Pengasuhan Positif

Usah Pinggirkan Komunikasi

Anda mungkin akan terkejut dengan idea untuk mempelajari semula kemahiran berkomunikasi, memandangkan anda dan pasangan anda sudah berkomunikasi dengan baik sepanjang tempoh anda bersama. Mungkin benar tetapi, menjadi ibu bapa adalah sesuatu yang membebankan, memakan masa dan memberi tekanan. Bilakah kali terakhir anda berbual-bual mesra dengan pasangan anda? Jika anda tidak mengingatinya, anda perlu mengulangkaji perkara ini:

Tetapkan masa berbual

Tetapkan satu masa untuk anda berbual-bual – ketika sarapan pagi, semasa membawa bayi anda bersiar-siar atau sebelum tidur. Tetapkan waktu yang khusus dan anda harus menepatinya. Jika anda tidak dapat memenuhi waktu itu, pastikan anda menjadualkannya semula.

Bertanya soalan

Jangan berfikir anda memahami satu sama lain dengan baik. Anda dan pasangan anda tidak boleh membaca fikiran masing-masing. Tanamkan tabiat suka bertanya sebelum anda mengandaikan apa yang ingin disampaikan oleh pasangan anda.

Mendengar dengan jujur

Menjadi pendengar yang baik bermaksud mendengar tanpa mencelah dan dapat memberikan maklumbalas yang tepat kepada pasangan anda. Letakkan diri anda di tempatnya. Dengar apa yang ingin disampaikan oleh pasangan anda sebelum anda mencelah atau mebuat kesimpulan.

Peluang dan waktu yang sama

Setiap perbualan memerlukan anda untuk memberi dan menerima. Anda mungkin merasakan pasangan anda mempergunakan anda dan anda ingin meluahkan perasaan anda berjam-jam lamanya, tetapi jangan memonopoli waktu perbualan ini. Beri peluang kepada pasangan anda untuk bercakap. Anda mungkin akan mengubah pandangan anda apabila anda mendengar apa yang ingin disampaikannya.

Tiada rungutan, hanya permintaan

Rungutan merupakan sesuatu yang negatif dan hanya membuatkan pasangan anda ingin mempertahankan dirinya. Mengapa tidak menukarkan rungutan ini kepada permintaan? Elakkan daripada berkata “Saya melakukan semua kerja rumah dan awak tidak membantu langsung!”, sebaliknya katakan “Boleh tak awak menyediakan makan malam kerana saya hendak memandikan bayi?”

Satu perkara pada satu masa

Beberapa masalah mungkin akan menghantui anda pada satu masa: bayi, wang, kerja dan keluarga ipar. Jangan cuba menyelesaikan masalah ini sekaligus sehingga menyebabkan anda tertekan. Selesaikan masalah ini satu persatu.

BERKONGSI KELEBIHAN DAN KELEMAHAN

‘Waktu berbual’ bukanlah peluang untuk anda menyalahkan atau mengkritik pasangan anda. Baru bergelar ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah dan anda berdua memerlukan sokongan dan galakan. Cuba berbual perkara yang positif dan negatif, berkongsi kebimbangan serta meraikan kejayaan, berbangga dengan kelebihan dan mencari jalan untuk mengatasi kelemahan masing-masing.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen