Ramai antara kita yang menyangka bahawa kita boleh memastikan anak-anak kita selamat hanya dengan memberitahu mereka supaya jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Malangnya, bahaya kepada anakanak kita bukan sahaja datang daripada orang yang tidak dikenali. Anak-anak kecil tidak dapat membezakan siapa “orang yang tidak dikenali”, atau situasi yang boleh mendatangkan “bahaya”, lebih-lebih lagi kalau mereka didekati oleh seseorang yang nampak baik dan mesra.
Pengawasan yang baik
Ibubapa hendaklah sentiasa memastikan anak-anak kecil mereka diseliakan dengan baik dan tidak dibenarkan keluar seorang diri. Jika anda tiada di rumah, pastikan anak anda ditemani oleh orang dewasa yang anda percayai. Pastikan anak-anak yang lebih besar membawa kawan jika mereka pergi ke mana-mana.
Komunikasi
Luangkan lebih banyak masa untuk berbual dengan anak anda dan mendengar isi hati mereka. Tunjukkan minat terhadap kehidupan anak-anak anda, dan bincangkan pengalaman dan aktiviti mereka setiap hari. Galakkan mereka menceritakan kepada anda tentang sebarang situasi atau orang yang membuat mereka rasa tidak selesa, takut atau keliru.
Awasi anak-anak anda sepanjang masa
Pastikan anda tahu di mana anakanak berada dan dengan siapa. Kenali kawan-kawan anak anda dan keluarga mereka. Tunjukkan contoh yang baik dengan memberitahu anak-anak bila anda keluar, atau jika anda lewat pulang. Ini membolehkan anak-anak yang lebih besar faham bahawa anda bimbangkan keselamatan mereka dan bukan hanya “mengintip” mereka.
Siapa yang menjaga anak anda?
Siasat latar belakang semua orang yang bekerja di rumah anda atau menjaga anak anda dan dapatkan rujukan mengenai mereka. Anda boleh pulang tanpa diduga untuk membuat “pemeriksaan mengejut” dan dengar maklum balas anak anda tentang penjaganya. Jangan sama sekali tidak menghiraukan aduan anak-anak, lebih-lebih lagi jika mereka mengatakan mereka takut atau tidak selesa dengan seseorang, sekalipun orang itu kawan rapat anda sendiri atau anggota keluarga terdekat.
Orang yang boleh dihubungi
Anak anda seharusnya tahu bagaimana untuk menghubungi anda dalam keadaan terdesak atau cemas. Anda juga patut memberikan nombor telefon anggota keluarga dewasa yang boleh mereka hubungi sekiranya anda tiada atau sakit. Pastikan anak-anak yang lebih besar mempunyai wang syiling untuk membuat panggilan kecemasan dan simpan catatan nombor telefon yang boleh dihubungi.
Ajar Anak Anda
Lari – Ajar anak anda lari daripada bahaya. Jelaskan bahawa mereka dalam “bahaya” apabila ada orang datang terlalu dekat dengan mereka atau cuba menarik mereka. Jika ini berlaku, suruh mereka meronta, lari dan menjerit kuat “Dia bukan ayah saya/ibu saya”. Ingatkan mereka bahawa keselamatan mereka lebih penting daripada budi bahasa.
Jangan cakap apa-apa – Beritahu anak-anak anda bahawa mereka tidak perlu menjawab atau bercakap apaapa bila ditegur atau bila ada orang yang tidak dikenali mendekati mereka untuk bertanyakan soalan. Kalau orang itu terus mendesak, suruh mereka menjawab “Saya tidak tahu, saya budak” atau “Tanyalah orang dewasa” dan terus menjauhkan diri daripadanya.
Ambil anak dari sekolah
Pastikan pihak berkuasa sekolah dimaklumkan tentang siapa yang menghantar dan mengambil anak anda dari sekolah. Jangan benarkan pihak sekolah membiarkan anak anda mengikut orang lain melainkan anda telah memaklumkan mereka terlebih dahulu, dan minta mereka pastikan bahawa anda telah membuat panggilan sedemikian dengan menghubungi anda menerusi nombor telefon yang anda berikan. Beri mereka nombor telefon anggota keluarga terdekat untuk dihubungi jika berlaku kecemasan atau keadaan yang tidak diduga.
Sentiasa pesan atau ingatkan anak anda supaya tidak mengikut sesiapa yang datang untuk mengambil mereka dengan mendakwa sebagai “kawan” anda selain pengangkutan biasa tanpa mendapatkan pengesahan daripada guru mereka.
Peraturan bila keluar
Bila keluar ke tempat awam seperti taman atau kompleks beli belah, jangan biarkan anak-anak sendirian. Sentiasa temani anak-anak anda bila mereka ke tandas awam. Pastikan anak anak yang lebih besar pergi ke tandas bersama kawan atau berkumpulan dan jangan pergi seorang diri.
Di kompleks beli-belah atau taman, tunjukkan kepada anak-anak di mana kaunter atau pondok bantuan. Sekiranya anda terpisah daripada anak-anak, ajar mereka supaya tidak mencari anda sendirian. Sebaliknya, suruh mereka pergi ke kaunter atau pondok bantuan untuk mendapatkan pertolongan.
Komen