Pengasuhan Positif

Utamakan Keselesaan & Keselamatan

Apabila anda hamil, ini tidak bermakna hidup anda telah terhenti. Anda masih mempunyai kerja yang perlu dilakukan di rumah dan bagi kebanyakan wanita, mereka masih perlu pergi bekerja. Ini merupakan satu cabaran untuk membahagikan masa antara waktu bekerja, urusan rumah tangga dan bayi yang sedang membesar di dalam rahim anda di samping memastikan anda sentiasa selamat dan selesa. Baca artikel ini dan kongsi bersama suami anda. Ini dapat memastikan orang yang tersayang turut membantu menjaga anda.

Tangguhkan mengecat

Elakkan daripada terdedah kepada cat yang berasaskan minyak, plumbum, raksa atau bahan-bahan lain yang mengandungi pelarut. Ini bermakna hentikan aktiviti melukis, menampal kertas dinding atau kemasan perabot. Bagaimanapun, jika anda perlu melakukan perkara ini, ambillah langkah berjaga-jaga: bekerja di kawasan yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, pakai pakaian pelindungan dan sarung tangan serta elakkan minum atau makan di kawasan kerja.

Berhati-hati semasa membersihkan rumah

Walaupun tiada kajian yang dijalankan mengenai kesan sampingan bahan kimia dari produk pencuci ke atas wanita hamil, namun langkah berhatihati adalah amalan yang baik. Apabila menggunakan produk yang mungkin mengandungi bahan-bahan toksik, pastikan anda memakai sarung tangan apabila menggunakan agen pembersih kimia dan jangan sesekali menghidu bau yang kuat atau kaustik. Kebanyakan produk pencuci selamat untuk digunakan tetapi elakkan campuran ammonia bersama produk yang mengandungi klorin kerana ia akan menjadi toksik!

Bahaya kotak kumbahan

Minta pertolongan orang lain untuk membersihkan kotak kumbahan binatang peliharaan anda. Najis kucing mengandungi parasit yang berbahaya dan boleh menyebabkan toksoplasmosis (jangkitan darah yang serius dan boleh menyebabkan bayi dilahirkan cacat). Jika anda perlu membersihkan kotak kumbahan itu, pastikan anda memakai sarung tangan dan mengguna topeng mulut dan hidung.

Memakai tali pinggang keledar

Pakailah tali pinggang keledar jika anda menaiki kereta, walaupun untuk perjalanan yang dekat. Kedudukan tali pinggang adalah di antara payudara dan jauh dari leher, serta letakkan tali pinggang di bawah perut dan di atas paha.

Jauhi asap rokok

Asap rokok dapat membahayakan bayi di dalam kandungan anda, jadi, elakkan diri anda daripada kawasan yang tercemar dengan asap rokok. Jika anda mempunyai suami, kawan-kawan atau rakan sekerja yang merokok, beritahu mereka supaya tidak merokok jika mereka bersama anda.

DI TEMPAT KERJA

Kerja di pejabat bermakna anda perlu duduk berjam-jam di satu tempat. Oleh itu, anda memerlukan sebuah kerusi yang selesa – yang mempunyai tempat duduk yang kukuh, tempat letak tangan boleh laras dan kusyen belakang yang dapat menyokong belakang anda. Jangan duduk bersilang kaki. Sebaliknya, gunakan tempat letak kaki untuk menampung kaki anda. Ini dapat mengurangkan ketegangan belakang anda dan kemungkinan untuk mendapat vena varikos.

Adakah pekerjaan anda memerlukan anda berdiri untuk tempoh masa yang lama, mengangkat benda-benda berat atau bekerja mengikut shif? Jika benar, anda mungkin perlu membincangkan perkara ini dengan majikan anda. Anda mungkin perlu bercuti lebih awal atau menyesuaikan sesetengah tugas-tugas anda sepanjang tempoh kehamilan anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen