Pengasuhan Positif

Memupuk Tabiat Membaca

Ibubapa boleh menjadikan amalan membaca lebih menyeronokkan bagi anak-anak dengan menukarkannya menjadi aktiviti yang menggembirakan, tidak kira sama ada membaca novel, majalah, rencana mahupun kad harijadi.

Pupuk Tabiat Baik Tersebut!

Bagaimanakah anda sebagai ibubapa boleh membantu dalam pemupukan tabiat membaca dalam diri anak anda? Berikut adalah beberapa cadangan:

  1. Mewujudkan Suasana Mesra Dengan Membaca

    Membaca bersama adalah masa untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Wujudkanlah satu bentuk tenaga yang positif sewaktu membaca supaya anak anda boleh mengaitkan aktiviti membaca dengan meluangkan masa yang istimewa bersama ibu dan ayah. Anda boleh cuba membaca untuk anak anda sebelum tidur jika anak masih kecil.

  2. Jadikan Aktiviti Membaca Bersama Seronok Dan Tidak Dapat Dilupakan

    Ibubapa perlu memberikan tanggapan yang positif terhadap membaca dengan menjadikannya aktiviti yang seronok untuk sekeluarga. Ketika membaca bersama anak anda, berceritalah secara aktif untuk membuatkannya lebih mengujakan. Gunakan kesan bunyi dan gerakan isyarat supaya anak dapat mengaitkan membaca dengan keseronokan. Sebaik sahaja anda habis membaca, biarkan anak bercerita tentang watak kegemaran atau bahagian cerita yang paling menarik.

    Juga, praktikkan idea membaca secara berkongsi, di mana anda membaca bersama-sama dengan anak anda. Minta anak membaca untuk anda dan hanya membantu ketika mereka mengalami kesulitan menyebut sesuatu perkataan. Sebutkan perkataan tersebut dengan perlahan supaya anak mengetahui cara sebutannya. Namun, jangan sesekali meminta mereka mengulangi sebutan sesudah anda kerana ini mungkin akan merendahkan semangat mereka untuk belajar. Sebaliknya, biarkan anak anda menyebut perkataaan tersebut sendiri, kerana ini merupakan cara terbaik untuk belajar.

  3. Jadikan Diri Anda Seorang Pembaca

    Adalah tidak bermakna jika anda memupuk minat membaca dalam diri anak sekiranya anda bukan seorang yang suka membaca. Biarkan anak anda lihat anda membaca – sama ada membaca surat khabar semasa bersarapan pagi ataupun majalah pada hujung minggu.

  4. Biarkan Anak Memilih Buku Sendiri

    Bagi menggalakkan anak banyak membaca, berikan peluang kepada anak untuk memilih buku dari perpustakaan ataupun kedai buku. Pada masa yang sama, perkenalkan kamus dan ensiklopedia yang penuh dengan maklumat kepada anak anda. Sekiranya anak bertanyakan soalan, galakkan anak menimba pengetahuan baru dengan menggunakan kedua-dua bahan bacaan tersebut. Ini bukan sahaja dapat mengajar mereka cara menggunakan kamus dan ensiklopedia secara efektif, malah juga dapat menggalakkan pencarian pengetahuan.

  5. Menjadi Kreatif!

    Membaca bukan setakat daripada buku; anda boleh menggalakkan anak anda membaca pada bila-bila masa dengan memperkenalkan kepelbagaian bahan bacaan. Sebagai contoh, anak anda boleh membaca daripada kotak bijirin dan risalah pasaraya kerana kebanyakannya kerap memaparkan perkataan dan frasa yang menarik. Semasa berada di restoran, biarkan anak membaca menu. Bahan bacaan lain yang menyeronokkan termasuklah keratan komik pada surat khabar dan buku program TV yang berwarna-warni.

Semua di atas merupakan titik permulaan yang dapat membantu anda dalam menyemaikan minat membaca dalam diri anak anda. Jadikan aktiviti membaca itu positif dan menyeronokkan, dan anda boleh pasti bahawa anak anda lebih menggemari buku yang baik berbanding benda lain.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen