Pengasuhan Positif

Asma semasa Kehamilan dan Penyusuan

Lazimnya, pengalaman mengandung adalah saat-saat yang penuh dengan kegembiraan dalam kehidupan seseorang wanita. Namun, jika anda mempunyai penyakit asma, anda mungkin bimbang jikalau ia boleh menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan and

Asma adalah satu keadaan perubatan yang lazim tetapi namun yang berpotensi menyulitkan proses kehamilan. Semasa berlakunya serangan asma, janin mungkin tidak dapat menerima oksigen yang mencukupi. Selepas kelahiran bayi anda, anda pula risau bahawa ubat asma yang anda ambil mungkin mengandungi bahan berbahaya yang dapat meresap ke dalam susu ibu; ini mungkin akan membawa kesan yang negatif terhadap bayi anda yang meminumnya.

Justeru anda perlu sedar dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menguruskan keadaan anda bagi mengelakkan komplikasi yang serius kepada bayi anda.

Anda harus menyedari bahawa proses kehamilan boleh mengubah keadaan asma anda. Jika anda menghidap asma yang teruk, berkemungkinan besar keadaan ia akan bertambah teruk; jika anda mengalami asma yang ringan, keadaan anda cenderung untuk bertambah baik ataupun kekal sama. Gejalanya mula menjadi ketara semasa minggu 24-36 kehamilan. Secara umumnya, seorang wanita yang berpenyakit asma biasanya akan menunjukkan tahap gejala asma yang sama pada setiap kehamilannya.

Kesan ubat asma ke atas kehamilan

Secara amnya, ubat sedut adalah lebih digemari disebabkan oleh kesan setempatnya, dengan kuantiti yang sedikit sahaja memasuki aliran darah. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa tiada peningkatan risiko pra-eklampsia, kelahiran pramatang, berat badan lahir yang rendah dan kecacatan kongenital dalam kalangan wanita yang menggunakan ubat sedut. Selain daripada itu, ubat-ubatan lama yang telah diuji dan dibuktikan selamat semasa mengandung juga adalah lebih digemari. Semasa trimester pertama, penggunaan ubat harus dihadkan sebanyak mungkin kerana janin sedang terbentuk.

Jika keadaan asma dikawal dengan baik sebelum mengandung, anda mungkin berfikir untuk berhenti mengambil ubat asma kerana bimbang ia akan membahayakan janin anda. Anda tidak perlu berbuat demikian kerana risiko asma yang tidak terkawal adalah lebih teruk daripada risiko pengambilan ubat asma semasa mengandung.

Berundinglah dengan doktor anda supaya satu pelan rawatan individu boleh dibentuk dan pertukaran ubat yang sesuai boleh dilakukan jika perlu. Jikalau boleh, penjagaan asma harus digabungkan dengan penjagaan obstetrik dan doktor yang sama harus dirujuk bagi kedua-dua jenis penjagaan. Perbincangan kumpulan harus digunakan jika lebih daripada satu doktor terlibat dalam rawatan dan pemerhatian anda.

Doktor anda akan merancang rawatan anda selepas mengambil kira dua faktor ini: penggunaan ubat dan kawalan gejala, dan mengimbangi dua faktor ini dengan teliti untuk memastikan kesan yang terbaik untuk kesihatan anda dan bayi dalam kandungan anda.

Kesan Ubat Asma ke atas Penyusuan

Ubat-ubatan yang boleh digunakan semasa kehamilan biasanya juga adalah selamat untuk diambil ketika menyusu. Ubat steroid oral kadang-kadang boleh meresap ke dalam susu badan, tapi hanya dalam jumlah yang sedikit, dan bukannya dalam kuantiti yang mendatangkan bahaya kepada bayi anda.

Juga, anda tidak perlu bimbang kerana ubat asma tidak akan menjejaskan keupayaan anda untuk menghasilkan susu badan.

Komplikasi asma yang tidak terkawal

Asma yang tidak terkawal (melalui ubat) lazimnya menyebabkan risiko yang serius kepada kedua-dua ibu dan anak. Si ibu mungkin menghidap pra-eklampsia atau darah tinggi semasa mengandung, yang seterusnya boleh membahayakan bayi. Asma yang tidak dikawal dengan baik juga boleh meningkatkan kadar pembedahan secara Caesarean dan kebantutan pertumbuhan intrauterus yang lebih tinggi. Risiko lain termasuk peluang yang tinggi bayi dilahirkan pra-matang, mempunyai berat lahir yang rendah dan memerlukan pemerhatian yang lebih lama di hospital. Dalam keadaan yang paling teruk, asma yang tidak dikawal boleh mengakibatkan keguguran kerana kekurangan bekalan oksigen kepada janin.

Mengurus asma semasa mengandung

Sebaik-baiknya, elakkan pencetus yang diketahui boleh menyebabkan serangan asma. Dengan berbuat demikian, gejala anda boleh bertambah baik dan jumlah ubat yang anda perlu mengambil boleh dikurangkan. Gunakan tip-tip berikut untuk membantu anda:

  • Apabila anda mengandung, anda mungkin mendapati bahawa gelaja asma anda atau sensitiviti kepada sesetengah pencetus telah berubah. Jadi, berunding dan kaji semula pelan tindakan asma yang anda telah guna sebelum mengandung dengan pakar perubatan anda, dan buatlah perubahan jika perlu.
  • Jangan merokok kerana ia mengurangkan bekalan oksigen kepada janin. Merokok juga boleh meningkatkan peluang anda untuk mengalami serangan asma yang teruk, yang boleh membahayakan bayi dalam kandungan. Jauhi diri daripada perokok kerana asap rokok sekunder juga adalah berbahaya.
  • Elakkan memelihara haiwan kesayangan yang boleh menyebabkan alahan, atau sekurang-kurangnya mengehadkannya di kawasan rumah yang tertentu, jauh dari bilik tidur anda.
  • Kenal pasti objek yang menyebabkan alahan dan cuba mengelakkannya.
  • Lapikkan bantal dan tilam spring dengan sarung yang mencegah kutu hama.
  • Sebarang aktiviti fizikal atau senaman harus dilakukan dengan berhati-hati dan di bawah pengawasan doktor.
  • Kurangkan pendedahan kepada mereka yang menghidap selsema untuk mengelakkan diri anda daripada dijangkiti. Selsema boleh memburukkan gejala asma.

Pada umumnya, ubat asma yang anda ambil bukanlah sebab utama yang menjejaskan kesihatan bayi anda. Namun, ia adalah sangat penting supaya anda mengambil ubat secara tetap, berdasarkan nasihat doktor. Pengurusan asma yang baik akan membantu memastikan anda mempunyai kehamilan dan kelahiran yang sihat dan normal.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen