Pengasuhan Positif

Menyesuaikan Diri Dengan Mentua

Senario 1

Anda dan suami telah bersetuju untuk tidak menggunakan hukuman fizikal ke atas anak anda tetapi mentua anda mengadu bahawa mereka tidak cukup berdisiplin dan mereka berpendapat anda sebagai ibu bapa adalah terlalu lembut.

Senario 2

Bapa mentua anda mahu membawa anak anda keluar makan aiskrim walaupun sudah lewat malam sedangkan mereka sepatutnya sudah masuk tidur. Anda tidak membenarkan, tetapi dia merungut tentang ‘tidak dapat menghabiskan masa berkualiti dengan cucu-cucunya’. Anda sedar bahawa jika anak anda tidur dengan lewat malam ini, anda akan menghadapi masalah untuk membangunkan mereka keesokan pagi.

Senario 3

Anda memberitahu anak anda bahawa masa menonton TV telah tamat mengikut peraturan rumah yang ditetapkan untuknya. Akan tetapi, mentua anda berpendapat anda tidak patut terlalu tegas. Anda terasa hak kuasa anda sebagai ibu bapa tercabar kerana anda dicanggah di depan anak anda.

Tiga senario ini boleh berlaku sama ada anda baru mendirikan rumah tangga atau bakal merayakan ulang tahun jubli perak perkahwinan anda. Ada kalanya mentua menyibuk, tetapi terdapat cara untuk menangani mereka dan situasi rumit yang ditimbulkan mereka bagi mengekalkan hubungan positif dengan mereka.

Apa Anda Boleh Lakukan

  1. Jangka dan terima hakikat bahawa konflik personaliti akan berlaku. Ingatkan bahawa semua keluarga mengalami proses yang sama. Generasi-generasi berbeza tentu mempunyai idea berlainan. Maka dengar pendapat mentua anda dan pada masa yang sama, luahkan pandangan anda jika anda tidak bersetuju. Kebanyakan masa, niat mentua anda baik walaupun mereka tidak berkomunikasinya dengan baik.
  2. Sedar bahawa anda masih dapat menjalin hubungan yang baik dan sopan dengan mentua anda walaupun tidak bersetuju dengan mereka kebanyakan masa. Kuncinya, belajar cara menyelesaikan percanggahan pandangan secara hormat dan sopan. Sebagai contoh, cubalah jangan menentang mereka di depan awam demi menjaga air muka dan maruah mereka.
  3. Sebagai ibu bapa, anda perlu ingat bahawa diri anda yang perlu membuat keputusan bagaimana anda mahu membesarkan anak anda. Keutamaan perlu diberikan untuk membuat keputusan terbaik untuk anak anda, bukan sematamata demi mangambil hati mentua atau ibu bapa anda sendiri.
  4. Minta pandangan atau pendapat mentua dan sentiasa terbuka kepada idea dan kritikan. Ada kalanya mereka betul. Ia bukan mudah untuk mengakui kesalahan dan menerima kritikan membina mereka.
  5. Sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan mentua. Kenyataannya, mentua memainkan peranan penting dalam kehidupan anak anda dan disebaliknya. Kebanyakan kali anda mungkin tidak bersetuju, tetapi ia penting untuk memberi peluang kepada mentua anda untuk menghabiskan masa berkualiti mereka bersama anak anda.

Anda patut bersyukur jika mendapat mentua yang memahami. Namun, anda perlu menjaga keharmonian dan bekerjasama dengan mereka, sambil menghormati batas sempadan wilayah masing-masing dan mengekalkan komunikasi terbuka. Ingatlah, walau apa pun yang berlaku, mereka tetap sebahagian penting daripada keluarga anda!

Tahukah Anda?

Kalau anda takutkan mentua, anda tidak keseorangan. Ini adalah fobia biasa, dinamakan sokerafobia, yang ditakrifkan sebagai “takutkan mentua secara berterusan, abnormal dan tidak wajar”, dan menyebabkan ramai orang tertekan tanpa sebab.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen