanan pada suhu bilik lebih daripada dua jam.
  3. Simpan makanan dengan betul
    • Bahan mentah dan makanan masak harus disimpan dalam bekas berasingan apabila menyimpankannya di dalam peti sejuk.
    • Elakkan daripada memberikan lebihan makanan tertinggal yang disediakan lebih daripada dua hari yang lalu.

Bila Anda Patut Berjumpa Doktor

Jangan pandang ringan pada keracunan makanan kerana cirit-birit yang teruk dan muntah boleh menyebabkan dehidrasi yang berbahaya terutamanya di kalangan kanakkanak muda. Bawa si manja berjumpa doktor jika:

  • Dia masih sangat muda (berusia dua tahun ke bawah).
  • Loya, muntah, atau cirit-birit yang berlarutan lebih daripada dua hari.
  • Demam, seram sejuk, atau najis berdarah.
  • Muntah apabila minum apa jua cecair.
  • Mempunyai penyakit atau jangkitan berkaitan dengan sistem imun yang lain.
  • Bertutur dengan tidak jelas, mengalami kelemahan otot, penglihatan berganda, atau kesukaran untuk menelan.

Mengendalikan Keracunan Makanan

Sekiranya anak anda mengalami keracunan makanan yang tidak serius, di mana dia muntah berkadang-kala dan cirit-birit yang minimum, ia biasanya akan reda dalam masa dua hingga tiga hari. Anda boleh melegakan si manja dengan tip penjagaan di rumah seperti berikut:

  • Jangan berikan makanan pejal sehingga dia berhenti muntah.
  • Berikan minum air dengan sedikit tetapi kerap untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Apabila muntah berhenti, berikan makanan mudah dihadam seperti bubur, roti atau pisang.
  • Jangan berikan ubat yang dibeli tanpa preskripsi untuk menghentikan cirit-birit.
  • Periksa makanan yang telah dimakannya dalam masa 24 jam yang lalu.
  • Jika terdapat sebarang keraguan, dapatkan bantuan perubatan awal.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen