Bagaimanakah anda menunjukkan kasih sayang kepada anak anda? Adakah dengan pelukan mesra setiap kali dia bangun dari tidur di pagi hari? Ataupun dengan ribuan kata “Saya sayang kamu?”.
Walaupun semua ini manis dipandang dan didengar, anda perlu sedar bahawa kasih sayang juga boleh ditunjukkan dengan memenuhi kehendak asas anak anda. Kami tidak membincangkan mengenai keperluan tempat tinggal atau makanan, tetapi keperluannya untuk berasa selamat, dihargai dan penting:
Keselamatan
Sayangi anak anda tanpa batasan. Biarkan dia berasa selamat apabila mengetahui yang anda menyayanginya tidak kira apa jua yang berlaku, atau seteruk mana kelakuannya.
Pasti ada satu ketika, anak anda akan menaikkan kemarahan anda. Apabila ini berlaku, anda perlu sentiasa tenang. Anda boleh menasihatinya dengan tegas, ataupun mendisiplin dia dengan ambil kembali keistimewaan yang diberi atau mempraktikkan “time-out”. Apa sahaja tindakan yang diambil, yang penting sekali anda menekankan kelakuan dan perbuatannya, dan ini bukan bermakna anda membencinya.
Dia perlu pasti, walaupun terdapat kesalahan yang dilakukan, ayah dan ibu masih menyayangi dan menerima dirinya sedia ada.
Dihargai
Rasa dihargai akan mendatangkan keyakinan. Kenali dan hargai potensi personaliti anak anda yang unik sejak kecil lagi. Libatkan anak anda – jika boleh, bermula dari umurnya setahun – di dalam perbualan keluarga dan bermain bersama-sama kanak-kanak yang lebih tua daripadanya.
Berikan pujian kepada anak anda sekiranya dia berjaya di dalam suatu perkara – misalnya apabila dia belajar berjalan dengan sendiri. Apabila dia mencelah perbualan anda, janganlah anda berbuat tidak tahu. Minta kebenaran untuk berhenti seketika dan peluklah anak anda, katakan padanya bahawa anda akan bersamanya sebentar lagi – dan pastikan anda menepati janji.
Berasa penting
Apabila anda mencurahkan kasih sayang kepada anak anda, janganlah anda terlalu melindunginya. Ini akan membuatnya sukar untuk berdikari. Maka berikan kepercayaan kepada anak anda untuk melakukan sesuatu tanggungjawab agar dia berasa dirinya penting di dalam keluarga dan mampu melaksanakannya. Sebagai contoh, latih anak anda yang berumur 3 tahun untuk mengemas sendiri permainannya, meletakkan cawan di dalam sinki selepas digunanya atau membuang pembalut makanan ke dalam tong sampah.
KENAPA KANAK-KANAK KADANG KALA TIDAK MENDENGAR KATA?
Apabila kanak-kanak berkelakuan sedemikian, ini biasanya berlaku kerana kehendaknya tidak dipenuhi. Anak anda memerlukan kepastian sepanjang masa, maka tunjukkan padanya bahawa anda dan pasangan anda akan sentiasa berada di sampingnya tidak kira apa jua yang berlaku.
Komen