Pengasuhan Positif

Saya Hamil Tetapi Mengapa Masih Lagi “Datang Bulan”?

“Haid ringan” atau tompokan darah semasa hamil boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Adakah anda mengalami keadaankeadaan seperti yang dinyatakan di bawah?

Peringkat Awal Kehamilan

Tompokan merah cair atau tompokan coklat pada awal kehamilan. Juga dipanggil pendarahan implantasi dan ia berlaku apabila telur subur mula mengimplan. Apabila plasenta mula terbentuk di dinding uterus, ia menyebabkan pendarahan.

Implantasi embrio di luar rahim

Apabila kehamilan berlaku di luar rahim, lazimnya di tiub Fallopio, ia dipanggil kehamilan ektopik. Apabila ini berlaku, ia akan menyebabkan tiub itu pecah dan mendatangkan kesakitan pada abdomen dan pendarahan pada faraj. Anda adalah berisiko sekiranya anda pernah hamil di luar rahim, pernah menjalani pembedahan pada tiub Fallopio, pernah beberapa kali mengalami keguguran yang dicetuskan atau mengalami masalah kesuburan.

Pendarahan pada serviks

Sesetengah wanita mungkin mengalami pendarahan selepas melakukan hubungan kelamin kerana pada ketika ini, serviks adalah lembut dan amat sensitif. Elakkan daripada melakukan hubungan kelamin sehingga anda berjumpa dengan doktor untuk memastikan tiada sebarang iritasi berlaku.

Adakah pendarahan tanda keguguran?

Ya, bagi sesetengah kes. Bagaimanapun, separuh daripada wanita yang mengalami pendarahan semasa hamil tidak mengalami keguguran. Kebanyakan keguguran berlaku pada trimester pertama dan menjejaskan 15% ke 20% kehamilan.

Sekiranya anda mengalami pendarahan, segera berjumpa doktor. Jika doktor mendapati anda berkemungkinan untuk gugur, anda dinasihati untuk berehat dan mengambil rawatan tertentu untuk menyelamatkan kandungan tersebut.

Sekiranya doktor mengesahkan anda sudah mengalami keguguran yang tidak lengkap, anda perlu ke hospital untuk membersih dan mengeluarkan tisu-tisu fetus dari rahim.

Peringkat Akhir Kehamilan

Pendarahan dan rasa sakit sebelum atau semasa bersalin

Pendarahan disebabkan perubahan mendadak pada plasenta – pemisahan plasenta dari dinding uterus sebelum atau sewaktu sakit hendak bersalin. Anda berisiko untuk mengalami situasi yang jarang berlaku ini sekiranya anda mengalami tekanan darah tinggi, berumur lebih daripada 40 tahun, mempunyai anak seramai 5 orang ke atas (grand multipara), merokok atau pun mengalami kecederaan pada abdomen.

Pendarahan tanpa rasa sakit

Plasenta previa berlaku apabila plasenta terletak di bahagian bawah rahim dan menutupi serviks secara separuh atau sepenuhnya. Pendarahan plasenta previa merupakan keadaan yang serius kerana ia mengancam keselamatan anda dan bayi dan memerlukan rawatan segera. Anda berisiko sekiranya pernah menjalani pembedahan sesarean dan pembedahan lain pada rahim.

Pendarahan dengan rasa tekanan pada abdomen, sakit belakang badan dan kejang perut

Penyumbat mukus yang menutupi ruang pembukaan uterus boleh menyebabkan pendarahan. Sekiranya anda mengalaminya beberapa minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin, anda mungkin akan bersalin tidak cukup bulan. Anda perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya ia berlaku.

Bersalin Tidak Cukup Bulan

Sebagai persediaan untuk bersalin, serviks akan mula terbuka dan anda mungkin perasan terdapat sedikit mukus berdarah mengalir keluar. Ia dipanggil tanda berdarah dan biasanya berlaku sebelum sakit hendak bersalin yang sebenar.

Sekiranya anda mendapati mukus berdarah ini berlaku sebelum masanya (38 minggu), anda mungkin terpaksa bersalin tidak cukup bulan. Sekiranya ini berlaku, pertimbangan perlu dilakukan untuk keselamatan anda dan bayi sama ada untuk menghentikan proses bersalin atau meneruskannya.

Apa yang perlu saya lakukan?

  • Anda patut memandang serius sekiranya mengalami pendarahan semasahamil. Segera berjumpa dengan doktor.
  • Pakai tuala wanita atau pelapik seluar dalam untuk mengetahui berapa banyak dan jenis pendarahan yang anda alami. Terangkan apa yang anda lihat apabila berjumpa dengan doktor.
  • Jangan memakai tampon atau melakukan semburan yang kuat ke faraj.
  • Elakkan melakukan hubungan kelamin sehingga anda mendapatkan nasihat doktor.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen