Dunia sekarang ini materialistik: permainan terbaru, alat gajet canggih, pakaian mahal. Kanak-kanak ialah sasaran utama sebagai pembeli dan mereka disogok untuk menjadi lebih materialistik dalam memenuhi kepuasan mereka. Mereka mahukan apa yang dimiliki oleh kawan mereka dan kadangkala menuntut ganjaran besar untuk sesuatu kerja atau apabila berkelakuan baik.
Walaupun tidak salah membeli barang untuk anak anda, sebagai ibubapa kita perlu mengenalpasti bahaya sekiranya terlalu mementingkan nilai materialistik, contohnya, apabila anak anda lebih menghargai kebendaan berbanding orang lain dan perhubungan.
Persiapkan anak anda dalam menghadapi dunia materialistik dengan menerapkan nilai-nilai murni supaya dia menghormati dan menghargai orang sekelilingnya.
Bertimbang rasa
Kanak-kanak kadangkala mementingkan diri sendiri dan apabila sampai suatu tahap, tidak mampu untuk memahami bahawa orang disekelilingnya juga ada keperluan. Baik hati, bertimbang rasa dan memikir orang lain merupakan nilai yang anak anda tidak mungkin faham pada awalnya, namun anda boleh ajar dengan mudah.
Contohnya, ingatkan mereka supaya jangan bising apabila seseorang sedang berbual di telefon, galakkan mereka membantu pembantu rumah sekiranya mereka menyepahkan rumah, dan berkongsi televisyen dengan ahli keluarga.
Berterima kasih
Berterima kasih ialah satu nilai yang memerlukan masa untuk menerapnya, jadi mulakan dengan mengajar anak anda untuk mengucapkan terima kasih apabila pembantu rumah menyediakan makanan untuknya, atau apabila menerima hadiah. Jika berbual mengenai sekolah dengan anak anda, galakkannya untuk bercakap tentang perkara yang positif, daripada asyik bersungut. Sediakan satu kalendar di rumah untuk anak anda senaraikan satu perkara yang dia berterima kasih setiap minggu yang secara tidak langsung dapat memupuk nilai murni ini.
Murah hati
Sebarang bentuk perhubungan perlu ada yang memberi dan menerima. Ajar anak anda kedua duanya supaya dia boleh menghargai kepuasan apabila memberi dan menerima dengan tangan terbuka. Galakkan mereka untuk mengajak kawankawan bermain di rumah, atau sekiranya anak anda lebih muda, anda boleh mengajak ahli keluarga yang mempunyai anak sebaya dengannya.
Biarkan anak anda seronok berkawan dan gunakan peluang ini untuk mengajarnya menjadi pemurah, contohnya berkongsi permainan. Kanak-kanak kecil juga boleh diajar supaya bermurah hati terhadap orang yang memerlukan. Mereka boleh memberi permainan, baju-baju dan buku-buku untuk tujuan kebajikan.
Bersopan santun
Semai nilai kesopanan bermula dari kecil. Gunakan ungkapan ‘tolong’, ‘terima kasih’ dan ‘maafkan saya’. Ajar anak anda maksud setiap ungkapan tersebut supaya dia memahami mengapa ia penting. Contohnya, kita ucapkan terima kasih kepada pembantu rumah kerana dia membantu membersihkan rumah. Gunakan ungkapan ini selalu dan jadikannya sebagai kebiasaan dalam keluarga anda. Anak anda akan mula mempelajarinya dan apabila dia mengucapkan ‘terima kasih’ buat pertama kali, berikannya pujian.
JADI SEBAGAI TELADAN
Anak anda umpama span – mereka belajar melalui perkataan, kelakuan dan nilai murni yang anda tonjolkan setiap hari. Jadi, sentiasa berterima kasih, bertimbangrasa dan murah hati apabila bersama dengannya. Hormatinya dengan sopan walaupun ketika anda bertegas dengannya. Jangan mengharapkan anak anda untuk melakukan sesuatu yang anda dan pasangan anda tidak bersedia. Ingat, cara pimpinan yang paling berkesan adalah melalui teladan.
Komen