Pengasuhan Positif

Jaga Keselamatan Anak Prasekolah Anda

Dengan keinginan untuk bersuka ria, kanak-kanak prasekolah akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti tanpa memikirkan risiko dan bahaya. Sebagai ibubapa, anda perlu ingat bahawa kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Sentiasa awasi dan tinggalkan mereka dibawah penjagaan orang dewasa yang bertanggungjawab sekiranya anda tidak berada dengannya. Ajar anak anda bermain secara selamat. Hentikan permainan kasar dan berbahaya, dan pastikan kanak-kanak yang lebih tua menunjukkan contoh baik kepada yang muda. Pentingkan juga untuk memeriksa persekitaran sebelum anda membenarkan anak anda bermain.

Artikel ini menerangkan tentang bahaya yang biasa berlaku dan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil di rumah, tadika dan di kawasan mainan luar.

Di Rumah

  • Guna perabot yang sukar tumbang dan pelindung bucu pada perabot anda. Kunci semua tingkap dan tutup laluan ke balkoni terutamanya di bangunan tinggi.
  • Label semua bahan kimia dan ubat-ubatan dan simpan di dalam almari berkunci. Jangan gunakan bekas minuman ringan untuk menyimpan bahan cecair yang beracun.
  • Jauhi anak anda dari semua peralatan panas.
  • Kanak-kanak dilarang berlari dan bermain di dapur atau di kawasan memasak luar.
  • Simpan pisau dan perkakas dapur yang tajam di luar jangkauan.
  • Untuk mengelak tercekik, pastikan anak anda duduk ketika makan dan jangan sesekali beri kekacang atau gula-gula kecil kepada kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.

Luar Rumah

  • Jangan biar anak anda bermain di tepi jalan raya atau tempat letak kereta dimana terdapat kenderaan bergerak.
  • Cari taman permainan yang mempunyai peralatan ketinggian kurang daripada 1.5 meter untuk mengelak daripada terjatuh dan mempunyai lantai lembut atau bergetah yang sesuai untuk kanak-kanak.
  • Sentiasa awasi anak anda, terutamanya jika dia mencuba perkara baru di taman permainan.
  • Jangan biarkan kanak-kanak bersendirian di tepi kolam renang atau pantai, atau membenarkannya berenang di kolam renang atau laut tanpa pengawasan orang dewasa.

Tadika

  • Hantar anak anda ke tadika yang mempunyai bilangan kakitangan mencukupi untuk menjaga kanak-kanak.
  • Perabotnya perlu berbucu bulat dan tidak terlalu ringan (contoh, kerusi plastik) kerana ia tidak selamat.
  • Sinki dan tandas perlu bersaiz kecil sesuai untuk kanak-kanak.
  • Kawasan luar perlu dipagar dan dikunci untuk mengelak penceroboh masuk. Kemudahan tandas dan tempat bermain perlulah di dalam kawasan tadika.

Di Dalam Kereta, Di Jalan Raya

  • Letak anak anda di kerusi keselamatan atau kerusi booster setiap kali anda keluar, tidak kira berapa dekat destinasinya.
  • Aktifkan kunci keselamatan kanak-kanak untuk mengelakkannya daripada membuka pintu apabila anda memandu.
  • Jangan sesekali membiarkan anak anda bersendirian di dalam kereta.
  • Ajar anak anda keselamatan jalan raya dan pimpin tangannya ketika berjalan di laluan pejalan kaki, melintas jalan mahupun di tempat meletak kereta. Jauhkan anak dari lalulintas kenderaan.

    Apabila terjatuh, perhatikan beberapa indikasi di bawah untuk kenalpasti kecederaan. Segera dapatkan bantuan perubatan sekiranya anak anda:

    • Sakit, bengkak, terseliuh atau tidak boleh menggerakkan anggota
    • Tempang atau tidak boleh berdiri dan berjalan
    • Tidak sedar, berasa pening, sakit kepala atau muntah
    • Sentiasa menangis, meragam tanpa sebab, kurang jelas percakapan
    • Luka dalam yang berdarah yang tidak berhenti
    • Luka yang dicemari tanah atau serpihan

Bahaya! Orang Tidak Dikenali!

Semasa anak anda membesar, anda tidak akan sentiasa berada dengannya. Ajarnya untuk berada di tempat selamat ketika menunggu anda. Arahkannya jangan bercakap atau pergi bersama dengan orang yang tidak dikenali.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen