Pengasuhan Positif

Lihat Ke Kanan, Kiri & Kanan Semula

Bayangkan jika anda tidak mampu menganggar kelajuan dan jarak kenderaan yang sedang bergerak ke arah anda atau sukar untuk menentukan dari mana datangnya bunyi kenderaan. Itulah pengalaman yang dialami oleh kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah setiap kali kaki kecil mereka melangkah di jalan raya. Namun begitu, 91% ibu bapa di Malaysia tidak menemani anak mereka untuk pergi dan pulang dari sekolah!

Jangan ambil mudah soal keselamatan anak anda. Sentiasalah menemani anak anda apabila dia berjalan di jalan raya, walaupun untuk jarak yang dekat. Sentiasa pimpin tangannya dan biarkan dia berjalan di sebelah dalam. Lakukannya sehingga anak anda berumur lebih daripada 10 tahun dan sudah boleh memahami peraturan-peraturan jalan raya seperti yang dinyatakan di bawah:

  1. Sentiasa berjalan dan jangan berlari-lari ketika di jalan raya.
  2. Berjalan bertentangan dengan arah pergerakan lalu lintas serta jauh dari jalan raya.
  3. Jangan melintas di lebuh raya atau selekoh kerana sukar dilihat oleh pemandu kenderaan. Gunakan lampu isyarat, tempat melintas jalan, jejantas atau terowong yang disediakan.
  4. Lihat ke kanan, kiri dan ke kanan semula sebelum melintas jalan. Pastikan tiada kenderaan dan melintas apabila rasa selamat untuk berbuat demikian.
  5. Fahami dan patuhi semua isyarat lalu lintas dan papan tanda jalan.
  6. Jangan terus menuju ke jalan raya sekiranya anda berjalan di celah kereta-kereta yang tidak bergerak atau dari belakang semak kerana pemandu mungkin tidak menyedari kehadiran anda dan tidak sempat memberhentikan kenderaan.
  7. Berhati-hati dengan kereta yang sedang membelok atau berundur.
  8. Sentiasa memakai pakaian berwarna terang agar senang dilihat oleh pemandu-pemandu kenderaan.

Look-right,-left_b

Look-right,-left_c

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen