Taman, pantai dan juga halaman rumah anda sememangnya kelihatan dipenuhi bahaya yang boleh membawa kecederaan fizikal atau gigitan daripada serangga dan haiwan seperti anjing. Mengetahui apa yang perlu dilakukan jika ia berlaku bukan sahaja akan menenangkan hati anda, malahan turut membolehkan anak anda terus menjelajah dunia melampaui serambi rumah anda.
Sengatan dan gigitan adalah lazim di negara tropikal seperti Malaysia. Biasanya, gigitan semut, nyamuk atau lalat pasir tidak merbahaya. Sesetengah mungkin akan mengakibatkan lebih kesakitan dan ketidakselesaan, seperti sengatan lebat. Namun, terdapat gigitan tidak merbahaya yang boleh mengancam nyawa akibat reaksi alahan. Sesetengah gigitan tebuan, labah-labah dan ular tertentu mengancam nyawa atau mengakibatkan penyakit yang serius.
Adakah Anak Anda Telah Disengat?
Tanda yang paling lazim adalah menangis dalam kesakitan dan ketidakselesaan. Tanda lain termasuk:
- Bengkak pada tempat yang disengat.
- Kehadiran penyegat di tempat sengatan.
- Reaksi alahan, yang boleh membawa kepada anafilaksis dalam sesetengah kes.
- Tanda awal alahan adalah kegatalan, galigata (hives) yang muncul di serata tubuh, selsema, bersin atau mata berair. Anafilaksis (reaksi alahan), jika tidak dirawat boleh mengancam nyawa. Gejala termasuk kesukaran bernafas, bengkak bibir dan mata, rasa pitam dan pengsan.
Merawat Sengatan Lebah
Beberapa langkah mudah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan ketidakselesaan anak anda jika disengat atau digigit serangga adalah:
- Keluarkan penyengat secepat mungkin, dan bersihkan kulit dengan sabun dan air.
- Letakkan ais di atas bahagian yang disengat untuk mengebas dan mengurangkan bengkak. Parasetamol atau ibuprofen oral akan mengurangkan kesakitan sementara antihistamin pula akan mengurangkan gatal.
- Berjumpa doktor jika terdapat sebarang reaksi teruk akibat sengatan/gigitan.
AMARAN!
Sengatan tebuan boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang. Jika anak anda digigit tebuan, pantau pengeluaran dan warna air kencingnya.
Gigitan Kutu
Secara am, gigitan kutu tidak merbahaya tetapi menyebabkan kegatalan dan mungkin reaksi alahan. Gigitan kutu tidak terbatas kepada keluarga dengan haiwan peliharaan sahaja. Kutu debu rumah juga tergolong dalam keluarga kutu, dan sering didapati dalam perlengkapan tidur. Gigitan ini boleh dilihat sebagai bintik merah pada anggota badan yang amat gatal dan bengkak pada tempat gigitan. Sapuan krim anti-gatal atau steroid yang sederhana kuat sudah memadai. Mengambil antihistamin juga boleh membantu melegakan kegatalan.
Cara terbaik untuk mencegah gigitan kutu adalah dengan menghapuskannya. Bagi kutu debu rumah, udara dan dedahkan perlengkapan katil pada cahaya matahari. Barang mainan lembut juga perlu kerap dicuci dengan air panas untuk membunuh kutu. Haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing perlu kerap dimandi bagi mencegah infestasi kutu.
Digigit Anjing?
Walaupun Malaysia bebas daripada penyakit anjing gila, namun gigitan anjing masih boleh menyebabkan kecederaan dan jangkitan teruk yang boleh mengancam nyawa. Selain daripada kehilangan darah, gigitan anjing boleh menyebabkan jangkitan bakteria setempat dan tetanus (kancing gigi).
Rawatan untuk Gigitan Anjing
- Bersihkan luka dengan air dan antiseptik.
- Hentikan pendarahan dengan mengenakan sedikit tekanan pada luka.
- Segera dapatkan bantuan perubatan.
- Anak anda mungkin memerlukan suntikan tetanus jika suntikan terakhirnya melebihi 10 tahun yang lalu.
- Kebanyakan kes memerlukan rawatan antibiotik untuk merawat jangkitan sekunder.
Ingatkan anak anda supaya tidak bergerak, berlari atau menjerit apabila berhadapan dengan anjing liar, kerana akan menyebabkan anjing tersebut mengejarnya. Kanak-kanak juga perlu lebih berhati-hati – jangan kacau atau main dengan anjing yang sedang tidur, makan atau menjaga anak-anaknya.
Di sebalik semua langkah pencegahan, anak anda mungkin masih menjadi mangsa gigitan serangga ataupun anjing. Latih anak anda untuk segera beritahu anda jika digigit. Pastikan anda sentiasa tenang, berikan rawatan kecemasan dan segera dapatkan rawatan perubatan selanjutnya.
Hindar sebelum Digigit!
- Gunakan pengusir serangga untuk menghindar gigitan nyamuk. Jangan benarkan anak anda bermain berhampiran sarang lebah atau busut. Ingatkan mereka tentang apa yang akan terjadi apabila melontar batu atau objek pada sarang.
- Jangan biarkan anak anda bermain di dalam bangunan atau kawasan yang terbiar atau terbengkalai kerana berkemungkinan didiami ular atau haiwan perosak lain.
Komen