Pengasuhan Positif

Kehilangan Air

Dehidrasi bermaksud kekurangan cecair di dalam badan yang berpunca dari kekurangan pengambilan air atau kehilangan air berlebihan. Risiko dehidrasi lebih tinggi di kalangan kanakkanak kecil dan bayi kerana luas permukaan badan yang lebih besar. Kandungan air di dalam badan mereka juga kurang berbanding dengan orang dewasa.

Kita kehilangan air dan garam galian melalui peluh, air kencing dan kumbuhan. Biasanya, kadar kehilangan air seimbang dengan kadar pengambilan air. Tetapi, keadaan seperti cirit birit dan muntah mengakibatkan ketidakseimbangan, menyebabkan kehilangan air dan garam galian dalam masa singkat. Keadaan menjadi lebih teruk jika mereka juga muntah. Manakala berpeluh dengan berlebihan apabila pendedahan kepada suhu yang tinggi juga boleh menyebabkan dehidrasi

Gejala dan Tanda Dehidrasi

Dehidrasi boleh dibahagikan kepada tiga tahap. Kanak-kanak yang mengalami dehidrasi ringan mungkin tidak menunjukkan tanda yang amat ketara. Namun, keadaan boleh menjadi teruk dalam masa yang amat singkat

Ringan

  • Lidah dan mulut yang masih lembap.
  • Dahaga. Kanak-kanak besar berupaya menyatakan mereka dahaga. Kanak-kanak kecil akan meminta air lebih kerap.
  • Warna dan kuantiti air kencing yang biasa.
Sederhana

  • Lidah dan mulut kering.
  • Dahaga.
  • Air kencing berkurangan dan bewarna pekat.
  • Mata cengkung. Untuk bayi, ubun juga berlekuk.
  • Kehilangan ketegangan kulit. Kulit dicubit dan dilepaskan tidak kembali tegang.
  • Tekanan darah mungkin normal atau rendah.
Teruk

  • Lidah dan mulut amat kering.
  • Lesu dan mungkin separa sedar.
  • Kulit berasa sejuk apabila disentuh. Berlaku kekejangan otot.
  • Air kencing sangat sedikit atau tiada air kencing.
  • Tiada air mata apabila menangis.
  • Kehilangan ketegangan kulit yang amat ketara.
  • Kadar degupan jantung yang sangat laju.
  • Tekanan darah yang sangat rendah.
  • Nadi yang lemah.

Rawatan Dehidrasi

Dehidrasi dirawat dengan memberi cecair serta garam galian secukupnya melalui mulut atau secara intravena.

Cecair seperti air kosong dan jus perlu kerap diberikan. Penyusuan susu ibu juga boleh diteruskan. ORS (oral rehydration solution) turut digunakan untuk menggantikan kehilangan cecair serta garam galian Bubur nasi didapati berkesan untuk mengurangkan ciritbirit. Pisang, sumber kalium, adalah penting. Kekurangan kalium yang hilang semasa muntah dan cirit-birit menyebabkan kelemahan otot dan degupan jantung yang tidak sekata jika ketara.

Anda boleh terus memberikan susu formula seperti biasa. Sekiranya cirit-birit disebabkan masalah intoleransi laktosa, doktor mungkin menasihati supaya menukar kepada susu tanpa laktosa untuk sementara waktu..

Jika si manja sakit dan enggan makan atau minum, berikan serpihan ais untuk dihisap; ia lebih menyeronokkan dan membekal sumber cecair untuk merawat dehidrasi. Elak daripada minuman berkafein atau bergula tinggi. Kafein adalah diuretik, yang menyebabkan kencing berlebihan dan meningkatkan kehilangan air. Gula pula meningkatkan kekerapan membuang air besar.

Sentiasa pastikan anak anda minum banyak air setiap hari, dan lebih air apabila anda melihat tanda awal penyakit seperti muntah dan cirit-birit – JANGAN tunggu hingga anda melihat tanda dehidrasi. Jika terdapat tanda atau gejala yang membimbangkan, atau jika si manja tidak pulih selepas 3-4 hari, segera bawa anak anda berjumpa doktor.

Kematian Akibat Dehidrasi

Cirit-birit merupakan punca kematian kedua dikalangan kanak-kanak dibawah umur 5 tahun. Kebanyakannya berumur kurang daripada 2 tahun. Kehilangan air serta garam galian yang banyak dalam masa beberapa hari menyebabkan badan mengalami kekurangan air serta garam galian yang penting untuk badan berfungsi secara normal. Sekiranya tidak dirawat, maut berlaku akibat kegagalan fungsi organ.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen