Pengasuhan Positif

Influenza A (H1N1)

Pada penghujung April 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan kemunculan virus influenza A. Sebelum itu, Virus H1N1 yang berasal daripada khinzir ini tidak pernah berjangkit daripada manusia kepada manusia. Ia juga tiada kaitan dengan virus influenza bermusim yang pernah menjangkiti manusia setiap tahun. Ini menjadikannya virus yang sama sekali baru. Bagaimanapun, ia menunjukkan gejala seperti influenza (seperti sakit tekak, batuk, hidung berair, demam, pening kepala, sakit sendi/ otot) dan mencetuskan ancaman wabak dunia (menjejaskan banyak negara di seluruh dunia). Dalam sejarah wabak influenza, dunia pernah diancam wabak “Flu Sepanyol” (H1N1) pada 1918 yang membunuh lebih 20 juta orang di seluruh dunia, “flu Asia” (H2N2) pada 1957 yang mengakibatkan 2 juta kematian, “flu Hongkong” (H3N2) pada 1968 dan “flu Rusia” pada 1977.

Setakat Ogos 6, 2009, jumlah terkumpul kes yang disahkan di seluruh dunia mencecah 177,457, dengan angka kematian seramai 1,462 orang. Beberapa buah sekolah di Malaysia Timur dan Malaysia Barat terpaksa ditutup sementara apabila virus ini merebak dengan cepat. Jumlah kematian di negara kini dilaporkan meningkat kepada 64 kes setakat Ogos 17, 2009, dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,225. Banyak lagi dianggap berlaku khasnya kepada mereka yang berpenyakit lain atau yang obes.

Mengapa kita patut risau?

Sungguhpun WHO menganggap ancaman virus ini secara keseluruhannya di tahap sederhana, dan kebanyakan orang yang dijangkiti mengalami gejala yang tidak begitu teruk, ini tidak bermakna anda tidak perlu merisaukan tentang ancamannya. Influenza A(H1N1) tidak seperti flu bermusim. Ia adalah virus baru dan kita tidak mempunyai pelalian, atau kalau ada pun sedikit sahaja, sedangkan ia merebak dengan cepat. Anda seharusnya lebih risau jika anak anda masih kecil, kerana sistem imun mereka belum matang, atau jika mereka menghidap penyakit pernafasan seperti asma. Justeru, adalah penting bagi anda mengambil langkah pencegahan sepanjang masa.

Bolehkah saya dapatkan vaksin menentang influenza A(H1N1) untuk diri saya sendiri dan anak saya?

Belum ada vaksin untuk menentang influenza A(H1N1), tetapi penyelidikan sudah dimulakan dalam usaha mencipta vaksin untuk itu. Anda mungkin tidak dapat melindungi diri anda sendiri dan anak anda dengan vaksin flu bermusim yang boleh didapati sekarang kerana hasil kajian menunjukkan ia tidak memberi perlindungan daripada virus A(H1N1) ini. Namun, vaksin influenza bermusim disyorkan, seperti juga vaksin pneumokokus, untuk mencegah jangkitan sekunder sekiranya berlaku wabak penyakit kemudiannya. Jika anda atau ahli keluarga anda disahkan positif, ubat antivirus baru boleh diberikan awal untuk mencegah gejalanya daripada menjadi lebih teruk.

Influenza A(H1N1) dan Kanak-Kanak

Bagaimana saya tahu sama ada anak saya dijangkiti influenza A(H1N1)?

Tanpa ujian makmal perubatan, anda tidak boleh pastikan sama ada anak anda dijangkiti influenza A(H1N1) atau flu bermusim atau tonsillitis akut. Hanya pengamal perubatan dan hospital yang ditetapkan boleh mengesahkan kes influenza A(H1N1) daripada contoh swab tekak atau hidung. Risiko dan kemungkinan adalah lebih tinggi jika anak anda baru pulang dari luar negara atau berdekatan dengan orang yang baru pulang dari luar negara yang kurang sihat.

Apakah tanda amaran kecemasan yang perlu saya awasi?

  • Anak anda mengalami kesukaran untuk bernafas
  • Warna kulit/bibirnya kebiruan
  • Diserang sawan
  • Tidak responsif atau susah bangun, tidak dapat bergerak
  • Keadaan dehidrasi (jika bayi, tidak kencing selama 12 jam)

Apa yang boleh saya lakukan untuk melindungi anak saya daripada influenza A(H1N1)?

  • Awasi gejala seperti influenza.
  • Rehatkan anak anda di rumah untuk perhatikan sama ada dia menunjukkan gejala seperti influenza.
  • Galakkan anak anda menjaga kebersihan peribadi (seperti kerap membasuh tangan, tidak memasukkan mainan yang dikongsi dengan kanak-kanak lain ke dalam mulut, membuang tisu dengan cara yang betul selepas bersin) dan tunjukkan teladan yang baik!
  • Pastikan diet yang sihat dan seimbang di rumah dan di sekolah.
  • Pastikan pengaliran udara dalam rumah yang secukupnya. Sentiasa buka tingkap dan pasang kipas kerana peredaran udara boleh mengurangkan pengumpulan zarah berjangkit yang dibawa udara.
  • Gunakan penutup hidung dan mulut jika berada di kawasan yang sesak dengan orang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen