Pengasuhan Positif

Diwarisi Dalam Keluarga

“Cantiknya mata anak perempuan awak!” atau “Anak anda mempunyai senyuman yang manis seperti bapanya!” Pujian sedemikian membuatkan ibu bapa merasa bangga. Tetapi, selain daripada ciri fizikal, anak anda boleh mewarisi keadaan kesihatan tertentu daripada ibu bapa. Ciri fizikal atau masalah kesihatan tersebut diwarisi melalui gen. Walaupun ada yang diwarisi secara turun-temurun, ada juga yang berlaku akibat daripada kombinasi gen dengan faktor persekitaran. Sesetengah masalah kesihatan akan kekal tidak aktif sehingga dicetus oleh faktor persekitaran tertentu, hingga menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan anak anda.

Walaupun anda tidak boleh mengubah gen anak anda, anda masih boleh melindunginya jika anda sedar risiko yang dihadapinya. Pelajari gejala yang boleh berlaku supaya anda dapat mengesannya dari awal, dan mengambil langkah untuk mencegah atau mengurangkan gejalanya.

Keadaan yang Lazim Diwarisi (Akibat Interaksi Gen dengan Faktor Persekitaran)

Alahan

Anak anda akan cenderung mendapat alahan walaupun hanya salah seorang ibu bapa mempunyai alahan. Namun, jenis alahan mungkin berbeza antara anda dan anak anda.

Awasi jika: Selsema, hidung tersumbat atau gatal, bersin, gatal telinga dan tekak, gatal mata, ruam dan ‘hives’ (perubahan warna pada kulit).

Tindakan: Pantau makanan yang dia makan dan benda yang disentuh. Bawa anak anda berjumpa doktor jika terdapat sebarang gejala alahan. Kenalpasti pencetusnya (seperti makanan, bulu haiwan, kulapuk, tungau) dan amalkan langkah pencegahan.

Ekzema (dermatitis)

Sejarah keluarga yang mempunyai ekzema atau keadaan alahan lain mendedahkan anak kepada keadaan ini.
Awasi jika: Kulit kering dan gatal, tompok merah dan kasar pada pipi, celah siku, lutut dan buku lali, pada lengan, kulit kepala dan leher.
Tindakan: Elakkan apa yang mungkin menjadi pencetus, seperti persekitaran sejuk dan kering, sabun, makanan alergenik tinggi (seperti telur) dan stres. Bawa anak anda untuk pemeriksaan bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan sewajarnya. Ambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah pencetusan .

Masalah penglihatan

Masalah penglihatan yang sering diwarisi adalah rabun dekat, rabun warna dan mata juling.
Awasi jika: Sakit kepala, juling atau mata berair semasa membaca atau menonton TV, mata bersilang, kerap memusing kepala untuk melihat sesuatu objek, sukar membezakan warna merah dan hijau serta warna lain yang mengandungi corak warna ini.
Tindakan: Bawa anak anda untuk pemeriksaan oleh pakar mata jika dia mempunyai sebarang tanda tersebut. Mulakan pemeriksaan mata tahunan daripada usia 1 tahun bagi mengesan masalah mata dari awal.

Migrain

Migrain biasanya akan mula muncul pada usia lebih kurang 8 tahun, tetapi ada kalanya lebih awal bagi sesetengah kanak-kana
Awasi jika: Sakit berdenyut-denyut pada dahi, pelipis atau sekitar mata, rasa mual atau muntah, dan peka terhadap cahaya dan bunyi.
Tindakan: Kenalpasti pencetusnya, seperti kepenatan dan sesetengah makanan (seperti keju, coklat, kafein), serta bantu anak anda mengelaknya. Tidur atau mengambil ubat pelega kesakitan boleh melegakan sakit kepala untuk kanak-kanak. Pastikan anak anda berjumpa doktor bagi memastikan tiada penyakit lain yang serius.

Sindrom gangguan usus atau IBS

Jika anda mempunyai IBS, maka anak anda akan berkemungkinan besar untuk mendapatnya.
Awasi jika:Sering kejang perut, kembung perut, selang-seli antara sembelit dan cirit-birit, kolik (pada bayi).
Tindakan: IBS boleh diurus dengan perubahan gaya hidup yang mudah, seperti mengelakkan makanan pencetus (seperti kafein, coklat) dan pengurangan stres. Bawa anak anda berjumpa pakar gastroenterologi pediatrik bagi menyingkirkan sebarang gangguan penghadaman lain yang lebih serius.

Perangkaan

  • Di Malaysia, 1 daripada 3 orang mengalami masalah alahan.
  • Di negara barat, kejadian ekzema kanak-kanak adalah sebanyak 10%-16%.
  • 10% daripada populasi dunia mempunyai rabun warna, dan biasanya di kalangan lelaki.
  • Migrain berlaku pada 5%-10% di kalangan kanak-kanak sekolah di Amerika Syarikat.
  • Di Amerika Syarikat, IBS dilaporkan berlaku sebanyak 6% pada pelajar sekolah pertengahan (umur 11-14 tahun) dan 14% bagi pelajar sekolah menengah (14-18 tahun).

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen