Pengasuhan Positif

Telefon Untuk Semua!

Pada zaman moden dengan teknologi yang serba canggih, bukan golongan dewasa sahaja boleh menggunakan telefon bimbit. Jarang kita melihat seorang kanak-kanak, khususnya di bandar, yang tidak mempunyai telefon bimbit. Seawal usia 8 tahun, mereka sudah memiliki telefon bimbit sendiri yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Justeru, usah terkejut apabila anak anda mendesak anda supaya membelikan telefon bimbit untuk mereka (jika mereka masih belum memilikinya).

Wajarkah Si Kecil Memiliki Telefon Bimbit?

Timbangkan isu-isu yang berikut untuk membantu anda membuat keputusan jika anak anda memerlukan telefon bimbitnya sendiri atau tidak:

  • Telefon bimbit menyenangkan. Ibu bapa boleh merasa tenang apabila anak tiada di rumah, kerana mengetahui mereka boleh dihubungi melalui telefon bimbit. Ia juga menyediakan hubungan segera dengan ahli keluarga, dan juga polis, ambulans dan bomba.
  • Mengajar tentang tanggungjawab. Anak anda perlu belajar cara untuk menjaga telefon bimbitnya sendiri, dan bertanggungjawab terhadap semua panggilan, mesej, gambar dan sebagainya yang dimuat turun.
  • Risiko mendedahkan anak kepada keburukan. Anak anda mungkin melalui pengalaman seperti buli melalui telefon dan dalam kes yang lebih serius, pedofilia, kerana mereka mudah dihubungi.
  • Kemerosotan kemahiran sosial. Menggunakan telefon bimbit sebagai alat untuk berkomunikasi dengan orang lain boleh mengurangkan peluang untuk anak bercampur gaul dengan rakan dan keluarga.

Keselamatan Telefon

Tidak dapat dinyatakan dengan jelas bahaya penggunaan telefon bimbit. Namun, sebagai ibu bapa, terdapat cara anda boleh mengajar anak anda untuk mengawal dan mengurangkan risikonya.

  • Bincang dan tetapkan peraturan. Beritahu anak bila mereka perlu guna telefon, kekerapan penggunaanya dan peruntukan perbelanjaan wang untuk penggunaan telefon bimbit.
  • Beli telefon yang sesuai. Jangan manjakan anak anda dengan membeli telefon canggih, dengan fungsi yang keterlaluan dan tidak diperlukan oleh kanak-kanak. Ini akan mengurangkan kawalan anda terhadap apa yang dilakukan dengan telefonnya.
  • Ingatkan mereka supaya fokus dan mematuhi adab menggunakan telefon. Jangan hantar pesanan melalui SMS sambil berjalan hingga menyebabkan mereka terjatuh, atau makan sambil bermain telefon.
  • Perlindungan privasi. Ajar anak supaya tidak memberi maklumat peribadi, sama ada maklumat diri mereka atau anda, yang boleh membahayakan keselamatan keluarga anda. Ini termasuk nama, nombor telefon, alamat dan gambar. Adalah lebih selamat jangan jawab panggilan atau pesanan SMS daripada nombor asing atau orang tidak dikenali.
  • Jangan jadi mangsa komplot. Ajar anak anda supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran yang diterima melalui telefon bimbit mereka. Sebagai contoh, kadar premium untuk menyertai pertandingan, untuk membeli nada dering dan permainan, dan untuk menyertai rangkaian sosial. Bayaran boleh meningkat dengan cepat walaupun anak anda tidak bertanggungjawab ke atasnya.
  • Beritahu mereka tentang buli melalui telefon. Biar anak tahu bahawa mereka tidak sepatutnya menjawab mesej yang biadab atau buruk. Sebaliknya, suruh mereka simpan mesej tersebut dan segera tunjukkan kepada anda.

Adakah Otak Mereka akan Meletup?

Terdapat banyak dakwaan berkaitan penggunaan telefon bimbit di kalangan kanak-kanak dan peningkatan risiko kanser otak. Kononnya, pancaran gelombang radio oleh telefon bimbit lebih mudah diserap oleh otak kanak-kanak kerana tengkorak kepala mereka lebih nipis, menyebabkan kerosakan kepada sistem saraf.

Dakwaan ini disangkal oleh banyak badan profesional antarabangsa yang telah mengkaji bukti dengan teliti. Panel pakar termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Radiasi Bukan Pengionan (ICNIRP), Agensi Perlindungan Kesihatan (UK) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA). Pertubuhan-pertubuhan ini membuat kenyataan umum bahawa tiada sebab berkaitan kesihatan untuk menghadkan penggunaan telefon bimbit di kalangan kanak-kanak berdasarkan bukti saintifik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen