Pengasuhan Positif

Hentikan Penyebaran

Jangkitan virus influenza, ada kalanya dipanggil “flu”, amat mudah merebak, menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sengal otot, dan juga hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan batuk. Pada masa dahulu, penduduk di negara tropika dan separuh tropika menganggap influenza sebagai masalah yang hanya dialami di negara barat yang beriklim lebih sejuk.

Bagaimanapun, sistem pengawasan influenza di Malaysia dan negara jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit di kalangan kanak-kanak. Sejak tahun 1997, apabila jenis virus influenza yang biasanya terdapat dalam burung (A/H5N1) dikesan di kalangan manusia di Asia Timur, kerajaan telah memperbaiki dan memperluas pengawasan influenza. Selain mengenal pasti virus baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius (atau pandemik), sistem pengawasan ini memberi maklumat berharga mengenai siapa yang mendapat influenza dan jangka masa jangkitan ini paling banyak berlaku dalam setahun. Di Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun, dan memuncak antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini dapat membantu pegawai kesihatan dan doktor membuat keputusan lebih baik untuk mencegah influenza menerusi vaksinasi dan merawat jangkitan influenza di kalangan kanakkanak yang lebih berisiko mendapat komplikasi serius.

Memahami asas

Tanggapan umum influenza bahawa ia bukan penyakit biasa dan bukan penyakit teruk perlu diubah. Virus influenza sentiasa tersebar di merata dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian besar dari segi ekonomi, khususnya mengakibatkan ramai tidak dapat bekerja dan ke sekolah, serta berjuta-juta orang terpaksa mendapatkan rawatan. Selang antara waktu yang tidak dapat diramalkan, virus baru boleh muncul, menjangkiti ramai orang yang tidak mempunyai pelalian. Ia boleh mencetuskan wabak pandemik, seperti pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat bulan Ogos 2010, lebih 214 negara dilanda pandemik influenza H1N1, mengakibatkan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga Mei 2010, sebanyak 14,772 kes yang disahkan H1N1 dan 87 kematian dilaporkan.

Amalan menjaga kebersihan seperti kerap membasuh tangan, menutup mulut bila bersin dan batuk, dan berehat di rumah apabila sakit, boleh membantu mengurangkan penyebaran influenza. Namun, dalam realiti, amalan ini sukar dilakukan, terutama sekali oleh kanakkanak dan dalam keadaan sesak. Kaedah paling berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan vaksinasi tahunan.

Bersin

Jangkitan influenza amat mudah merebak kerana virusnya mudah disebar daripada seorang kepada seorang menerusi titisan apabila seorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap. Virus daripada titisan bersin boleh menjangkiti orang yang menyedutnya apabila mereka bernafas. Virus influenza juga merebak apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

Kita boleh menyebarkan influenza sebelum disedari diri kita dijangkiti. Kita boleh menyebar virus kepada orang lain bermula sehari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya dan sehingga 5 hari selepas kita jatuh sakit apabila mereka mula menunjukkan gejalanya. Kanak-kanak yang dijangkiti selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan cirit-birit.

Fahami risikonya!

Kebanyakan orang yang dijangkiti influenza pulih dalam masa 2 minggu. Bagaimanapun, sesetengah orang, termasuk kanakkanak, boleh mengalami komplikasi perubatan lain seperti pneumonia, jangkitan telinga tengah, masalah neurologi dan radang jantung kerana sistem imun mereka yang belum cukup kuat.

Menjauhkan masalah

Jika dibiarkan, virus influenza boleh menyebabkan wabak di rumah, sekolah dan kalangan orang ramai. Vaksinasi adalah langkah paling penting untuk mencegah jangkitan influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksinnya sentiasa dikemas kini untuk memastikan ia dapat melindungi kita daripada jenis virus yang sedang merebak. Terdapat stren utara dan stren selatan, bergantung kepada wabak musim sejuk dua hemisfera bumi. Oleh itu, kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza 2010-2011 paling baru mampu melindungi kita daripada tiga jenis virus – influenza A (H3N2 dan H1N1) dan influenza B – influenza paling biasa pada masa ini.

Tahukah anda bahawa jangkitan influenza boleh menyebabkan komplikasi penyakit lain yang lebih serius?

Penyakit berkaitan influenza boleh membawa maut

Influenza biasanya tidak membawa maut; tetapi memberi kesan terhadap masalah perubatan lain yang lebih serius seperti pneumonia, yang boleh menyebabkan kematian. Contohnya, dianggarkan 36,413 pesakit influenza pneumonia dimasukkan ke hospital di Thailand dari 2005 hingga 2008, menyebabkan 322 kematian. Kira-kira separuh daripada pesakit adalah kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan juga orang dewasa berumur 50 tahun ke atas. Influenza mungkin nampak seperti penyakit ringan; tetapi komplikasi serius disebabkan jangkitan terbukti boleh membawa maut.

Selepas pandemik 2009

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), influenza A(H1N1) sudah melepasi tahap pandemik, iaitu virus H1N1 bukan sahaja sudah merebak seluruh dunia, bahkan ramai orang dalam semua peringkat sudah membina imunisasi terhadap virus ini. Tambahan lagi, dalam beberapa bulan kebelakangan, tiada kes besar dilaporkan di negara beriklim sejuk. Tetapi, ini tidak bermakna kita boleh berpeluk tubuh; kita mesti mengurangkan risiko kita mendapat jangkitan influenza kerana virus H1N1, dan juga virus lain, masih terus berkeliaran di seluruh dunia..

Lindungi diri anda dan keluarga anda sekarang!

Setiap orang berumur 6 bulan ke atas dinasihatkan mengambil vaksin influenza setiap tahun. Risiko kanak-kanak berumur bawah 6 bulan mengalami komplikasi serius daripada jangkitan influenza adalah lebih tinggi, tetapi disebabkan mereka terlalu muda untuk menerima vaksin ini, si penjaga atau penghuni yang tinggal bersama mereka patut mengambil vaksin untuk melindungi bayi supaya bayi dilindungi daripada jangkitan.

Terdapat orang lain yang berisiko tinggi dan patut diberi keutamaan untuk menerima vaksin influenza. Mereka termasuk

  • Orang yang mengalami masalah pernafasan kronik seperti asma dan penyakit jantung dan peparu.
  • Wanita mengandung.
  • Orang dewasa berumur 65 tahun ke atas.
  • Kanak-kanak berumur kurang 5 tahun, terutama sekali bawah 2 tahun.
  • Orang obes.
  • Mereka yang menjaga bayi dan kanak-kanak seperti penjaga taska dan jururawa

Anda hendaklah melindungi diri anda sendiri dan keluarga tersayang daripada virus influenza. Amalkan gaya hidup sihat dan bersih, dan pastikan anda sekeluarga mengambil vaksin influenza tahunan. Ia cara paling baik dan paling selamat untuk memastikan keluarga anda dilindungi daripada influenza. Virus influenza menjangkiti kanak-kanak Malaysia sepanjang tahun. Mainkan peranan anda untuk melindungi anakanak anda daripada jangkitan influenza dan menghentikan penyebaran virus ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen