Setiap ibu dan bapa menaruh kebimbangan tentang perlakuan anak mereka apabila dewasa. Adakah mereka akan menjadi insan yang jujur? Bagaimana pula dengan tahap keyakinan mereka?
Pelbagai soalan bermain dalam fikiran ibu bapa tetapi seperkara yang nyata ialah tingkah laku anak anda bergantung kepada cara dia dibesarkan. Andalah orang yang memikul tanggungjawab ini.
Pengajaran Hidup
Ada beberapa cara untuk memupuk nilai positif di kalangan anak yang melibatkan lebih daripada mendisiplinkan anak dan menetapkan peraturan yang ketat. Malah, membesarkan anak dengan cara yang terlalu mengongkong tidak disyorkan kerana taktik menakutkan anak seperti ini terbukti sebagai kaedah asuhan yang kurang baik.
Berikut adalah beberapa cara untuk memupuk nilai-nilai positif:
-
Berbincang Dengan Anak Anda Agar Mereka Faham
Anda boleh mula menekankan kepentingan akhlak yang baik sejak usia kecil. Kongsi pengalaman anda, beri contoh tentang orang lain dan luangkan masa untuk memberikan penerangan jelas. Sebagai contoh, jika anda mahu menerangkan kepadanya tentang kebaikan berusaha, jelaskan dalam bahasa yang mudah difahami. Sempurnakan pengajaran anda dengan memberi kisah contoh yang mudah difahami. Beri panduan kepadanya dan jawab sebarang kemusykilan yang diutarakannya.
-
Menjadi Teladan Yang Baik
Bak kata pepatah, “bapa borek anak rintik”, tingkah laku anda memainkan peranan penting dalam usaha menanamkan nilai positif dalam jiwa anak anda. Jika anda mahu mengajar anak anda tentang kesabaran, dan anda sendiri sering naik angin walaupun dalam perkara yang kecil sekalipun, anda sudah tentu akan gagal. Anak anda mencontohi tingkah laku anda. Minda mereka umpama kamera dan mereka melihat dan merakamkan segala yang anda lakukan.
-
Beri Galakan Kepada Anak Anda
Anda boleh mula memupuk nilai positif dengan memuji anak anda. Sebaliknya, jika anda mendapati anak anda melakukan satu kesalahan, terus terang dengan mereka. Dalam keadaan yang serius, anda harus dan sepatutnya menghukum mereka kerana berkelakuan nakal. Pada masa yang sama, mengapa tidak mengajar anak anda memupuk amalan yang baik seperti menabung atau bersikap bertanggungjawab. Setiap kali dia melakukan sesuatu yang baik, berikan ganjaran atau pujian.
-
Wujudkan Suasana Yang Sempurna
Tiada gunanya kalau anda mengajar anak anda supaya bersopan sedangkan semua ahli keluarga yang lain bercakap sesama sendiri dengan cara yang kurang sopan. Wujudkan suasana yang sesuai dan tetapkan nilai yang ingin disemai sambil mengenepikan tingkah laku yang kurang disenangi. Sebagai contoh, jika anda mahu anak anda bersopan santun, pastikan anda menunjukkannya dalam hubungan sekeluarga. Minta semua ahli keluarga anda berbudi bahasa dan pastikan kelakuan kurang sopan ditegur dengan sewajarnya untuk menunjukkan teladan yang baik.
Anda perlu ingat bahawa apabila mengajar anak anda tentang nilai-nilai positif, ketekalan amat penting. Pastikan anda mengajar mereka perkara yang sama berulang kali supaya mereka faham apa yang benar-benar dikehendaki. Akhir sekali, cara terbaik untuk memperbaiki kelakuan anak anda memperbaiki tingkah laku diri anda sendiri. Pastikan anda sendiri mengamalkan nilai-nilai positif untuk membolehkan anak anda memelihat sendiri betapa pentingnya nilai-nilai ini.
Beberapa Cara Lain Untuk Menanamkan Nilai Positif
- Menggalakkan penyertaan seisi keluarga apabila melakukan khidmat kemasyarakatan. Ini akan memupuk rasa tanggungjawab terhadap masyarakat di dalam diri anak anda.
- Berkongsi perasaan. Berkongsi perasaan anda dengan anak supaya dia dapat mengenali perasaannya sendiri.
- Menghormati pihak berkuasa. Langkah ini akan mendisiplinkan anak anda supaya berkelakuan dengan sewajarnya.
Komen