Siapa sangka penyakit selesema biasa sebenarnya adalah penyakit yang boleh meragut nyawa? Apabila Damia Bastrisya diserang selesema, Erna Waty Salihuddin, ibu kepada Damia, menyangka ia selesema yang biasa. Si ibu memberi anaknya ubat yang terdapat di rumah dengan harapan ia dapat menyembuhkannya. Tetapi keadaan Damia tidak bertambah pulih. Dalam masa beberapa hari, keadaan Damia menjadi lebih teruk. Dia bukan sahaja batuk, bahkan mula demam.
“Dalam masa beberapa jam, demamnya bertambah teruk. Badannya panas secara mendadak dan menjadi lemah. Saya tahu saya perlu membawa Damia ke hospital apabila dia mula muntah,” kata Erna.
“Si manja dijangkiti H1N1”
Sukar bagi Erna menerima hakikat tersebut apabila doktor memberitahunya tentang berita yang amat ditakuti itu. “Saya sangat sedih bila mendapat tahu anak saya dijangkiti virus H1N1. Saya rasa sungguh tidak berdaya. Saya tidak sangka anak saya sendiri boleh dijangkiti virus pembunuh ini!”
H1N1 ialah virus influenza yang menyebabkan mangsa sakit teruk. Ia pertama kali dikesan pada April 2009. Pada 11 Jun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan H1N1 sebagai wabak pandemik kerana virus itu telah meragut banyak nyawa di banyak negara di dunia. Kes pertama di Malaysia dilaporkan pada 15 Mei. Pada puncak wabak penyakit itu, beberapa sekolah dan universiti ditutup untuk mengawal virus daripada merebak. Pada 30 Oktober, jumlah korban di Malaysia kekal sebanyak 77 kematian dan tidak berubah sejak beberapa bulan yang lepas.
Dalam kes Erna, anaknya telah menunjukkan tanda jelas jangkitan virus H1N1, iaitu demam, batuk, sakit kepala dan keletihan. Sesetengah pesakit mungkin mengalami muntah-muntah dan cirit-birit. Kanak-kanak dan warga emas paling berisiko tinggi, terutama sekali jika mereka menghidap penyakit seperti asma dan sakit jantung.
Pemulihan Segera
Sebaik sahaja dimasukkan ke hospital, Damia diberi cecair intravena kerana mengalami dehidrasi akibat kerap muntah. Sepanjang 5 hari dirawat di hospital, dia mendapat bekalan bendalir, ubat antivirus dan antibiotik secara berterusan, membolehkan keadaannya beransur-ansur pulih.
Seluruh keluarga Erna dikuarantin di rumah selama seminggu, kerana mereka tidak mahu virus tersebut merebak. Mereka juga turut memakai penutup mulut dan hidung dan memastikan diri mereka sentiasa dalam keadaan yang bersih.
Selepas Pengalaman Pahit
“Damia adalah seorang kanak-kanak yang kuat. Dia melawan virus H1N1 yang menjangkitinya. Saya bangga dengannya,” kata Erna, sambil melemparkan senyuman kepada Damia. Melalui pengalaman yang menakutkan itu, Erna belajar bahawa dia tidak boleh mengambil mudah atau memandang ringan apa yang berlaku kepada anaknya.
“Saya sangka ia tidak akan berlaku kepada keluarga saya tetapi ternyatalah meleset. Kita perlu lebih peka dan prihatin terhadap orang lain. Jika anda tidak sihat, sebaikbaiknya jangan keluar rumah. Jangan biarkan orang lain dijangkiti. Segera dapatkan rawatan daripada doktor keluarga anda. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.”
Beberapa langkah berikut boleh diambil untuk melindungi keluarga anda daripada jangkitan virus H1N1:
- Pastikan anda menutup hidung dan mulut dengan menggunakan tisu apabila bersin atau batuk. Terus buang tisu ke dalam tong sampah.
- Basuh tangan anda dengan sabun dan air sekerap mungkin. Pembersih tangan tanpa alkohol juga amat berguna.
- Jika boleh, cuba elakkan daripada berada dekat dengan orang yang sakit.
- Jika anda sakit, duduk di rumah sekurang-kurangnya selama 24 jam atau sehingga demam turun.
Sentiasa Berwaspada!
Buat sementara waktu, hasil kajian menunjukkan tiada tanda mutasi virus H1N1 kepada bentuk yang lebih berbahaya. Namun, WHO meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada. Walaupun sejak kebelakangan ini kes H1N1 telah berkurangan, terdapat kemungkinan dunia akan menghadapi gelombang kedua virus tersebut, yang mungkin lebih teruk.
Komen