Pengasuhan Positif

Menjaga Anak Yang Sakit Di Rumah

Menjaga anak anda ketika dia sakit boleh mengukuhkan hubungan anda dengannya. Ambillah cuti dan luangkan masa dengannya serta berikan kasih sayang kepadanya. Di sini terdapat beberapa tip yang boleh anda lakukan untuknya di rumah.

Keselesaan dan Penjagaan

  • Biarkan anak anda di rumah jika dia menghidapi penyakit berjangkit, memerlukan jagaan rapi, atau tidak dapat menumpukan perhatian untuk belajar dan bermain.
  • Jika anda tidak dapat berada di rumah, pastikan ada saudara mara atau kawan yang menjaganya. Telefon setiap beberapa jam untuk mengetahui keadaannya dan samada gejala berkurangan.
  • Jika anda boleh berada di rumah, berikan dia rehat dan keselesaan. Tukar cadar anak anda dan benarkan dia tidur di katil anda sekiranya dia mahu. Bersabar sekiranya dia meragam.
  • Kebosanan boleh membuatkan anak anda murung, oleh itu pastikan anda memberinya sesuatu yang boleh mengalihkan perhatiannya. Bukalah siaran kanak-kanak dan bacakan buku cerita kepadanya. Jika dia bertenaga, ajaklah dia bermain puzzle, dam atau catur, mewarna atau bermain teka-teki.

Tip Pemberian Makanan

  • Apabila dia sakit, anak anda mungkin mengalami kurang selera makan ataupun tidak boleh makan makanan yang biasa dimakannya. Anda perlu melakukan yang terbaik untuk menjaga pemakanannya.
  • Berilah anak anda diet yang lembut yang mudah ditelan dan dicerna, seperti roti dengan sedikit jem ataupun bubur nasi. Elakkan makanan yang berminyak atau terlalu banyak karbohidrat kompleks.
  • Jika anak anda mengalami kesukaran untuk menelan, beri nasi atau bubur oat dengan sayuran dan daging yang dikisar dan ditapis. Dia mungkin memerlukan cecair secara intravena sekiranya dia tidak boleh makan atau minum.
  • Makanan seharusnya lembut (sememangnya tidak pedas ataupun mempunyai rasa dan bau yang kuat) bagi mengelakkan iritasi kepada kerongkong dan saluran penghadaman.
  • Jika penyakit anak anda tidak mempengaruhi sistem penghadamannya (dengan menyebabkan cirit-birit dan muntah-muntah), anda boleh memberinya protein, vitamin dan mineral seperti biasa melalui susu dan buah-buahan. Sedikit kreativiti (seperti menggunakan susu di dalam makanan pencuci mulut ataupun buah dijadikan jus atau dibuat jeli) boleh banyak membantu pemakanan dan keceriaan anak yang sakit. Anda juga boleh memberikan dadih yang mengandungi bakteria ‘baik’ (probiotik) bagi membantu anak anda sembuh dan mendapat nutrien.
  • Sekiranya terdapat cirit-birit atau muntah-muntah, pastikan anak anda dapat cecair yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan anda memberikan bahagian cecair bubur nasi untuk mengawal ciritbirit dan mencegah dehidrasi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen