Satu kajian yang diterbitkan oleh Canadian Social Trends menunjukkan bahawa masa purata yang dihabiskan oleh pekerja dalam sehari untuk bersama anggota keluarga pada 2005 adalah kurang 45 minit daripada yang mereka lakukan 20 tahun dahulu. Ini bermakna lebih banyak masa yang anda habiskan di tempat kerja, semakin kurang masa yang dapat anda luangkan untuk bersama keluarga.
Menghabiskan masa bersama keluarga adalah sangat penting. Tetapi ramai antara kita melupakan hakikat ini, kerana kita terlalu sibuk dengan tugas, kerjaya, kehidupan peribadi dan sebagainya. Selalunya, kita memberi terlalu banyak tumpuan kepada perkara perkara yang besar berbanding perkara-perkara kecil yang lebih penting dalam hidup kita. Sebelum anda sedari, ia mungkin terlalu lewat untuk melakukan apa apa mengenainya.
Ingatlah – masa berlalu dengan pantas! Anda mungkin merasakan bahawa anda boleh menangguhkan masa untuk bersama si manja ke satu hari lain tetapi tanpa anda sedari anak anda sudah membesar dan anda tertanya-tanya apa yang berlaku kepada si comel yang pada suatu ketika begitu manja.
Pentingkan Kualiti Dan Kuantiti
Satu perkara yang mesti anda sedari ialah perbezaan antara kualiti dan kuantiti. Jika anda mengguna masa yang ada dengan “meleter” anak anda, sudah tentulah itu bukan masa yang menyeronokkan baginya. Tetapi jika anda melakukan perkara-perkara yang digemari oleh si manja, maka masa yang anda habiskan bersamanya, walaupun hanya 15 minit, akan lebih bermakna dan dihargai.
Menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga bermakna berkomunikasi dengan anak anda dengan cara yang berfaedah dan menyeronokkannya. Menonton TV dalam senyap dan sepi tidak boleh dianggap sebagai masa yang berkualiti. Yang penting ialah bermesra sambil menonton TV.
Lebih banyak masa yang anda habiskan bersama anak-anak, lebih akrab dan mesralah hubungan antara anggota keluarga anda. Ini akan mengurangkan ketegangan dalam rumah tangga dan juga pertelingkahan antara satu sama lain.
Luangkan Masa Yang Berkualiti
Terdapat beberapa cara untuk mula menerapkan masa bersama keluarga dalam kehidupan anda:
-
Fikirkan semula tentang kehidupan anda
Fikirkan apa yang anda ingini – keluarga bahagia atau keluarga yang sentiasa bertelagah tatkala anda bersembunyi di pejabat? Anda perlu menetapkan keutamaan dan mula fikirkan semula kehidupan anda dan bagaimana anda boleh membuat perubahan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
-
Beri anak anda perhatian yang berhak diperolehinya
Berikan minat dan perhatian terhadap anak anda. Sentiasa bersikap positif terhadap anak anda dan jangan lokek untuk memberikan pujian kepadanya. Biarlah si manja membantu anda melakukan kerja-kerja rumah dan jangan lupa memuji kerajinannya.
-
Belajar meluangkan masa
Sentiasa bersikap spontan dalam hidup anda, kerana anda tentu tidak mahu anak anda merasakan seolah-olah dia perlu menjadualkan temu janji untuk mendapatkan perhatian anda! Jangan membesar-besarkan perkara kecil (pinggan mangkuk tidak dibasuh, pakaian tidak dicuci dan sebagainya), sebaliknya, fikirkan perkara-perkara kecil tetapi penting seperti pergi ke taman permainan bersama anak anda, merayakan hari jadi, atau menyanyikan lagu-lagu kegemarannya sebelum si manja tidur.
-
Berbual, jangan berleter
Anak-anak tidak suka dileteri atau mendengar anda mengungkitkan perkara yang sama berulang kali. Sebaliknya, belajar untuk berbual dengan anak anda seperti anda berbual dengan orang dewasa. Anda pasti terkejut dengan reaksi yang anda terima.
Berusaha untuk mengetahui apa yang berlaku dalam hidup anak anda – anakanak kecil gemar berbual tentang rakan-rakan atau sekolah, manakala kanak-kanak lebih besar suka berbincang tentang perkembangan yang berlaku di luar rumah atau di kawasan kejiranan. Jika boleh, minta pendapatnya. Ini akan membuat anak anda merasa dihargai. Bukankah ini kesan yang anda ingini?
Komen