Pengasuhan Positif

Luangkan Masa Bersama-sama Anak Prasekolah Anda

Menghabiskan masa bersama anak-anak perlu dirancangkan dengan khusus. Ia mesti diberi keutamaan dan dijadualkan. Tetapkan untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak anda dan cuba sedaya upaya agar tidak mengecewakannya dengan menangguhkan masa itu. Cari peluang dan aktiviti yang anda boleh lakukan bersama untuk mengeratkan hubungan. Walau apapun yang anda lakukan bersama, ingatlah anda perlu memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepadanya!

Masa Bermain

Bermain dengan anak anda membolehkan anda menyelami dunia mereka. Ketepikan segala halangan dan bersedialah untuk bersuka ria dan berlawak jenaka atau berkelakuan ‘gila-gila’! Dengan menunjukkan minat dan bermain bersama, anda memupuk keakraban dan mendapat kepercayaan mereka.

Bersukan

Aktiviti sukan seperti badminton, bola sepak, atau sekadar kejar-mengejar di laman rumah membantu mengukuhkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Minat Membaca

Kanak-kanak gemar mendengar orang dewasa membaca kepada mereka. Mengapa tidak jadualkan beberapa minit untuk membaca buku cerita sebelum si manja tidur setiap malam? Gunakan kesempatan itu untuk berkomunikasi dengannya, dan petik contoh daripada cerita yang anda bacakan untuk menyemaikan nilai dan prinsip hidup. Lagipun, membaca bersamasama dapat menanamkam minatnya untuk membaca.

Berbual-bual

Tanyalah dia perihal tadikanya. Perbualan seperti ini sering diabaikan bila ibubapa terlalu sibuk dengan kerja. Galakkan anak anda menceritakan tentang apa yang dilakukan. Apa yang dipelajari? Apa yang dilakukan oleh guru atau rakan-rakannya pada hari itu? Sebaliknya, kongsilah hari anda dengannya – apa yang anda buat, orang yang anda temui, sesuatu yang menarik perhatian anda. Komunikasi dua hala menjalin hubungan yang terbuka dan jujur.

Berkongsi Kegemaran

Adakah anda berkongsi hobi dengan anak anda? Hobi tidak semestinya mahal. Anda boleh membina model kapal terbang, memasang jigsaw puzzle atau mainan seperti Monopoly atau Scrabble bersama. Anda boleh berkongsi apa saja, asalkan ia adalah sesuatu yang istimewa bagi anda berdua sahaja.

Bersiar-siar

Jangan perkecilkan keajaiban alam semulajadi! Bawalah anak anda keluar bersiar-siar melihat keindahan alam. Anda boleh berkhemah atau berkelah. Sambil melakukan aktiviti luar bersama, anda mungkin dapat melihat sifat satu sama lain yang tidak pernah anda ketahui selama ini!

Kepentingan bermain

Hasil kajian menunjukkan bahawa bermain adalah sebahagian penting daripada proses perkembangan kanak-kanak. Ia membolehkan mereka belajar tentang diri mereka sendiri, persekitaran dan orang di sekeliling mereka. Ibubapa boleh menggalakkan pembelajaran dengan bermain bersama mereka. Antara nilai dipelajari melalui permainan termasuk mengawal diri, tolong-menolong dan berempati, menyelesaikan masalah dan kreativiti. Selain itu, bermain dengan anak juga membantu memupuk hubungan kasih sayang, keakraban, dan keyakinan anak terhadap ibubapa. Bermain adalah juga cara untuk memulihkan hubungan selepas pertelingkahan.

Mulakan hari bersama

Bersarapan pagi bersama adalah masa baik untuk bermesra dengan anak anda. Ia memberi peluang untuk anda melibatkan diri dalam zaman prasekolahnya. Ceriakan dengan perbualan mengenai apa yang akan dipelajari dan kawan-kawan baru yang akan ditemui di sekolah.

Beri nasihat dan galakan, kemudian peluk dan cium anak anda sebelum menghantarnya ke sekolah!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen