Pengasuhan Positif

Tekanan Perasaan Selepas Bersalin

Wanita hari ini memikul pelbagai peranan, daripada bekerja sepenuh masa, sehinggalah bertanggungjawab terhadap keluarga dan rumah. Mereka adalah penjaga utama kanak-kanak, dan sesetengahnya menjaga ibu bapa yang tua dan/atau lemah. Gaya hidup begini memberi tekanan yang tinggi, dan oleh sebab wanita lebih cenderung menumpukan untuk menjaga orang lain sehingga mengabaikan keperluan diri sendiri, mengakibatkan peningkatan tahap tekanan mereka.

Kesemua ini menyumbang kepada kecenderungan wanita terhadap masalah kesihatan mental seperti kemurungan yang menjejaskan kira-kira 20% wanita di sepanjang hayat mereka, berbanding 10% bagi lelaki.

Tambahan pula, ketika seorang wanita melahirkan seorang bayi, ia merangsang pelbagai emosi keseronokan, kegembiraan, ketakutan, dan kebimbangan. Malah perubahan hormon yang disebabkan oleh keguguran juga boleh merangsang semua perasaan yang kuat dan ia boleh mengakibatkan ‘perasaan tidak menentu selepas melahirkan anak’ atau ‘postpartum blues’ (PPB).

Sekiranya tidak dirawat, keadaan ini akan menjadi bertambah parah, sehingga ia boleh diklasifikasikan sebagai kemurungan selepas bersalin atau ‘postpartum depression’ (PPD). PPD tidak menggambarkan kecacatan atau kelemahan.

Walaupun PPD bukan kebiasaan di Malaysia, ia wujud dan adalah penting untuk anda dan pasangan bukan sekadar menyedari tentangnya, malah mengetahui bagaimana untuk mengenalpasti tanda-tanda agar lebih bersedia untuk menghadapinya sekiranya ia berlaku.

Ketika ini, insiden kemurungan postpartum di Malaysia adalah rendah dan ia dianggarkan sebanyak kira-kira 4%.

Bahaya PPD

Walaupun PPB (post partum blues) adalah biasa dan boleh berlanjutan untuk beberapa hari sehingga dua minggu, ia boleh membawa kepada PPD, yang boleh menjadi lebih sukar untuk dikenal pasti.

PPD boleh membawa kepada gangguan aktiviti harian. Ini dengan mudahnya akan membawa kepada konflik sosial dengan keluarga dan rakan, yang seterusnya akan membawa kepada si ibu diasingkan atau mungkin mengasingkan diri sendiri, sekaligus memburukkan lagi keadaan dirinya. Sekiranya terdapat anak-anak lain, mereka akan turut dipengaruhi dengan keadaan si ibu yang seterusnya akan membawa kepada pengaruh negatif terhadap perkembangan psikologikal dan intelektual mereka.

Dalam kes ekstrem, PPD boleh membawa kepada ‘Postpartum Psychosis’. Ia dikenali dengan fikiran psikotik, delusi, halusinasi dan perolakan yang boleh menyebabkan kesukaran kepada ibu untuk mengawal apa-apa dorongan untuk membahayakan diri sendiri atau orang lain (termasuk anak mereka sendiri). Satu kes ‘Postpartum Psycosis’ terkenal adalah Andrea Yates dari Texas yang melemaskan kelima-lima anaknya pada tahun 2001.

Implikasi:

  • Bahaya terhadap bayi dan ibu.
  • Hilang hubungan emosi dengan bayi.
  • Kualiti hidup ibu yang menghidapi PPD lemah.
  • Masalah hubungan di antara pasangan dan ahli keluarga yang lain (akan berlaku salah faham/ragu-ragu terhadap sikap ibu yang menghidapi PPD, terutamanya apabila tiada sesiapa yang mengetahui si ibu sakit dan memerlukan bantuan profesional).
  • Fikiran membunuh diri.

PPD tidak mendiskriminasi

PPD boleh berlaku kepada semua, tidak mengira bangsa, etnik, umur, budaya, pendidikan, dan ia tidak mengira sama ada anda adalah seorang ibu baru atau telah mempunyai beberapa orang anak. Walaubagaimanapun, sekiranya anda mempunyai faktor-faktor berikut maka anda lebih cenderung untuk menghidap PPD.

  • Kurang sokongan emosi atau kewangan daripada keluarga/pasangan
  • Sejarah kemurungan keluarga
  • Sejarah kemurungan atau kemurungan sewaktu mengandung pada masa lalu
  • Masalah dalam hubungan rapat
  • Tidak cukup tidur
  • Serangan PPB yang teruk
  • Masalah peribadi atau kerja

Mengenali PPD

Perkara paling penting yang perlu diingat adalah bahawa Post Partum Depression (PPD) boleh dirawat. Langkah pertama adalah dengan mengenalpasti PPD dan merawatinya. Satu cara yang mudah untuk mengenalpasti adalah dengan mengambil satu soal selidik mudah yang dipanggil Skala Kemurungan Selepas Bersalin Edinburgh (EPDS). Jumlah skor dikira dengan menambah semua nombor yang anda bulatkan untuk setiap 10 soalan. Skor yang melebihi 13 menunjukkan penyakit kemurungan, tetapi untuk diagnosis yang sebenar, adalah penting untuk berjumpa doktor.

S1 Saya boleh ketawa dan melihat sudut lucu sesuatu benda.

Skor

0 Seberapa banyak yang saya selalu boleh

1 Tidak berapa banyak sekarang

2 Semestinya tidak berapa banyak sekarang

3 Tidak sama sekali

S2 Saya menanti keseronokan terhadap banyak perkara.

Skor

0 Seberapa banyak saya pernah lakukan

1 Agak kurang dari kebiasaan

2 Semestinya kurang dari kebiasaan

0 Susah sama sekali

S3 Saya secara tidak wajar menyalahkan diri sendiri apabila perkara menjadi tidak betul.

Skor

3 Ya, selalunya

2 Ya, kadang-kadang

1 Tidak terlalu kerap

0 Tidak pernah

S4 Saya cemas atau risau tanpa sebab yang kukuh.

Skor

0 Tidak sama sekali

1 Jarang

2 Ya, kadang-kadang

3 Ya, kerap kali

S5 Saya berasa takut atau panik tanpa sebab yang kukuh.

Skor

3 Ya, agak kerap

2 Ya, kadang-kadang

1 Tidak sangat

0 Tidak sama sekali

S6 Banyak perkara makin membebani saya.

Skor

3 Ya, kebanyakan masa saya tidak dapat menanganinya

2 Ya, kadang-kadang saya tidak dapat menanganinya seperti biasa

1 Tidak terlalu kerap

0 Tidak sama sekali

S7 Saya berasa tidak gembira apabila mengalami kesukaran untuk tidur.

Skor

3 Ya, kebanyakan masa

2 Ya, kadang-kadang

1 Tidak terlalu kerap

0 Tidak sama sekali

S8 Saya berasa sedih atau muram.

Skor

3 Ya, kebanyakan masa

2 Ya, agak kerap

1 Tidak terlalu kerap

0 Tidak sama sekali

S9 Saya berasa sangat tidak gembira setelah menangis.

Skor

3 Ya, kebanyakan masa

2 Ya, agak kerap

1 Hanya kadang-kadang

0 Tidak sama sekali

S10 Saya pernah terfikir untuk mencederakan diri sendiri.

Skor

3 Ya, agak kerap

2 Kadang-kadang

1 Jarang

0 Tidak pernah

Anda juga perlu berhati-hati dengan gejala PPD bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi juga jika anda mempunyai mana-mana ahli keluarga, rakan-rakan mahupun pasangannya yang bersalin baru-baru ini; bantu mereka dengan memerhatikan sama ada terdapat gejala-gejala yang disenaraikan di bawah, dan sekiranya ya, galakkan mereka untuk mendapatkan bantuan profesional. Gejala-gelaja tersebut termasuklah:

  • Berasa tidak boleh atau enggan menjaga bayi anda.
  • Selalu memikirkan perkara-perkara buruk mungkin boleh berlaku terhadap bayi anda.
  • Berfikir untuk menyakiti bayi anda.
  • Perasaan terganggu, tertekan dan kegelisahan.
  • Merasa tidak berguna atau kekecewaan.
  • Kekurangan tenaga atau lesu hampir setiap hari.
  • Tempoh kesedihan/kemurungan yang berpanjangan.
  • Hilang minat/keinginan dalam aktiviti yang menyeronokkan sebelum ini.
  • Keyakinan diri yang rendah.
  • Perasaan membenci diri sendiri.
  • Berfikir membunuh diri.
  • Gangguan tidur.

Berurusan dengan PPD

Apa yang anda boleh lakukan jika anda mengenali tanda-tanda jelas PPD? Ia tidak kira sama ada diri anda, isteri anda, kakak anda, kawan anda atau sesiapa sahaja; apa yang penting adalah untuk anda mengambil inisiatif untuk membantu memberi galakan kepada mereka untuk pergi mendapatkan bantuan profesional bagi meringankan penderitaan mereka.

Kurangkan risiko anda

Dapatkan sebanyak mungkin sokongan sosial sama ada dari pasangan anda, ahli keluarga, dan juga rakan-rakan. Cuba bersenam apabila anda boleh kerana tubuh badan anda akan mengeluarkan endorfin – bahan kimia yang menghasilkan perasaan positif di dalam badan anda.

Harus diingatkan agar tidak melakukan segala-galanya bersendirian; dapatkan pertolongan orang lain untuk membantu menguruskan tanggungjawab menjaga anak yang baru lahir bagi mengurangkan tekanan mental anda. Hadkan pengambilan alkohol dan kafein, dan pastikan untuk memberi perhatian kepada kesihatan mental dan emosi anda. Selain itu, cuba dapatkan rehat sebanyak mungkin untuk mengelakkan kesulitan tidur yang mana ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Pastikan diri anda diperiksa

Jika anda mengesyaki sesuatu yang tidak kena, pertama sekali adalah berunding dengan doktor anda untuk menyediakan senarai semua komplikasi perubatan (yang berkenaan dengan gejala seperti PPD) kerana ia mungkin mempunyai kesan sekunder yang menyebabkan kemurungan. Perkara yang paling baik yang anda boleh lakukan adalah dengan mendapatkan pemeriksaan oleh profesional kesihatan mental bagi mendapatkan diagnosis yang menyakinkan berkenaan keadaan anda.

Rawatan untuk PPD mungkin berbeza mengikut keadaan dan kebiasaannya ia melibatkan sesi kaunseling dan ubat-ubatan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen