Pengasuhan Positif

Perancangan Keluarga

Perancangan keluarga bukan semata-mata untuk menjarakkan kehamilan atau menghadkan saiz keluarga. Ia ialah pelindung kepada kesihatan dan kesuburan, serta meningkatkan kualiti hidup keluarga anda. Dengan peningkatan kos hidup dan pendidikan, pemakanan serta masa riadah menjadi sangat penting, anda dan pasangan anda pasti mahu memastikan setiap anak mendapat yang terbaik yang boleh anda berikan.

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh membantu anda dalam perancangan keluarga. Adalah penting untuk mengetahui pilihan
yang ada sebelum anda dan pasangan anda memilih kaedah yang memenuhi keperluan anda.

BARU MELAHIRKAN ANAK? Perancangan keluarga adalah penting kepada ibubapa baru dan pasangan yang belum memulakan keluarga. Proses kelahiran dan penjagaan bayi memerlukan pengorbanan – fizikal, emosi dan mental. Badan anda perlu rehat dengan secukupnya dan membina semula simpanan nutrisi, manakala anda dan pasangan perlu mencurahkan masa untuk mengenali ahli keluarga yang terbaru.

PIL

Biasanya terdapat dua jenis pil: pil progestin sahaja dan pil kombinasi yang mengandungi estrogen dan progestin. Pil ini perlu diambil setiap hari untuk mengelak kehamilan. Ia selamat, mudah, berkesan dan boleh membantu mengurangkan senggugut dan pendarahan haid yang banyak.

ALAT DALAM RAHIM (IUD)

IUD ialah alat plastic kecil berbentuk T dan dimasukkan ke dalam rahim. Ia berkesan selama 3 tahun (ada yang berkesan sehingga 5 tahun) dan perlu dikeluarkan atau digantikan selepas tempoh masa itu. Sesetengah IUD merembeskan hormon yang membantu mengurangkan masalah seperti pendarahan haid yang banyak.

IMPLAN

Sejenis alat plastik nipis sebesar batang mancis dan mengandungi progestin diselitkan di bawah kulit bahagian lengan. Proses ini mengambil masa beberapa minit dan ia berkesan selama 3 tahun.

SUNTIKAN

Cara ini memerlukan anda menerima suntikan progestin setiap 12 minggu. Walaupun ia sangat berkesan, kesan sampingan yang mungkin berlaku ialah pendarahan faraj yang tidak teratur.

PEMANDULAN

Sekiranya anda dan pasangan anda bercadang untuk tidak mempunyai anak lagi, satu cara ialah ligasi tiub – satu pembedahan yang menutup tiub fallopio supaya sperma tidak dapat sampai ke ovum. Pemandulan lelaki melibatkan vasektomi, iaitu satu pembedahan kecil yang dijalankan dengan bius. Pertimbangkannya dengan teliti sebelum melakukan prosedur ini kerana ia tidak boleh diubah kembali.

Setiap kaedah pencegah kehamilan adalah berbeza. Anda mungkin tidak boleh menggunakan kaedah tertentu disebabkan kesan sampingan mahupun kos. Adalah dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor sebelum menggunakan mana-mana kaedah ini.

Semua yang anda baca – dari pil hingga penyuntikan – merupakan cara pencegahan yang amat berkesan. Cara-cara yang tidak sebegitu berkesan ialah:

KAEDAH PENGHADANG

Kaedah penghadang termasuk menggunakan lateks lembut atau hadangan silikon seperti diafram, penutup atau pelindung yang dimasukkan ke faraj, atau kondom yang dipakai pada zakar sebelum persetubuhan. Kaedah ini merupakan yang paling berkesan sekiranya digunakan bersama krim atau jeli spermisid. Kondom lelaki memberikan perlindungan tambahan dengan melindungi wanita dari terkena jangkitan penyakit kelamin (STD).

KAEDAH BERITMA

Peluang untuk hamil akan berkurang dengan merancang hubungan kelamin sekitar waktu tidak subur dalam kitaran haid anda.

KOITUS TERGANGGU

Kaedah tradisional di mana lelaki mengeluarkan zakarnya dari faraj wanita sebelum memancut mani.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen