Pengasuhan Positif

Anak Anda Yang Unik

Pernahkah anda tertanya mengapa anak-anak anda mempunyai sifat-sifat yang berbeza? Ada yang bersikap pendiam sejak dilahirkan, sedangkan adiknya berlari, melompat dan menjerit sepanjang masa. Kesemua perbezaan ini sudah jelas kelihatan sejak mereka dilahirkan lagi. Sikap semula jadi untuk bertindak atau berkelakuan sedemikian dinamakan tabiat semula jadi (temperament) atau perangai asas seseorang.

Tabiat semulajadi bayi boleh ditentukan dengan memerhatikan beberapa sifat (sila lihat kotak di bawah). Tidak ada gunanya jika anda cuba menukar tabiat semulajadinya kerana ia merupakan sebahagian dari dirinya seperti warna mata dan rambut, bentuk hidungnya atau lesung pipitnya.

Walau bagaimanapun, tabiat semulajadinya (yang diwarisi lebih kurang sama rata daripada kedua-dua ibu bapa) hanya menyumbangkan separuh kepada personaliti seseorang bayi. Faktor persekitaran bayi itu akan menyumbang 50% yang selebihnya.

Apabila sifat-sifat berkaitan dengan tabiat semulajadi digabungkan, 3 kumpulan kanak-kanak akan terbentuk:

  1. Kanak-kanak yang senang dijaga selalunya gembira dan dapat tidur dan makan tepat pada waktunya. Mereka mudah menyesuaikan diri dengan mainan, makanan yang baru atau dengan orang yang baru dikenali serta persekitaran baru.
  2. Kanak-kanak yang susah dijaga selalunya makan dan tidur pada waktu yang tidak tetap. Mereka juga kerap menangis dan mudah cerewet.
  3. Kanak-kanak yang lambat sedikit menyesuaikan diri mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Mereka juga lebih lambat untuk mengikuti jadual makan dan tidur berbanding dengan kanak-kanak yang senang dijaga.

Oleh kerana semua kanak-kanak mempunyai tabiat yang berbeza dari lahir lagi, anda sebagai ibubapa harus peka dengan cara anda melayan mereka. Jika anak pertama anda merupakan ‘kanak-kanak yang senang dijaga’, anda mungkin akan mengalami kesukaran untuk menjaga anak-anak yang seterusnya jika mereka merupakan ‘kanak-kanak yang susah dijaga’. Jangan sesekali salahkan mereka bersikap sedemikian kerana pada hakikatnya mereka tidak memilih untuk bersifat demikian.

Untuk menjadi ibubapa yang baik dan berkesan, anda tidak perlu mendapatkan penilaian psikologi atau tabiat semulajadi anak anda. Anda harus menyedari bahawa kanak-kanak merupakan insan biasa seperti anda juga. Oleh itu, mereka juga mempunyai perasaan serta akan membuat kesilapan.

Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab untuk mendidik mereka untuk mengatasi kelemahan agar mereka dapat membesar menjadi seorang insan yang gembira, merasa puas dan senang membiasakan diri dalam apa jua keadaan. Semoga anda juga akan mendapat kepuasan dalam proses mendidik anak anda.

Muka-muka surat yang selanjutnya akan memperihalkan suara hati seorang kanak-kanak. Jika mereka dapat menyuarakan apa yang terpendam di hati, berikut mungkin merupakan luahan hati mereka kepada anda. Setiap perenggan akan diikuti dengan nasihat yang saya harap ibu bapa akan amalkan dalam perjalanan anda di alam keibubapaan.

Cubalah memahami saya

Menurut anak: Saya sering dimarah. Sebenarnya saya cuma ingin megetahui tentang persekitaran saya. Saya masih belum faham erti bahaya. Saya cuma merasa sakit apabila sesuatu telah berlaku (atau apabila dipukul). Semalam saya dipukul kerana bermain dengan seterika. Kalau saya tidak dibenarkan main dengan seterika, mengapa saya dibiarkan bermain berdekatan dengannya? Kadangkala saya diberitahu supaya tidak melakukan sesuatu, banyak sangat pantang-larang yang perlu saya ingat dan saya mudah lupa. Kadangkala saya dihukum tanpa diberitahu kesalahan saya. Saya dikatakan ‘nakal’ atau ‘jahat’ apabila dimarah. Saya mahu menjadi anak yang baik tetapi saya tidak tahu caranya. Mengajar saya tidak bermakna memukul saya sebelum saya melakukan kesalahan. Beritahu sajalah kesalahan saya. Jika saya membuat silap, saya akan cuba memperbaiki kesalahan saya. Cubalah lebih bersabar dengan saya dan memberitahu saya berulang-kali, sehingga saya faham.

Menurut Dr Teoh: Kebanyakan ibubapa mempunyai tanggapan bahawa anak-anak mereka patut tahu apa yang betul dan apa yang salah. Apabila ibubapa mengadu tentang kenakalan anak-anak mereka, saya akan bertanya, “Apakah yang kamu ingin anakanak kamu lakukan?” Dalam erti kata yang lain, apakah kelakuan yang diinginkan dari anak-anak mereka? Jika anda mahu anak-anak yang selalu senyap, tidak bercakap sehingga diberitahu, membuat kerja rumah dan belajar tanpa diberitahu, tidak menyelerakkan rumah, tidak bermain kasar dan tidak pernah membantah, anda sebenarnya mahukan robot, bukannya anak. Ibubapa harus sedar akan hakikat ini, namun apabila anak-anak mereka melakukan kesalahan secara tidak sengaja, mereka akan terus mengeluarkan kata-kata yang kesat, menghukum dan kadang-kadang memukul mereka. Demi untuk kesejahteraan seisi keluarga, ingatlah bahawa anak-anak merupakan insan biasa! Memang mereka lebih kecil, lemah, kurang berupaya untuk menjaga diri sendiri dan kurang arif berbanding dengan anda, maka oleh sebab itulah anda perlu menjaga, melindungi dan yang paling penting membimbing mereka dengan seperti mana yang anda mahu mereka berkelakuan.

3 langkah ke arah kelakuan baik

  1. Beri ganjaran dan pujian dengan segera jika mereka telah berkelakuan baik
  2. Jika anak anda melakukan sesuatu yang harus dibanggakan pada bulan yang lepas, tetapi hanya mendapat ganjarannya sekarang, maka dia akan melihatnya sebagai suatu perkara yang remeh dan bukannya suatu ganjaran. Dia juga tidak akan tahu kelakuan yang bagaimana anda sedang cuba titikberatkan.

  3. Bertindak seperti mana yang telah anda katakan, walaupun ianya baik mahupun buruk
  4. Sekiranya anak anda berkelakuan degil dan anda telah memberitahunya yang dia akan dihukum, oleh itu berbuatlah demikian. Jika dia merayu kepada anda dan anda berlembut hati, maka dia akan membuat tanggapan bahawa dia boleh berkelakuan sedemikian lagi.

    Begitu juga sekiranya anda telah menjanjikannya suatu hadiah atau ganjaran, tunaikanlah janji anda untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Mendapat kepercayaan mereka merupakan sesuatu yang patut dilakukan dari sekarang supaya apabila mereka kian membesar, mereka akan terus mempercayai anda dan menjadikan anda tempat untuk beradu nasib.

  5. Kurangkan struktur dan ketegasan sistem disiplin apabila anak membesar
  6. Semakin anak anda melangkah ke alam dewasa, semakin mereka perlu dilayani sebagai orang dewasa. Ini tidak bermakna yang anda harus berhenti menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Tetapi ia bermakna bahawa anak anda yang dahulunya masih kecil dan selalu diberitahu untuk berkelakuan baik tanpa menyoal anda, kini sudah mempunyai akal bestari sendiri yang boleh memikirkan sebab-sebab di sebalik segala keputusan anda.

Anda tidak perlu memberi mereka syarahan selama 30 minit sebelum membenarkan mereka melakukan sesuatu. Tetapkan pendirian anda dan jangan berlembut hati kepada rayuan serta permintaan mereka. Walaupun mereka nampak comel dan merupakan darah daging anda, namun sekiranya anda menukar aturan disiplin rumah, maka mereka akan membesar menjadi anak-anak yang mementingkan diri sendiri dan terlalu dimanjakan.

Membesar bermakna seseorang itu kian memahami apa yang baik dan buruk di sekeliling mereka. Berilah anak-anak anda kebebasan, tetapi pada masa yang sama, pastikan mereka tahu akan hadnya dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka. Dengan ini mereka akan tahu akan pandangan anda tentang sesetengah isu. Paling penting, sebagai remaja dan anak muda, mereka akan berkelakuan berdasarkan nilai nilai murni yang telah ditanamkan oleh ibubapa mereka.

Bermainlah dengan saya

Menurut anak: Saya berhasrat ibu dan bapa meluangkan lebih masa untuk bermain dengan saya. Apabila kamu berdua pulang selepas kerja, kamu memberi alasan yang kamu terlalu penat untuk bermain. Seringkali saya terpaksa bermain seorang diri. Selepas makan malam, kamu masih penat untuk bermain tetapi boleh pula menonton TV sehingga larut malam. Pada hujung minggu, apabila saya meminta untuk dibawa ke taman permainan untuk berjumpa dengan kawankawan dan bermain di luar, tetapi sebaliknya saya dibawa ke kompleks membeli-belah dan dibeli mainan. Saya tidak mahukan mainan. Saya cuma mahu ibubapa saya bermain dengan saya.

Menurut Dr Teoh: Kebanyakan ibubapa tidak meluangkan masa yang secukupnya dengan anak-anak mereka. Anak anda mungkin mempunyai banyak barang permainan, tetapi jika dia bermain berseorangan, dia tidak akan mendapat nilainilai yang penting yang perlu untuk perkembangan sosial dan peribadinya.

Kanak-kanak perlukan masa untuk mempelajari persekitaran mereka dengan cara mereka yang tersendiri. Mereka juga harus tahu yang mereka boleh berseronok bersama ibu bapa mereka tanpa setiap pergerakan mereka dijadikan sesi pembelajaran membaca, mengira ataupun muzik. Sesetengah ibu bapa menghabiskan banyak wang membeli mainan yang dapat ‘meningkatkan perkembangan’, sedangkan pada hakikatnya persekitaran, benda-benda dan orang di sekeliling anak mereka sudah cukup untuk membuatkan mereka sibuk buat beberapa jam lamanya.

Bermain seharusnya menyeronokkan!

Ibu bapa kini lebih senang memenuhi masa anak mereka dengan bermain dengan ‘mainan yang dapat mendidik’. Mereka menganggap bahawa permainan yang tidak melibatkan pengiraan, kesedaran warna atau mempelajari sesuatu kemahiran adalah sesuatu yang tidak berguna serta membuang masa sahaja.

Apa yang dimaksudkan dengan menghabiskan masa bermain dengan anak anda, sebenarnya ialah melakukan sesuatu yang disukai oleh anak anda dan bukannya apa yang anda suka. Oleh itu, menghabiskan masa dua jam di gelanggang tenis mahupun di kolam renang di mana mereka akan dimarah oleh jurulatih tidak sepatutnya diambil kira sebagai waktu bermain.

Ramai ibubapa yang telah bermain bersama anak mereka serta memberi kebebasan kepada anak mereka untuk bermain sesuka hati, telah mendapati yang anak mereka sebenarnya cerdik, mempunyai imaginasi serta kreatif walaupun sedang bermain dengan mainan yang tidak banyak.

Marilah belajar bersama saya

Menurut anak: Saya pergi ke sekolah dari jam 7 pagi hingga ke waktu tengah hari. Ibu sering membungkus makanan tengah hari untuk dimakan di dalam kereta dalam perjalanan dari sekolah ke pusat tuisyen. Saya tidak tahu mengapa saya perlu menghabiskan hampir setiap petang di kelas tuisyen sedangkan saya telah ke sekolah di waktu pagi. Saya selalu ingin bermain selepas makan malam tetapi malangnya mempunyai banyak kerja sekolah untuk disiapkan. Ibu pernah berkata hendak menghantar saya ke kelas muzik untuk belajar bermain piano. Saya tidak pernah meminta untuk berbuat demikian. Saya rasa saya tidak akan mempunyai masa untuk bermain lagi jika telah mula mengambil kelas bermain piano itu kelak.

Menurut Dr Teoh: Masyarakat kita telah mula lupa bahawa peluang untuk pembelajaran terdapat di mana-mana dan bukan sahaja di sekolah. Tidak cukup dengan berjam-jam belajar di sekolah, kanak-kanak zaman sekarang turut di hantar ke kelas tuisyen dan aktiviti kurikulum tambahan seperti sukan, kelas muzik, kelas tarian dan kelas seni mempertahankan diri. Kanak-kanak memang suka dengan aktivitiaktiviti sebegini tapi jika ianya sekadar rekreasi sahaja. Mereka tentunya tidak suka jika dipaksa mengambil ujian atau disuruh cemerlang dalam melakukannya. Jika mereka terus dipaksa mengikuti sesuatu aktviti yang tidak disukai, ia sebenarnya memberikan mereka peluang untuk memberontak apabila besar kelak.

Cara-cara yang lebih kreatif untuk belajar

Pembelajaran tidak semestinya harus dilakukan di dalam bilik darjah sahaja. Dengan menjalankan aktiviti-aktiviti berikut bersama anak-anak anda, mungkin anda juga akan belajar sesuatu yang baru!

  • Bawa anak-anak anda melawat muzium, pusat sains dan balai-balai kesenian. Di sana, benarkan mereka memegang barang pameran (setakat mana yang boleh) dan bincangkan apa yang dilihat. Jika anda tidak tahu jawapan kepada sesetengah soalan yang ditanya, berjanjilah dengan mereka yang anda akan bersama-sama mencari jawapannnya di dalam buku atau Internet.
  • Anda boleh menggunakan barangan di persekitaran rumah sebagai sumber pembelajaran. Anda tidak memerlukan ijazah dalam bidang kejuruteraan untuk berbuat demikian! Anda boleh menjadikan waktu menyediakan makan malam sebagai pelajaran sains asas. Tunjukkan kepada mereka cara anda mengira dan membayar bil. Ini bukan sahaja membantu mereka dalam bidang matematik malah mengajar mereka bertanggungjawab dan tidak semua benda datang dengan percuma!
  • Jadikan pemeriksaan doktor sebagai suatu pengalaman pembelajaran. Dalam perjalanan untuk berjumpa doktor, beritahu mereka bagaimana doktor cuba membantu memulihkan kanak-kanak yang sakit. Jelaskan bagaimana doktor mendengar degupan jantung, mengambil suhu badan atau memberi suntikan. Jika anda risau perkara ini akan menakutkan mereka, cuba bayangkan bagaimana takutnya mereka apabila terpaksa disuntik tanpa diberitahu terdahulu!

Bantulah saya

Tolong jangan pukul saya!

Menurut anak: Itu cuma satu kesalahan yang tidak disengajakan. Saya kurang faham tentang apa yang disuruh. Saya tersalah buat dan dipukul. Perut saya kini sering sakit setelah dipukul. Saya tidak dapat menumpukan perhatian kerana sakit, tetapi saya harus cuba lakukan yang sebaik mungkin jika tidak mahu dipukul lagi. Kadang-kala saya dipukul walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan. Mungkin saya memang jahat dan memang patut selalu dipukul sedemikian.

Menurut Dr Teoh: Berlainan dengan kepercayaan orang ramai, penderaan kanak-kanak tidak selalunya dilakukan oleh ibu bapa yang ‘garang’, kaki botol atau yang mengalami masalah peribadi. Tetapi, ia selalunya bermula kerana kesalahan kecil atau keengkaran kanak-kanak. Ibu bapa pula memilih untuk memukul anak mereka dengan harapan yang ianya akan mendisiplinkan. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan kanak-kanak akan lali dengan pukulan dan ini akan menyebabkan mereka dipukul dengan lebih banyak dan lebih kuat pula. Malangnya, ada sesetengah ibu bapa yang menganggap bahawa memukul anak mereka dengan lebih kuat akan lebih mendisiplinkan mereka.

Hentikan sekarang!

Sekiranya anda sering memukul anak, walaupun anda menganggap pukulan tersebut tidak kuat dan tidak menyakitkan, hentikannya sekarang. Anda sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental serta hubungan antara anda berdua. Terdapat banyak cara lain untuk mengendalikan keengkaran atau kedegilan (sila lihat kotak “Cubalah Memahami Saya” di muka surat 10). Ingatlah, hukuman tanpa sebarang tunjuk ajar, bimbingan serta ganjaran yang betul tidak akan mengubah perangai anak anda. Ia hanya akan merosakkan kesihatan mental dan merosakkan hubungan dengan anda.

Jangan tinggalkan saya

Menurut anak: Mengapa Papa mengemaskan barang untuk pergi dari sini? Dulu Papa pernah berkata bahawa kita suatu keluarga buat selama-lamanya. Sekarang Mama mengatakan bahawa Papa tidak akan kembali lagi. Mama kata Papa sudah tidak sayangkan kami lagi. Bagaimana saya hendak hidup tanpa Papa? Mengapa Papa tidak sayangkan kami lagi?

Menurut Dr Teoh: Kanak-kanak akan benarbenar merana disebabkan penceraian atau perpisahan ibu bapa mereka. Ini kerana mereka hanya tahu bahawa kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan, menyediakan segala-galanya dan menjaga mereka selama ini.

Terdapat dua kemungkinan reaksi kanak-kanak terhadap penceraian ibu bapa mereka. Yang pertama ialah mereka mungkin akan menyalahkan diri sendiri, seperti,”Saya terlalu jahat hinggakan Ayah/Mak sudah tidak inginkan saya lagi.” Ini akan menyebabkan kanak-kanak tersebut merasa sedih dan mempunyai kurang harga diri.

Kemungkinan kedua pula ialah kanak-kanak tersebut mungkin akan cuba untuk mengelakkan ibu bapa mereka daripada berpisah. Ini terutama sekali terjadi kepada kanak-kanak yang lebih tua. Mereka akan cuba untuk menjadi ‘orang tengah’ antara kedua-dua ibu bapa tetapi ini selalunya akan lebih mengeruhkan lagi keadaan dan yang lebih malang lagi ialah kanak-kanak tersebut akan tersempit di antara dua orang yang disayanginya.

Dalam situasi sedemikian, anak yang sulung selalunya terus menganggap dirinya sebagai “ketua keluarga” yang baru. Oleh kerana ibu bapanya sibuk menghabiskan masa dengan bergaduh tentang harta dan perihal menjaga anak, anak yang sulung ini terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga keperluan kebendaan dan emosi adik-adik yang lain. Ini merupakan sesuatu yang tidak baik kerana anak sulung tersebut masih lagi seorang kanak-kanak yang perlu membesar.

Walaupun anda tidak berniat untuk bercerai atau berpisah, anda serta pasangan perlu bekerjasama untuk menangani segala masalah perkahwinan. Ini kerana kanak-kanak belajar melalui teladan dan anda merupakan contoh nombor satu yang akan mereka ikuti. Jika anda suami isteri sering bergaduh, mencaci atau menyalahkan sesama sendiri, anak anda akan turut belajar berbuat demikian. Jika anda sering tidak mahu menghadapi masalah dan suka memendam perasaan, anak anda juga akan melakukan sedemikian apabila berhadapan dengan masalah. Sebagai ibu bapa, anda perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah perkahwinan demi kebaikan masa depan anak-anak.

Berpindah kerana pekerjaan?

Jika pertukaran tempat bekerja ke bandar atau kota yang lain menyebabkan anda sering berjauhan dari rumah untuk beberapa minggu atau hari, maka anda mungkin perlu memikirkan kesannya terhadap anak-anak anda. Ini adalah penting kerana kanak-kanak sentiasa memerlukan sokongan serta kasih sayang daripada kedua-dua ibubapa.

Menghadapi perihal kematian

Kematian seseorang yang disayangi adalah amat sukar untuk dihadapi oleh sesiapa sahaja, begitu juga bagi seorang kanak-kanak. Walaupun mereka mungkin tidak akan benarbenar faham bahawa kematian adalah sesuatu yang kekal dan tidak dapat dielakkan, namun ianya mungkin akan menakutkan mereka. Kehadiran seorang daripada ibu bapa atau saudara dekat akan membantu menenangkan perasaan mereka.

Jika anak anda atau seseorang kanak-kanak yang anda kenal telah kehilangan orang yang disayangi, jangan sekali-kali memperkecilkan keperluannya untuk bersedih dan menghadapi kematian tersebut dengan caranya tersendiri. Berikut terdapat beberapa cara untuk membantu anda berbincang mengenai kematian bersama anak anda:

  • Beritahu mereka yang orang tersebut telah meninggal dunia (atau mati) dan kini berada di tempat lain. Jangan sekali-kali mengatakan yang orang tersebut “sedang tidur” kerana ini mungkin akan menyebabkan kanak-kanak takut untuk tidur.
  • Jelaskan dengan cara yang baik bahawa orang tersebut tidak akan kembali lagi. Mungkin sukar untuk kanak-kanak yang muda untuk memahaminya; oleh itu anda tidak perlu memberitahu mereka berkalikali. Mereka akan faham juga apabila tiba masanya nanti.
  • Beritahu mereka bahawa merindui orang yang telah meninggal dunia merupakan suatu perkara yang biasa dan mereka boleh berkongsi perasaan atau kenangan mengenai orang tersebut bersama anda.
  • Benarkan kanak-kanak tersebut menghadiri pengkebumian. Ini membantu mereka mengucapkan selamat tinggal dan mengelakkan mereka daripada menganggap orang tersebut bukannya telah mati tetapi sedang dalam perjalanan yang jauh atau sedang menjauhkan diri daripadanya.
  • Berikan mereka masa serta peluang untuk bersedih. Seperti luka, kesedihan disebabkan kehilangan seseorang yang disayangi akan mengambil masa untuk pulih.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen