Kepintaran dan kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin kegembiraan dan kebahagiaan. Pepatah ‘jauh perjalanan, luas pengalaman’ membawa pengertian bahawa anak-anak kita perlu bercampur gaul dengan kanak-kanak lain untuk menimba pengalaman hidup yang menjadikan mereka lebih gembira dan matang.
Keupayaan untuk menjalin hubungan yang sihat dengan rakan-rakan sebaya sangat penting, kerana ia boleh membantu meningkatkan pembangunan sosial dan kognitif anak-anak kita.
Malah, kanak-kanak seharusnya dapat bercampur gaul dengan baik apabila mencapai usia 6 tahun. Jika tidak, mereka mungkin menghadapi masalah kesihatan mental dan kesulitan apabila memasuki alam persekolahan, atau alam pekerjaan apabila mereka membesar dan dewasa.
Kanak-kanak yang pandai bercampur gaul biasanya berbudi pekerti dan mempunyai akhlak yang baik. Mereka lebih mudah tersenyum, pandai membawa diri dan bijak mengatasi kesulitan. Semua nilai-nilai peribadi ini menjadikan mereka lebih disenangi dan lebih mudah didampingi.
Sebaliknya, kanak-kanak yang rendah keyakinan diri sentiasa bimbang menghadapi cabaran. Mereka merasakan diri mereka tidak berguna dan sentiasa berfikiran negatif. Mereka sukar mencari penyelesaian. Sikap pasif, malu dan perasaan tertekan menyukarkan mereka untuk menjalin hubungan persahabatan dengan kanakkanak lain.
Sebagai ibu bapa, kita perlu membantu anakanak kita menyemai keyakinan diri sejak mereka masih kecil lagi. Buat permulaan, memang sukar untuk mereka melakukan segala-galanya. Semasa bayi, muka mereka mungkin tertumus beberapa kali ke lantai sebelum dapat meniarap dan mengangkat kepala dengan betul. Jatuh bangun adalah pengalaman biasa sewaktu belajar bertatih. Galakan daripada ibu bapa dan adikberadik yang lebih tua dapat menanamkan keyakinan terhadap diri sendiri. Pujian boleh menaikkan lagi semangat mereka untuk cuba dan mencuba lagi.
Sejak bertatih, anak-anak mula membuat kesimpulan tentang diri sendiri. Di peringkat ini, bantuan kita sangat diperlukan untuk membolehkan mereka menjayakan apa yang cuba dilakukan – sama ada belajar kemahiran baru atau mencuba mainan baru. Dengan menggunakan perkataan-perkataan yang boleh mereka fahami, kita harus memberitahu mereka apa yang boleh atau tidak boleh mereka lakukan. Selepas mereka berjaya melakukannya, berikan pujian yang boleh menambah keyakinan mereka untuk menempuh cabaran-cabaran baru.
BERGAUL MESRA DENGAN KANAK-KANAK LAIN
Kanak-kanak sentiasa mengharapkan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan sebaya akan sentiasa membawa kegembiraan dan keseronokan. Bagaimanapun, sebagai ibu bapa, kita sendiri perlu membuktikannya terlebih dahulu kepada mereka melalui hubungan kita dengan mereka.
Kanak-kanak yang pandai bercampur gaul biasanya mempunyai hubungan yang baik dan dapat berinteraksi dengan ibu bapa mereka. Mereka saling memahami keperasaan masing-masing dan sentiasa menghormati perasaan satu sama lain. Ibu bapa yang mempunyai hubungan baik dengan anak-anak biasanya jarang menggunakan kekerasan ke atas anak-anak mereka.
Dalam hubungan seperti ini, kita boleh membantu anak-anak kita membina kemahiran sosial yang baik melalui langkah-langkah berikut:
- Tetapkan peraturan tertentu dan amalkan selalu untuk menjamin tingkah laku yang baik, seperti ‘menghormati diri sendiri, orang lain dan harta benda’.
- Jaga tutur kata dan tingkah laku kita. Setiap kali kita bercakap dengan anak-anak, kita mengajar mereka bagaimana untuk bercakap dengan orang lain.
- Bermain membolehkan anak-anak kita belajar kemahiran yang rumit. Jadi, kita perlu bermain dengan mereka seperti mereka bermain dengan kawan-kawan sebaya, semata-mata untuk keseronokan. Ini akan membuat anak-anak kita merasakan mereka rakan sepermainan yang baik dan berminat untuk bermain dengan kanak-kanak lain.
- Sejak kecil, beri anak-anak kita peluang untuk bermain dengan rakan-rakan sebaya. Dengan cara ini, mereka tidak akan merasa janggal untuk bercampur gaul dalam suasana yang lebih formal, khususnya apabila memasuki alam pra-sekolah.
- Berasaskan apa yang berlaku setiap hari, kita perlu berbual mesra dengan anak-anak kita mengenai hubungan dan nilai-nilai sosial, bukan berkuliah atau berceramah. Interaksi seperti ini menunjukkan kepada mereka bahawa kita sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan mereka dan meluangkan masa untuk bertukar maklumat dan membincangkan masalah.
- Galakkan anak-anak bersikap positif dengan mengajar mereka kemahiran sosial tertentu, seperti bagaimana untuk menjaga perasaan orang lain. Sebagai contoh, jika anak kita memukul kanak-kanak lain, beritahu mereka bahawa perbuatan mereka menyakitkan dan menyebabkan budak itu menangis.
- Jangan sekadar BERITAHU. AJAR anakanak kita berkongsi, sama ada mainan, makanan atau apa juga yang perlu dilakukan, dengan kanak-kanak lain. Agihkan mainan supaya setiap orang dapat bermain. Atau cari jalan untuk mereka bermain bersama.
- Jika anak kita mahu bermain dengan kanak-kanak lain tetapi tidak tahu menampilkan diri mereka, ajar mereka caranya.
- Kita juga patut mengajar mereka apa yang patut dikatakan jika mereka kesakitan atau dibuli oleh kanak-kanak lain, seperti ‘Sakit!” apabila dipukul dan ‘Jangan buat macam ni!’ apabila dibuli.
- Kita tidak perlu campur tangan untuk menyelesaikan semua masalah anak kita, tetapi kita boleh mengasuh mereka untuk menyelesaikannya.
- Jangan memperkecilkan kebimbangan anakanak kita dengan memberikan jawapan yang sambil lewa.
- Anak-anak yang tersisih dalam pergaulan sosial akan menjadi kanak-kanak yang pemarah, pasif atau perengus. Jika anak-anak kita disisihkan oleh rakan-rakan sebaya, jangan biarkan mereka merasa rendah diri. Jangan sekali-kali memburukkan lagi keadaan dengan membuat tanggapan mereka tidak disukai.
- Sentiasa bersikap positif apabila membantu anak-anak kita menangani situasi sosial yang agak rumit. Katakan bahawa rakan-rakan tidak menyisih mereka tetapi mungkin lebih suka mainan lain. Sikap membina seperti ini dapat membantu anak-anak kita berkelakuan positif.
CAMPUR TANGAN DENGAN BIJAK
Anak-anak kecil sentiasa memerlukan pengawasan. Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa kehadiran dan campur tangan ibu bapa sepanjang masa tidak memberi faedah kepada anak-anak apabila mereka membesar. Malah, ia boleh menjejaskan pembangunan kemahiran sosial mereka.
Oleh yang demikian, jika anak kita terpaksa bersusah-payah untuk mendapat kawan (misalnya di tadika), biarkan mereka berusaha sendiri. Melainkan jika benar-benar perlu, jangan campur tangan atau memaksa keadaan memihak kepada anak-anak kita. Pengalaman akan mengajar mereka menyelesaikan masalah mengikut situasi yang berbeza.
Yang penting, kita perlu memberi jaminan bahawa kita akan sentiasa berada di sisi mereka, semasa susah dan senang. Kitalah pengasuh dan kitalah sahabat yang akan bersama mereka mengharungi suka duka pergaulan dengan kawan-kawan.
Komen