Pengasuhan Positif

Cerita Di Sebalik Usus

Satu daripada pengalaman paling menyeronokkan dalam hidup kita ialah apabila kita menyambut kedatangan bayi kita ke dalam dunia ini. Sewaktu lahir, bayi anda bergantung sepenuhnya kepada anda untuk hidup – mereka belum dapat bercakap ataupun berjalan lagi. Namun, si manja dapat menikmati manfaat sepenuhnya susu anda kerana sewaktu lahir sistem penghadamannya cukup matang untuk menghadamkan susu ibu.

Pertumbuhan Usus

Apabila janin terbentuk dalam rahim ibu, tiga lapisan sel perlahan-lahan tumbuh untuk menjadi tiga komponen utama tubuh badannya.

Lapisan Pembentukan
1 Sistem saraf dan organ deria
2 Sistem otot, peredaran dan rangka
3 Sistem penghadaman

Usus bayi anda mula terbentuk seawal minggu ke-5 kehamilan. Sistem penghadaman mula berfungsi apabila bayi berada pada bulan ketiga perkembangan janin.

Sehingga bayi mencapai umur 6 bulan, susu ibu hanya boleh diberikan. Setelah itu, sistem penghadaman bayi anda sudah cukup matang untuk menghadamkan makanan yang lebih kompleks dan pepejal, seperti kanji, protein, lemak, vitamin dan mineral. Namun, ibu disarankan supaya terus menyusukan bayi sambil membiasakan mereka secara perlahan-lahan dengan makanan pepejal.

WDalam Usus Bayi Anda

Bakteria memainkan peranan penting dalam membantu mengekalkan sistem penghadaman sihat. Sebaik sahaja anda mula menyusukan bayi anda, bakteria baik seperti bifidobakteria yang penting diperkenalkan untuk kesihatan usus bayi. Bilangan bakteria baik dan juga bakteria jahat bertambah dengan cepat dalam beberapa hari pertama hayat bayi untuk membentuk imbangan mikroflora yang sihat dalam usus. Mikroflora usus bayi anda melindunginya daripada jangkitan dan membantu mematangkan sistem imunnya. Tanpa keseimbangan bakteria usus, besar kemungkinan bayi anda akan mengalami kolik atau kembung (gas dan angin dalam abdomen), dan dipercayai si manja lebih berisiko mendapat alahan dan asma apabila dia membesar.

Susu Ibu berbanding Susu Botol

Susu ibu boleh membantu bayi anda menjamin tumbesaran, perkembangan dan kesihatan optimum. Susu ibu kaya dengan antibodi dan hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menyusu ibu kurang mendapat jangkitan gastrousus, telinga, saluran kencing dan pernafasan. Antibodi, kolostrum dan susu ibu juga menggalakkan kolonisasi bakteria baik dalam saluran gastrousus bayi baru lahir.

Mikroflora usus bayi yang diberi susu formula didapati berlainan daripada mikroflora usus bayi yang menyusu ibu. Bilangan bakteria bifidobakteria yang membantu pertumbuhan mikroflora usus sihat di kalangan bayi yang mengambil susu formula adalah jauh berkurangan. Selain daripada itu, faktor bifidogenik yang terdapat dalam susu ibu membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam usus, yang mengurangkan risiko cirit-birit dan penyakit usus umum lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya ibu menyusukan bayi mereka sepenuhnya selama sekurangkurangnya 6 bulan pertama. Malah, UNICEF dan WHO menggalakkan ibu-ibu menyusukan bayi sehingga dua tahun, jika boleh.

Jaga Kesihatan Sistem Penghadaman Anak Anda

Sistem penghadaman yang sihat adalah penting untuk memastikan anak anda mendapat semua nutrien yang diperlukan untuk membesar dan kekal sihat. Makanan mesti terlebih dahulu diurai dan diserapkan badan dengan betul kerana kanak-kanak yang mengalami malpemakanan mungkin menghadapi masalah penguraian makanan, penyerapan dan metabolisme. Jika salah satu bahagian daripada proses ini rosak, status pemakanan anak anda akan terancam. Ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan fizikal dan juga kognitif mereka.

Oleh itu, jika anda mahukan anak-anak anda membesar dengan sihat untuk selama bertahun-tahun yang akan datang, jagalah perut mereka dari sekarang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen