Pengasuhan Positif

Teknik Ganjaran – Yang Betul dan Yang Salah

Situasi 1: “Nah, ini mainan kamu, berhenti menangis sekarang juga!” atau “Nah, ini ais krim kamu, berhenti mencubit adik kamu!”

vs

Situasi 2: “Sudah habis makan malam kamu, baru ada pencuci mulut.” atau “Syabas! Kamu dapat A untuk matematik! Kami semua rasa bangga dengan kamu!”

Bolehkah anda bezakan di antara kedua-dua situasi di atas? Pada zahirnya, kedua-dua situasi di atas menggambarkan satu bentuk ganjaran (atau peneguhan positif) supaya kanakkanak tersebut berkelakuan dalam cara yang menyenangkan hati ibu bapanya. Untuk mengetahui perbezaannya, anda mesti terlebih dahulu memahami bahawa ‘peneguhan’ adalah satu proses untuk menggalakkan atau mewujudkan satu corak tingkah laku pada seseorang kanak-kanak, terutamanya melalui galakan atau ganjaran.

Terdapat dua jenis peneguhan: peneguhan positif dan negatif. Peneguhan positif adalah ganjaran atau galakan yang diberi berikutan dengan tingkah laku seseorang kanakkanak yang menyebabkan tingkah laku tersebut berkemungkinan akan berlaku lagi pada masa akan datang. Sebaliknya, peneguhan negatif, adalah gerak balas atau tingkah laku seseorang kanak-kanak yang dikukuhkan dengan penyingkiran sesuatu peristiwa yang tidak baik atau suatu hasil negatif. Contohnya, seorang kanak-kanak mengemaskan biliknya untuk mengelakkan diri daripada bergaduh dengan ibu bapanya.

Dalam rencana ini, kami akan memberi tumpuan terhadap penggunaan peneguhan positif dan tip-tip tentang apa yang boleh anda lakukan dalam situasi yang sama supaya dapat membantu mengajar anak anda tingkah laku yang lebih baik, dan untuk mengelakkan tingkah laku yang boleh memudaratkan mereka.

Fahami peneguhan positif

Teknik ganjaran yang digunakan dalam Situasi 1 adalah dianggap sebagai ‘teknik ganjaran yang salah atau tidak sesuai’, kerana kanak-kanak belajar bahawa dengan berbuat nakal, mereka boleh mendapatkan perhatian daripada ibu bapa, atau memperolehi objek yang mereka inginkan. Ini adalah satu bentuk perundingan dan boleh menjadi satu corak yang berterusan. Tapi ingatlah, perundingan yang terlampau boleh menyebabkan anak anda berasa seolaholahnya semua perkara berada di bawah kawalannya. Pada asasnya, ibu bapa dalam situasi ini akan memperkukuhkan lagi salah laku anak mereka.

Cara yang betul untuk menggunakan peneguhan positif atau ganjaran adalah apabila anak-anak anda menunjukkan tingkah laku yang baik seperti dalam Situasi 2. Cara ini berkesan kerana ganjaran diberi kepada anak anda kerana dia berkelakuan baik, dan bukannya dimanipulasi atau diugut. Namun, sebagai ibu bapa, anda mesti memastikan bahawa pencapaian anak-anak anda adalah diperolehi secara etika dan moral. Sebagai contohnya, kanak-kanak boleh menipu dalam peperiksaannya untuk mendapatkan markah yang tinggi supaya dia boleh mendapatkan suatu ganjaran.

Jenis-jenis ganjaran

Terdapat tiga jenis teknik ganjaran yang berbeza yang boleh anda gunakan untuk membentuk tingkah laku yang diingini pada anak-anak anda, iaitu:

  1. Ganjaran berterusan – diberikan setiap kali anak-anak melakukan sesuatu kerja dengan baik atau berkelakuan sewajarnya. Dalam situasi ini, pembelajaran tingkah laku yang sesuai akan berlaku dengan cepat tetapi ia juga akan lupus dengan cepat jika ganjaran tidak diberikan lagi.
  2. Ganjaran berkala – diberi pada jarak waktu yang tetap (misalnya kali pertama, ke-empat, ke-tujuh dan ke-sebelas). Dalam situasi ini, kanak-kanak belajar tingkah laku yang diingini dengan lebih perlahan, tetapi apabila dipelajari, tingkah laku tersebut tidak akan lupus dengan cepat apabila ganjaran tidak diberikan.
  3. Ganjaran secara rawak – diberi pada jarak waktu yang rawak (misalnya kali pertama, ke-tujuh, ke-sebelas, ke-sembilan belas). Dalam situasi ini, kanak-kanak akan mengambil masa yang lama untuk belajar dan mengukuhkan tingkah laku yang diingini, tetapi apabila tingkah laku yang diingini telah dipelajari, tingkah laku tersebut boleh dikatakan tidak akan lenyap sama sekali. Ini adalah teknik yang lebih baik.

Jika anda harap anak anda mencapai kemajuan yang lebih cepat, anda harus bermula dengan ganjaran berterusan, beralih kepada ganjaran berkala dan akhinya ganjaran secara rawak dengan beransur-ansur supaya tingkah laku yang diingini tersebut menjadi satu tabiat.

Akhir sekali, telitikan apakah tingkah laku yang mungkin anda mengukuhkan pada anak anda, dan bagaimana anda memperkukuhkannya. Ini akan membawa perubahan dalam pendekatan anda yang mungkin akan memberikan kesan yang lebih baik. Ingatlah bahawa apabila anda menggunakan teknik ganjaran yang salah untuk mengawal tingkah laku anak-anak anda, mereka tidak dapat belajar pengajaran yang anda cuba ajar mereka. Sebaliknya, biarkan anak-anak anda mendapatkan ganjaran dengan membolehkan mereka bertanggungjawab dan mengorak langkah yang positif ke arah meningkatkan tingkah laku mereka.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen