Pengasuhan Positif

Berinteraksi Dengan Anak Anda

Komunikasi penting dalam apa jua hubungan, terutamanya hubungan antara ibu bapa dan anak. Interaksi positif memang digalakkan oleh pakar sebagai permulaan untuk memastikan anak anda mampu berkomunikasi dengan berkesan dan menjalin hubungan yang sihat. Namun begitu, anda mungkin sedia maklum bahawa interaksi dengan kanak-kanak bukan perkara yang mudah. Memandangkan tahap kefahaman dan penerimaan yang berbeza, komunikasi dengan anak anda mungkin menimbulkan sedikit masalah, lebih-lebih lagi jika anak masih kecil.

Malah komunikasi mungkin menjadi lebih sukar apabila usia anak meningkat naik dan memasuki zaman remaja, dan sesetengah ibu bapa mendakwa inilah masa yang paling sukar dalam interaksi antara ibu bapa dan anak.

Berikut adalah beberapa cara untuk menggalakkan interaksi positif antara ibu bapa dan anak pada peringkat kehidupan anak yang berbeza:

Bercakap Dengan Anak Anda

  • Mulakan Sejak Dari Kecil. Interaksi positif dengan anak anda boleh dimulakan sebelum dia lahir! Jalin ikatan perhubungan dengan menyanyi kepada bayi anda dalam kandungan dan berbual-bual manja dengannya. Dengan cara ini, anak anda akan mengenali suara anda dan lebih mesra dengan anda apabila dia dilahirkan.
  • Gelak Ketawa, Menari, Lakukan Apa Sahaja Yang Menggembirakan. Relaks sahaja! Anda harus seronok meluangkan masa dengan bayi anda. Main dan berkomunikasi dengannya menerusi senyuman, sentuhan, muka kelakar dan perwatakan yang ceria. Tetapkan rutin atau masa permainan yang khas untuk anda berdua sahaja.

Bercakap Dengan Anak Kecil Anda

  • Lakukan Seberapa Banyak Aktiviti Bersama. Apa yang dipelajari oleh anak kecil anda dalam tempoh tiga tahun pertama kehidupannya akan membentuk perwatakannya sepanjang hayat. Justeru komunikasi berkesan penting kerana anak kecil anda berada pada usia di mana dia boleh belajar dengan pantas dan cekap.
  • Jadualkan Masa Bermain. Inilah masanya anak anda mula menjadi bertambah kuat dan mengasah kemahiran motor. Untuk membantunya membangunkan kemahiran ini, duduk bersama anak anda setiap hari dan bermain bersamanya. Apabila dia sudah lebih besar, anda boleh membawanya bermain dengan kanak-kanak sebayanya.

Bercakap Dengan Remaja Anda

  • Anggap Mereka Seperti Orang Dewasa. Kesilapan paling besar di sini ialah jika anda melayan mereka sebagai anak kecil. Ini boleh mengundang masalah atas dua sebab – anak anda mungkin tidak dapat membina keyakinan diri atau anak anda akan memberontak dengan berkelakuan nakal untuk menekankan bahawa dia bukan lagi budak kecil.
  • Tetap Bertegas. Jangan benarkan anak anda naik tocang. Anda hendaklah menjadi ibu bapa yang memahami perasaan anak tetapi anda harus sedar bahawa ada masanya anda perlu bertegas, terutamanya jika mereka melakukan kesalahan. Hukuman juga perlu diberikan dengan tegas supaya anak anda tahu anda bukan main-main. Libatkan anak anda dalam menentukan jenis hukuman yang patut dikenakan terhadapnya.

Beberapa Cara Lain Untuk Mengeratkan Hubungan Dengan Anak Anda

  1. Bersiar-siar Bersama

    Luangkan masa sekali seminggu untuk menghimpunkan seisi keluarga dan pergi bersiar-siar bersama. Tidak kiralah perjalanannya singkat atau jauh, yang paling penting ialah seisi keluarga perlu meluangkan masa berkualiti bersama.

  2. Makan Malam Bersama

    Kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang sentiasa makan malam bersama keluarga tidak mungkin menagih dadah. Jadualkan waktu makan apabila semua ahli keluarga boleh duduk bersama dan berkongsi saat istimewa ini.

  3. Bermain Bersama

    Daripada asyik menonton TV selepas makan, apa salahnya kalau anda meluangkan sedikit masa bermain dengan mereka pada waktu malam? Ini membolehkan anak anda mengeratkan hubungan dengan anda menerusi permainan papan sambil bergembira.

  4. Tumpukan Perhatian Terhadap Minat Anak Anda

    Adakah anak anda pandai melukis? Keluarkan kepingan kertas lukisan yang besar dan mula melukis! Jika anak suka memasak, luangkan masa bersamanya untuk membuat kek yang akan dinikmati seisi keluarga.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen