Bilangan ibu bapa tunggal dalam masyarakat kita semakin meningkat sekarang, dan sebahagian besar daripada mereka adalah ibu tunggal. Ibu tunggal ditakrifkan sebagai wanita yang mengetuai keluarga, dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak belum berkahwin berusia bawah 18 tahun yang tinggal bersamanya. Seseorang wanita atau lelaki mendapat gelaran ibu tunggal atau bapa tunggal atas pelbagai sebab – kematian pasangan, perceraian, atau ditinggalkan.
Perangkaan yang diperoleh daripada Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000 menunjukkan terdapat 126,810 ibu tunggal di Malaysia. Angka ini mungkin tidak tepat, dan pasti jauh lebih besar sekarang memandangkan bilangan perceraian dan perpisahan semakin hari semakin meningkat.
Bukan senang untuk menjadi ibu tunggal dan pada masa yang sama menyara keluarga. Selain memendam perasaan dan berdepan dengan isu peribadi, ibu tunggal dibebankan dengan tanggungjawab tambahan untuk menguruskan diri mereka sendiri dan sumber yang terhad.
Jika anda mempunyai saudara-mara atau sahabat handai yang menjadi ibu bapa tunggal, teruskan membaca untuk memahami kesulitan dan cabaran yang mereka hadapi. Jika anda sendiri adalah seorang ibu tunggal, ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan dan anda boleh mendapatkan bantuan.
Fakta & angka
Menurut hasil kajian(1) di kalangan ibu tunggal di bandar Malaysia yang termasuk di bawah kategori berpendapatan rendah:
- 72% menjadi ibu tunggal apabila suami mereka meninggal dunia, 23% bercerai, 4% suami menghilangkan diri, 1% ditinggalkan suami.
- Sebanyak 64% daripada mereka mempunyai 2-4 anak.
- Kira-kira 92% daripada wanita ini mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM1,000.
Rujukan:
1. Omar D, et al. Urban Living Condition of Low Income Single Mothers in Malaysia. European Journal of Social Sciences 2009;9(2):193-201.
Komen