Pengasuhan Positif

Asuhan Masa Kini

“Awak tahu, suratkhabar akhir-akhir ini mengetengahkan betapa pentingnya mengajar kanak-kanak dari kecil? Jan telah mendaftarkan anaknya dalam program membaca dan ia sungguh menakjubkan. Anaknya baru berumur dua tahun dan sudah boleh membaca!”

Farida tersenyum mendengar kata-kata rakannya itu. Farida dan suaminya, Jamal juga telah melakukan kaji selidik terhadap perkara ini – mereka telah menemubual rakan-rakan, melayari halaman web dan mengumpul risalah-risalah yang berkaitan. Dunia masa kini begitu kompetitif – perkara terakhir yang mereka inginkan adalah anak yang ketinggalan zaman.

Tidak jauh dari situ, Daniel pula mengeluh kekecewaan. Kesemua percubaan untuk mengajar anaknya bercakap dalam Bahasa Inggeris telah gagal. “Masalahnya Amy menghabiskan kebanyakan masanya bersama pembantu rumah,” Daniel memberitahu isterinya. “Dia mungkin membiarkan Amy menonton TV sepanjang hari! Bagaimana dia boleh belajar dengan baik?”

Dibesarkan oleh pembantu rumah dari Indonesia, Amy hanya berjumpa dengan ibu bapanya sebelum waktu tidur. Mereka tahu mereka perlu meluangkan lebih banyak masa dengan Amy tetapi terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu. Mungkin satu hari nanti.

Masa telah berubah. Kehidupan kita semakin mewah, berpendidikan tinggi, lebih terbuka, lebih berdaya saing, lebih banyak bergerak dan lebih sibuk daripada biasa. Apabila membaca suratkhabar, begitu banyak berita mengenai tahap tekanan kanak-kanak yang semakin meningkat… kadar perceraian yang semakin tinggi … masalah berat badan berlebihan dan obesiti … nilai-nilai kekeluargaan yang semakin merosot … masalah sosial di kalangan remaja … ibu bapa yang tidak meluangkan masa yang secukupnya dengan anak-anak mereka …

Semua ini merupakan berita yang kurang baik bagi ibu bapa. Baru-baru ini, kami telah menemu bual beberapa pakar panel dalam penjagaan semasa kehamilan, pendidikan pemakanan, pediatrik, kesihatan mental dan pembangunan keluarga, yang mana telah sudi berkongsi pandangan dengan kami mengenai dunia keibubapaan masakini.

Bermula dari rahim ibu

– Professor Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Perunding Obstektrik &p; Ginekologi, Persatuan Obstektrik & Ginekologi Malaysia

“Ibu bapa pada hari ini sangat mengambil berat tentang penjagaan semasa kehamilan. Mereka lebih berpengetahuan dan menyedari kepentingan perkara ini. Pelbagai pertanyaan yang relevan ditujukan dan mereka turut menyuarakan pandangan mereka pada setiap keputusan yang akan diambil. Malangnya, maklumat yang berlebihan boleh meningkatkan tekanan dan kebimbangan terhadap masalah yang bakal berlaku kepada ibu dan bayi yang dikandung. Ibu bapa baru juga cenderung menjangkakan perkara yang tidak realistik mengenai kehamilan dan kelahiran. Mereka menganggap bahawa segala-galanya akan berjalan dengan lancar.”

“Walaupun kini mereka lebih prihatin terhadap kehamilan dan kelahiran, namun, kesedaran terhadap pencegahan kehamilan dan perancangan keluarga pula amat kurang. Kebanyakan wanita tidak menjalani pemeriksaan kesihatan pra kehamilan. Perkara seperti inilah yang perlu diambil perhatian kerana ia adalah sebahagian daripada proses perancangan keluarga.”

“Apakah yang ibu sediakan untuk makan tengah hari?”

– Professor Madya Dr Poh Bee Koon Pakar Pemakanan, Persatuan Pemakanan Malaysia

“Kanak-kanak hari ini kerap dihantar dengan kereta ke sana sini atau duduk di depan komputer sepanjang hari. Kesan gaya hidup yang banyak duduk ini diburukkan lagi dengan keluarga yang sering makan di luar kerana tiada masa untuk masak di rumah. Pemakanan yang kurang berkhasiat secara berterusan, seperti makanan segera, telah menyebabkan peningkatan masalah lebihan berat badan dan obesiti di kalangan kanak-kanak.”

“Kajian Pemakanan pada tahun 2002 di kalangan 12,000 kanak-kanak sekolah yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa 10% kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan dan 6% mengalami masalah obesiti. Kajian lain yang dijalankan dalam tahun yang sama pada 3,114 kanak-kanak prasekolah berusia dari 4 hingga 6 tahun menunjukkan bahawa 8.8% menghadapi masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Masalah kita bukan sahaja kekurangan makanan tetapi pemakanan yang berlebihan juga!”

“Satu lagi trend ialah supplemen terutamanya di kalangan golongan berada. Anak anak dibenarkan mengambil pil vitamin C atau multivitamin seolah-olah ia adalah gula-gula. Ibu bapa tidak tahu dos yang berlebihan boleh menyebabkan kesan yang negatif – sebagai contoh, dos vitamin C yang berlebihan boleh menyebabkan skurvi pantulan apabila ia dihentikan. Ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan mendapatkan nasihat pakar perubatan sebelum memberi supplemen kepada anak anak mereka.”

Bagaimanakah keluarga di Malaysia berubah

– Dr Anjli Doshi Gandhi, Pengarah Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara

“70% keluarga di Malaysia pada hari ini adalah keluarga nuklear. Berbanding keadaan keluarga masa lalu yang bergantung kepada ahli keluarga yang lain, pasangan muda sekarang lebih berdikari.”

“Sokongan keluarga amat penting seiring dengan peningkatan keluarga yang berkerjaya. Sekurang-kurangnya 46.7% tenaga buruh terdiri daripada golongan wanita. Ini menimbulkan isu pembahagian tanggungjawab di rumah, keperluan anak-anak dan penjagaan orang tua. Satu fenomena ialah ‘generasi sandwic’ di mana suami isteri perlu menjaga anakanak dan ibu bapa yang sudah tua membuat pasangan tersebut tersepit di tengah. Ini mendatangkan tekanan, terutamanya apabila anda juga perlu bekerja!”

“Keluarga hari ini mengalami kekurangan masa. Walaupun kita tahu kepentingan nilai-nilai keluarga, namun ramai yang menghadapi masalah untuk mengimbangi kehidupan di antara keluarga dan kerjaya.Tetapi, bagaimanakah anda boleh berkomunikasi dan menanam nilai-nilai murni dalam anak-anak jika anda tidak meluangkan masa berkualiti dan berkuantiti bersama mereka? Soal selidik penduduk dan keluarga di Malaysia yang dikendalikan dalam tahun 2004 menunjukkan bahawa bapa kurang berkomunikasi dengan anak-anak berbanding dengan ibu. Zaman ketika bapa perlu mencari nafkah dan mendisiplinkan anak anak telah berlalu. Dengan ibu yang berkerjaya, ibu bapa perlu sama-sama melibatkan diri dalam pengasuhan anak-anak. Mereka perlu meluangkan masa untuk mengajar anak-anak nilai-nilai bertanggungjawab, jujur dan hormat-menghormati dari kecil.”

Gembira, sihat & selamat

– Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik, Persatuan Pediatrik Malaysia

“Ibu bapa sekarang amat bimbang dengan perkara yang berkaitan dengan tumbesaran anak-anak mereka: Adakah anak saya membesar dan berkembang dengan normal? Apakah jenis pemakanan yang boleh memastikan anak saya membesar dengan baik? Apakah jenis permainan yang boleh membantu meningkatkan perkembangannya?”

“Kini, maklumat dan kesedaran yang perlu mereka ketahui boleh diperolehi dimana-mana sahaja. Mereka tidak perlu lagi berfikir panjang dan meminta pandangan dari doktor. Mereka juga mahu terlibat dalam setiap keputusan yang diambil – dari imunisasi kepada pemakanan sehinggalah kepada perkembangan anak. Walaupun ibu bapa lebih berpengetahuan, namun mereka kurang terlibat dalam proses menjaga anak-anak setiap hari. Kebanyakan ibubapa perlu bekerja dan meninggalkan tanggungjawab menjaga anak-anak kepada pembantu rumah.”

“Sesetengah ibu bapa sudah mula sedar tentang isu-isu keselamatan seperti kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta, bahaya alat tatih bayi dan cat plumbum, serta pemilihan alat-alat permainan yang sesuai dengan umur kanak kanak. Bagaimanapun, secara umumnya mereka tidak sedar dan masih tidak memilih jenama tertentu kerana ciri-ciri keselamatannya. Sebagai contoh, anda tidak sepatutnya membeli alat permainan untuk kanak-kanak berumur 18 bulan dan ke atas sekiranya anak anda hanya berusia 6 bulan. Sesetengah ibu bapa melakukannya, beranggapan bahawa anak mereka sudah cukup pintar untuk bermain dengan permainan tersebut. Tetapi, kita bukanlah mempertikaikan tentang kepintaran kanak-kanak itu tetapi mengenai isu keselamatan – alat permainan itu mungkin terlalu kecil dan boleh menyebabkan anak anda tercekik.”

Pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak

– Datin Radziah M. Daud SRN SCM, Presiden Persatuan Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak Kanak Malaysia

“Ibu bapa pada masakini semakin peka terhadap kebaikan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, juga terima kasih diucapkan kepada Kementerian Wanita, Keluarga & Pembangunan Masyarakat atas usaha yang telah dijalankan dan yang terkini adalah projek ‘Anak-anak adalah Permata’ atau Permata Negara yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri.”

“Menurut satu laporan yang disediakan oleh jawatankuasa Permata Negara, kanak kanak yang terdedah kepada pendidikan dan penjagaan awal berkemungkinan besar mempunyai kelebihan 7 hingga 10 bulan untuk membaca dan mengira, menamatkan sekolah tinggi, menjadi seorang yang bersedia memenuhi tuntutan pendidikan masa hadapan dan juga ditawarkan pekerjaan.”

“Pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak bukan mengenai pencapaian akademik sahaja. Ia adalah untuk menyediakan pengalaman-pengalaman yang sesuai sejak dari hari kelahiran sehinggalah berusia 6 tahun bagi membantu mereka membesar dengan baik dari segala aspek tumbesaran mahupun pembangunan mereka. Ia juga dapat membina peribadi, menanam dan memupuk nilai-nilai murni. Jadi, adalah amat digalakkan untuk meletakkan asas yang betul di saat yang genting ini.”

“Ibu bapa hari ini masih berorientasikan peperiksaan namun mereka telah lebih terbuka dan mempunyai kemahiran yang sesuai, lebih ramai lagi yang akan mula memahami kepentingan pendidikan awal kanak-kanak. Apa yang lebih penting, ibu bapa harus ingat: belajar adalah sesuatu yang menyeronokkan!”

Kesihatan mental kanak-kanak

– Dr Yen Teck Hoe Pakar Perunding Psikiatri, Naib Presiden, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia

“Kanak-kanak yang sihat dari segi mental dapat meluahkan perasaan mereka, Mereka berasa senang dengan diri mereka, menyayangi dan mempercayai orang lain serta dapat mengharungi kehidupan yang sukar ini secara positif.”

“Untuk membesarkan seorang kanak-kanak yang sihat dari segi mental, ibu bapa perlu terlebih dahulu memahami peranan mereka sebagai ibu bapa dan menerima peranan ini dengan penuh tanggungjawab. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini melayan anak-anak seperti kawan mereka, tetapi kanak-kanak tidak setaraf dengan mereka. Apabila anda melayan anak anda seperti kawan anda, dia mungkin tidak akan menghormati atau mendengar cakap anda. Ibu bapa perlu menjadi ibu bapa terlebih dahulu! Ini tidak bermakna anda harus menggunakan pendekatan autoritarian, namun sempadan dan peraturan perlu ditetapkan, disiplin mesti diperkukuhkan secara konsisten.”

“Ramai ibu bapa pada hari ini juga mempunyai harapan tinggi yang tidak realistik terhadap anak-anak mereka dan terlalu taksub dengan pencapaian akademik anak anak. Walaupun tidak salah jika mereka inginkan anak-anak mereka berjaya, namun ia akan memberikan tekanan kepada mereka. Ia juga boleh menjejaskan kanak-kanak tersebut jika dia tidak dapat mencapai matlamat itu.”

Penjagaan & perhatian yang penuh kasih sayang

– Pn Norsheila Abdullah, Presiden, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia

“Kanak-kanak yang berusia empat atau lima tahun telah dihantar ke kelas membaca, kelas piano, kelas taekwando … dan seterusnya. Pada masa mereka berusia tujuh tahun, jadual aktiviti mereka sudah penuh. Berilah anak anda kebebasan untuk belajar sambil bermain, bukan menghantar mereka ke kelas berstruktur, membuat kerja sekolah malah menduduki peperiksaan!”

“Kini, kita hidup di dalam dunia yang bertambah maju dan berdaya saing tinggi, oleh itu kita dapat memahami mengapa ibu bapa begitu cemas dalam pencapaian anak-anak mereka. Tetapi bagaimana pula tentang pendidikan anak-anak kita? Untuk menjaga seorang kanak-kanak, kita perlu memberikan penjagaan dan perhatian dengan penuh kasih sayang, mewujudkan satu persekitaran yang dapat menggalakkan mereka meneroka dan belajar sambil bermain. Apabila kanak-kanak tersebut berasa selamat dan dijaga, mereka akan lebih yakin menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.”

“Penjagaan perlu bermula dari rumah oleh ibu bapa sendiri. Ibu bapa perlu memahami dan menyandang peranan ini dengan sepenuhnya serta tidak bergantung kepada pengasuh kanak-kanak, guru prasekolah atau pembantu rumah.”

Jadi … apakah yang perlu dilakukan oleh Ibu Bapa yang Positif?

– Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Positive Parenting

Tiada kanak-kanak yang sempurna dari semua segi, oleh itu tiada ‘kaedah’ yang ideal dalam dunia keibubapaan. Bagaimanapun, temubual bersama Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Positive Parenting, telah mendedahkan bahawa terdapat beberapa prinsip yang dapat membantu ibu bapa melalui waktu-waktu yang mencabar ini:

Mengambil pendekatan holistik

Pengasuhan holistik bermaksud menyedari perkembangan anak anda adalah satu proses yang amat rumit dan merangkumi bukan sahaja perkembangan fizikal dan kognitif, tetapi bahasa dan komunikasi, perkembangan sosio-emosi, malah pertumbuhan moral dan kerohanian. Setiap aspek amat penting dan berhak menerima perhatian yang seimbang. Ambil masa untuk memahami pelbagai aspek pertumbuhan anak-anak anda secara keseluruhan dan mencari jenis aktiviti yang sesuai dengan perkembangan atau pengalaman bagi menjaga mereka.

Mendengar & melihat

Di mana sahaja anda berada, anda akan dihujani dengan maklumat yang menyentuh topik keibubapaan. Tetapi, bukan semua maklumat yang anda baca adalah betul (malah selamat) untuk anak anda terutamanya jika anda mendapat maklumat tersebut dari halaman web yang dibangunkan secara tergesagesa oleh individu yang tiada kerja lain.

“Dengar apa yang dikatakan oleh anak anda,” ujar Dr Zulkifli. “Belajar daripada anak anda. Jangan mengikut teknik yang dicadangkan oleh orang lain secara membabi buta. Beri lebih perhatian kepada mesej yang disampaikan oleh anak anda secara lisan dan bukan lisan. Dari situ, anda akan dapat tahu apa yang diinginkan oleh anak anda.”

Luangkan masa

“Ibu bapa yang positif dapat membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga dengan baik” ucap Dr Zulkifli. “Kita bercakap tentang kualiti masa yang diluangkan bersama anak-anak kita namun tiada siapa yang boleh memberi maksud masa berkualiti yang sebenar. Asalkan masa yang anda luangkan bersama-sama anak anda menjadi kenangan terindah untuknya, ia sudah cukup baik. Ianya amat mudah dilakukan seperti melukis gambar atau keluar makan bersama-sama.”

Biar fleksibel

Kita bukan sahaja berada di persekitaran yang sentiasa berubahubah, tetapi juga sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak yang sedang membesar dengan pantas dan berkembang dari segi kemahiran dan tahap pemahaman yang berubah setiap hari. Ibu bapa juga perlu menyesuaikan diri seiring dengan keperluan persekitaran dan kanak-kanak itu sendiri. Secara jujurnya, nilai gaya keibubapaan anda dari masa ke semasa dan bersedia untuk berubah apabila (bukan jika) masanya telah tiba.

Terus belajar

Setiap hari gaya, isu, kaedah dan pembangunan baru akan muncul dengan pantas. Anda perlu menjadi seorang yang berpengetahuan luas untuk menjadi ibu bapa yang berkesan. Berbual dengan ibu bapa yang lain, dengar apa yang disampaikan oleh pakar kanak-kanak dan baca sebanyak mungkin. Anda boleh meningkatkan kemahiran ibu bapa dengan meningkatkan tahap kesedaran terhadap isu-isu semasa dan isuisu di sekeliling anda.

Menjadi ibubapa – terutamanya untuk kali pertama – adalah sesuatu yang penuh cabaran dan anda perlu belajar dengan cepat. Tetapi kanak-kanak tabah secara semulajadi. Asalkan anda memainkan peranan anda dengan baik dan curahkan kasih sayang, keselamatan dan sebagainya dengan sepenuh hati kepada anak anda, mereka akan membesar dengan baik walau dalam apa keadaan sekalipun.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen