Hasil penyelidikan mendapati kebanyakan perkahwinan yang berakhir dengan perceraian sebenarnya boleh dicegah – jika pasangan meluangkan lebih banyak masa mempelajari cara untuk menghidupkan kembali keintiman perkahwinan. Tidak dapat dinafikan apabila masa berlalu, hubungan yang paling intim sekalipun boleh renggang, terutama selepas menimang cahaya mata. Ibu bapa mungkin menumpukan segala perhatian kepada anak mereka, sehingga melupakan pasangan dan keperluannya. Ini menyebabkan si pasangan terasa seperti tidak diperlukan lagi, justeru wujudnya rekahan hubungan. Jika tidak ditangani, rekahan kecil boleh membesar, menyebabkan keruntuhan rumah tangga, lantas membuat anda sedih dan kesal di kemudian hari.
Mengukuhkan hubungan intim memerlukan usaha. Bukan mudah untuk memastikan rumah tangga bahagia dan penuh kasih sayang setiap masa. Namun begitu, terdapat pelbagai idea yang boleh membantu membina hubungan yang bahagia. Pastikan anda cuba idea ini atau tambah idea sendiri untuk menjadikannya lebih menarik.
Berbual Seperti Masa Bercinta Dulu
Kegagalan komunikasi ialah faktor pertama yang mengundang keretakan dalam rumah tangga. Suami isteri yang tidak lagi bercakap sesama sendiri tidak lagi prihatin terhadap satu sama lain. Jangan biarkan perkara ini berlaku. Berbicaralah dengan pasangan tentang matlamat peribadi, hubungan dan keluarga. Kongsi matlamat bersama untuk menjamin ikatan perhubungan yang erat walaupun sudah lama berkahwin. Masa perbualan tersebut menunjukkan penghargaan yang boleh merapatkan hubungan dan menguatkan ikatan emosi.
Keluar Bersama
Jangan asyik memberi tumpuan kepada anak-anak dan kerjaya; luangkan sedikit masa untuk keluar berdua-duaan seperti dulu! Amalkan rutin keluar bersama satu malam setiap minggu. Sebagai suami isteri, anda memerlukan masa peribadi ini untuk berbual, berkongsi pandangan dan mengeratkan lagi hubungan. Tinggalkan anak-anak di bawah jagaan orang yang anda percaya agar dapat menikmati saat manis tanpa khuatir. Lakukan sesuatu yang disukai bersama, sama ada bersiar-siar di sekitar taman atau kunjungi restoran kegemaran anda. Lakukan sesuatu yang tidak disangka untuk membuatkan pasangan anda teruja.
Luahkan Perasaan Cinta
Sering kali, kita tidak lagi meluahkan perasaan cinta selepas lama berkahwin. Untuk menghidupkan kembali keintiman, cari semula maksud sebenar cinta. Beritahu pasangan anda tiga perkara yang anda sukakan tentangnya dan minta dia melakukan yang sama untuk anda. Pelajari cara untuk menghargai satu sama lain. Usahakan sesuatu yang bermakna biarpun kecil bagi menonjolkan kasih dan sayang anda terhadapnya. Selitkan nota dalam beg kerjanya atau hantar pesanan teks sesekali semasa dia bekerja.
Hubungan Fizikal
Untuk memastikan bahtera rumah tangga terus kukuh, anda seharusnya tertarik secara fizikal terhadap pasangan anda. Perkara pertama yang boleh dilakukan ialah memeluk pasangan dan memberikan kucupan intim setiap hari untuk mencetus kembali keghairahan bercinta. Pastikan saat itu benar-benar sensual. Kucupan membawa keintiman yang lebih erat, menghidupkan semula perasaan anda terhadap satu sama lain! Keintiman nyata mengukuhkan cinta dan menyemarakkan kasih sayang.
Bercuti Bersama
Rancang percutian hujung minggu, sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Kajian menunjukkan suami isteri yang bercuti walaupun sekali setahun mendapati hubungan semakin erat. Gunakan masa bercuti untuk membelai jiwa dan raga, menghidupkan keintiman dan mengukuhkan hubungan dengan pasangan sambil menikmati masa berkualiti bersama. Tinggalkan anak dengan pengasuh atau biarkan mereka menghabiskan masa bersama datuk dan nenek mereka. Jangan rasa bersalah meluangkan masa berdua-duaan – memang sukar untuk menenangkan perasaan jika asyik memikirkan tentang anak-anak sahaja.
Komen