Anda sudah pastinya rasa teruja untuk mengeratkan lagi hubungan dengan bayi anda, tambahan pula ia merupakan pengalaman pertama anda menjadi seorang ibu. Malangnya, si kecil pula asyik menangis! Nanti dulu, jangan pula anda turut menangis bersamanya.
Janganlah terlalu risau kerana ini adalah perkara biasa. Terdapat pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk menenangkan bayi anda:
- Adakah bayi kelihatan sakit atau tidak selesa? Pastikan bayi tidak terlalu sejuk atau panas Sentiasa periksa lampinnya dan tukar jika perlu. Perhatikan tanda-tanda kesakitan, kenal pasti puncanya (cth gigitan serangga, ruam, jangkitan pada telinga atau kembung perut) dan dapatkan ubat yang sesuai.Susukan bayi. Punca utama bayi menangis pada beberapa bulan pertamanya adalah kerana dia lapar. Susukan bayi mengikut permintaannya biarpun anda perlu menyusukannya sepanjang hari dan malam.
- Dodoikan bayi perlahan-lahan. Pergerakan berirama boleh menenangkan bayi. Dukung bayi di lengan anda dan gerakkan ke depan dan ke belakang secara perlahan. Anda juga boleh mendodoi dengan nyanyian. Mendukungnya dengan perutnya pada dada anda juga boleh menenangkannya
- Peluk bayi. Sekiranya bayi anda ditinggalkan seorang diri terlalu lama atau didukung oleh orang lain, ini akan menyebabkan si kecil meraung untuk mendapatkan perhatian anda. Bayi akan mula berhenti menangis apabila dia berada selamat di dalam pelukan anda.
- Tepuk bayi. Tenangkan bayi dengan menepuk belakang dan punggungnya dengan perlahan. Ini juga akan membantu mengeluarkan angin di dalam saluran ususnya.
- Tarik perhatian bayi. Sekiranya kesemua cara di atas gagal, cuba hiburkan atau tarik perhatiannya.: cuba gunakan kelentong atau rattle, tunjukkan kadkad berwarna, cermin (bayi suka melihat mukanya sendiri) atau buat muka yang melucukan!
Lama-kelamaan, anda boleh mengenalpasti perbezaan tangisan bayi. Sekiranya tangisan bayi terlalu kuat daripada biasa dan berpanjangan, mungkin ia disebabkan oleh masalah tertentu. Percaya kepada naluri anda dan dapatkan bantuan perubatan jika anda fikir bayi anda memerlukannya.
|
Adakah bayi anda mengalami kolik? Sekiranya bayi anda menangis pada masa-masa tertentu, biasanya pada lewat petang, dia mungkin mengalami kolik. Kolik biasanya bermula pada usia tiga minggu dan akan berhenti pada usia 3 bulan. Tangisan bayi tidak dapat diredakan dan mungkin berlanjutan hingga 3 jam lamanya. Walaupun kelihatan agak membimbangkan, kolik bukanlah masalah yang serius. Tenangkan si kecil seboleh mungkin. Minta pertolongan pasangan atau pengasuh untuk membantu dan beri peluang kepada diri anda untuk berehat sekali sekala dalam seminggu. Doktor anda mungkin beri ubat kolik. Urutan bayi juga boleh mengurangkan kekerapan serta kekuatan tangisan bayi yang mengalami kolik. |
Komen