Pengasuhan Positif

Mencegah Kemalangan Yang Biasa Berlaku Ke Atas Kanak-kanak

Kanak-kanak adalah insan yang lemah dan sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya yang boleh memudaratkan mereka. Sikap ingin bergembira dan meneroka boleh mendatangkan bahaya kepada diri mereka.

Sebagai ibu bapa, kita tidak dapat menangkis naluri dan keinginan untuk melindungi anak-anak kita sepanjang masa. Ini bukan sahaja mustahil dan tidak praktikal untuk dilakukan, tetapi juga menutup ruang kebebasan dan peluang untuk mereka menerokai persekitaran di sekeliling mereka dan belajar daripadanya.

Perlindungan dan kebebasan perlu diseimbangkan untuk membolehkan anak-anak kita membesar dengan gembira. Kita harus berfikiran jauh dan berusaha untuk mencegah sebarang kemungkinan kemalangan, termasuk mengenepi, mengalih atau menghapuskan bahaya-bahaya yang jelas, khususnya tujuh bahaya yang boleh membawa maut.

Di samping itu, kita juga perlu sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi saat-saat kecemasan. Seperti kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”. Simpan peti bantuan kecemasan yang lengkap di rumah dan di dalam kereta. Baca buku, layari internet atau sertai kursus untuk mempelajari cara-cara untuk berdepan dengan masalah anak-anak tercekik, luka berdarah dan keracunan. Jika berminat, anda juga boleh belajar tentang prosedur atau cara-cara untuk memberi bantuan kardiopulmonari (CPR). Jika berlaku kemalangan yang serius, bertindaklah dengan tenang dan pantas.

Langkah-langkah pencegahan dan kecemasan yang betul mencukupi untuk menjamin keselamatan anak anda, atau dalam kes-kes yang lebih serius, menyelamatkan nyawanya.

  1. TERJATUH & TERGOLEK

    Buai kain yang digantung pada spring boleh mendatangkan bahaya. Seorang bayi yang sedang nyenyak tidur pernah dilaporkan terjatuh dari buai kain. Spring yang longgar atau membuai dengan terlalu kuat boleh menyebabkan bayi terhentak ke lantai atau terhantuk perabot yang berhampiran. Lebih selamat jika anda menidurkan anak anda dalam kot atau katil bayi.

    Sebaik-baiknya jangan gunakan ‘walker’ atau kerusi beroda untuk membantu mempercepatkan anak anda belajar berjalan, kerana keberkesanannya sukar dibuktikan. Sebaliknya, ia boleh menyebabkan kecederaan yang serius. Kerusi beroda boleh terbalik dan menyebabkan kepala anak anda terhentak ke lantai, atau menyebabkan tulangnya patah. Kes roda walker yang tidak direka bentuk dengan betul menggilis jari kaki kanak-kanak pernah dilaporkan. Begitu juga kes bayi yang mati kerana terjatuh dari atas tangga semasa menggunakan walker.

    Jika anda tinggal di pangsapuri yang tinggi atau rumah bertingkat, pastikan tingkap dan anjung anda dipasang jeriji. Naluri kanak-kanak yang ingin tahu dan meneroka menyebabkan mereka gemar melihat ke luar atau mencuba aksi-aksi seperti Superman. Tanpa jeriji yang selamat, anak anda boleh terjatuh dan menemui ajal.

    Tangga juga merupakan tempat yang merbahaya. Sebelum anak anda mula merangkak, pasang pintu penghadang keselamatan di bahagian bawah dan atas tangga. Apabila dia sudah bersedia, ajar anak anda cara yang betul untuk naik dan turun tangga, iaitu dengan memegang susur tangga.

    Kanak-kanak juga boleh terdedah kepada bahaya di taman permainan. Jadi, sebelum membenarkan anak anda bermain, pastikan keselamatan semua peralatan yang terdapat di taman permainan. Sebagai contoh, pemegang pada tepi buaian boleh tercabut, menyebabkan anak anda tercampak ke tanah. Jangan benarkan anak anda bermain buai, gelongsor atau palang besi gayut sebelum dia cukup besar dan kuat. Selepas umurnya meningkat sekalipun, anda tidak boleh membiarkan dia bermain bersendirian tanpa pengawasan.

    Kalau boleh, pilih taman permainan yang mempunyai permukaan yang lebih lembut, seperti taman permainan berumput, berpasir, atau beralas getah, supaya boleh menjadi pengalas jika anak anda jatuh.

    Apabila membeli-belah di pasaraya, anda boleh menyorong anak anda di dalam troli. Tetapi, jangan lupa memasang tali pinggang keselamatan. Jangan benarkan anak anda terlalu banyak bergerak kerana dia mungkin menggoyangkan troli dan jatuh. Jangan sekali-kali tinggalkan anak anda berseorangan dalam troli.

  2. KEMALANGAN JALAN RAYA

    Kematian disebabkan oleh kemalangan di jalan raya biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak yang berusia bawah 15 tahun. Oleh itu, jangan biarkan anak anda, terutama anak-anak yang masih kecil, merayau di jalan raya sendirian. Apabila berjalan di jalan raya, pastikan anak anda berjalan di sebelah tepi dan anda di tengah, untuk mengelakkan dia merayau terlalu jauh hingga memasuki laluan kereta. Setelah anak anda besar, ajar dia cara melintas jalan dengan selamat.

    Apabila berada dalam kereta, semua penumpang mesti memakai tali pinggang keselamatan. Letakkan anak anda dalam kerusi kereta khas untuk kanak-kanak sehingga dia cukup besar. Lebih selamat jika anda meletakkannya di kerusi belakang. Sebagai ibu bapa, langkah paling penting ialah memandu dengan cermat dan selamat. Apabila anak anda belajar menunggang basikal, pastikan dia memakai topi keledar untuk menjaga keselamatannya.

  3. LEMAS

    Jangan tinggalkan bayi atau anak kecil anda seorang diri dalam besen mandi. Tutup mangkuk tandas dan kosongkan semua baldi.

    Anak-anak kecil memang suka bermain air, tetapi tanpa pengawasan mereka boleh lemas, walaupun dalam air sedalam beberapa inci. Jangan tinggalkan anak anda seorang diri apabila berada dekat dengan kawasan berair, sama ada dekat parit, tasik, kolam renang atau kolam cetek. Di sekitar rumah, jauhkan anak dari longkang besar, dan pastikan tangki pembentungan sentiasa ditutup rapat.

  4. KERACUNAN

    Bayi dan anak kecil biasanya memasukkan barang dalam mulut sebagai cara untuk mencuba atau meneroka benda baru. Ada kalanya, tabiat ini boleh mengakibatkan keracunan yang tidak disengajakan.

    Elakkan kemalangan seperti ini dengan mengunci semua ubat dalam peti, laci, almari atau tempat yang selamat. Simpan bahan pembersih cecair dan bahan kimia dalam bekas asalnya (bukan dalam botol minuman ringan atau botol jus) dan letakkan jauh dari bekas minuman biasa. Berhatihati apabila menggunakan bebola racun serangga dan produk penjagaan rumah yang mempunyai pakej warna-warni, kerana kanak-kanak mungkin menyangka ia gula-gula atau bungkusan manisan.

    Beberapa jenis tumbuh-tumbuhan (seperti cendawan dan pokok-pokok yang tumbuh melata) mungkin beracun. Pastikan keselamatannya sebelum anda menanamnya di halaman atau di kebun belakang rumah anda.

  5. MELECUR DAN TERBAKAR

    Kebanyakan kejadian melecur dan terbakar berlaku di dapur. Apabila memasak, letakkan periuk belanga di atas tunku belakang, supaya anak anda tidak dapat mencapainya. Jangan halakan telinga kuali atau tangkai periuk ke depan, supaya ia tidak boleh ditarik oleh anak anda atau anda sendiri tersinggul hingga menyebabkan periuk atau kuali jatuh secara tidak sengaja.

    Sebelum memandikan anak anda, pastikan air mandinya tidak terlalu panas, kerana kulitnya lebih sensitif daripada kulit anda. Celup tangan anda ke dalam air untuk memastikan tahap kepanasan. Sebaik-baiknya gunakan air suam untuk memandikan anak. Jauhkan mancis dan pemetik api dari anak-anak yang suka menggapai. Jika boleh, pasang pengesan asap di rumah untuk mengurangkan risiko kebakaran. Lakukan ujian pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali setahun, untuk memastikan ia dalam keadaan baik.

  6. TERCEKIK & TERSEKAT NAFAS

    Oleh kerana saluran udaranya kecil, anak anda boleh tercekik jika dia cuba menelan objek kecil seperti duit syiling, butang, barang kemas dan mainan. Malah, makanan kecil berbentuk bulat (seperti anggur dan kacang) boleh membawa risiko dan perlu diberikan dengan berhati-hati.

    Jika anda menggunakan bidai, ikat tali bidai tingkap dengan selamat untuk mengelakkan anak anda tersangkut, tercerut atau tercekik dengan tali itu. Buang atau simpan beg plastik di tempat yang selamat supaya anak anda tidak dapat memasukkannya ke dalam mulut atau menyarungkannya di atas kepala.

  7. PENDERAAN

    Kecederaan paling teruk yang boleh dialami oleh kanak-kanak ada kalanya dilakukan oleh orang yang sepatutnya menyayangi mereka, iaitu ibu bapa atau penjaga mereka. Penderaan bukan sahaja boleh menyebabkan trauma fizikal dan mental, tetapi juga kematian. Jika anda tidak dapat menahan perasaan atau keinginan untuk mendera anak anda, sama ada secara fizikal atau leteran yang menyebabkan penderaan mental, segeralah dapatkan bantuan profesional.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen