Kelahiran cahaya mata anda mungkin membawa perubahan dalam hubungan suami isteri. Berikut adalah petua untuk menguruskan perubahan ini dengan lebih baik.
Apabila anda bergelar ibu atau bapa, keeratan hubungan anda dengan pasangan anda pasti berubah. Kebanyakan hubungan pasangan akan mengalami ketegangan selepas kelahiran bayi. Malah penyelidikan telah menunjukkan secara konsisten bahawa terdapat tempoh tertentu di mana kepuasan kelamin akan berkurangan sambil ibu bapa baru ini menyesuaikan diri dengan tugas baru mereka. Anda boleh mempelajari cara anda boleh mengatasi “cabaran” kecil ini dan mengukuhkan lagi rumah tangga anda.
Mengapa?
Beberapa sebab yang boleh menyebabkan kerenggangan hubungan suami isteri di peringkat awal menjadi ibu bapa adalah:
- Kurang meluangkan masa bersama pasangan.
- Perubahan corak komunikasi.
- Jangkaan tidak realistik antara pasangan.
- Kemurungan selepas melahirkan anak dan rasa rendah harga diri.
Keeratan Hubungan Penting
Hubungan yang sihat dan erat antara ibu bapa banyak mempengaruhi perkembangan emosi, kognitif dan tingkah laku anak yang banyak belajar dengan melihat tingkah laku ibu bapanya. Cubalah petua cara berikut untuk membantu anda menunaikan tanggungjawab baru anda sambil mengekalkan keeratan hubungan bersama pasangan anda:
- Pikul tanggungjawab bersama. Dua adalah lebih baik daripada satu, maka jalankan tanggungjawab keibubapaan bersama. Sebagai contoh, mandikan anak bersama. Langkah berkongsi saat manis dengan si manja mengukuhkan ikatan kasih dengan pasangan anda.
- Lebih berkomunikasi. Lebih kerap anda berdua berkomunikasi, lebih baik hubungan anda berdua. Komunikasi membantu menjelaskan kehendak satu sama lain dan mengurangkan pertikaian antara anda berdua. Jangan pendamkan perasaan anda. Jika anda rasa tidak selesa untuk menyuarakan perasaan anda, cubalah cara lain dengan menuliskannya. Pasangan anda berhak mengetahui perasaan anda.
- Hidupkan semula saat manis sebelum berkahwin. Pergi berjalan-jalan bersama, seperti masa berpacaran dulu. Rancangkan makan malam bersama yang romantik di restoran kegemaran atau tonton filem komedi romantik di panggung wayang. Berikan kejutan kepada pasangan dengan nota kasih atau sejambak bunga. Sentiasa menikmati saat manis bersama pasangan walaupun selepas bayi anda dilahirkan untuk mengeratkan hubungan suami isteri.
- Jaga diri anda. Pemulihan daripada kelahiran mengambil masa dan tidak selalu berlaku secepat dijangka. Amalkan gaya hidup sihat bersama pasangan anda dengan senaman ringan dan makan secara sihat. Ataupun cuba teknik menenangkan diri. Ibu bapa yang sihat akan berasa gembira dan itulah yang diperlukan oleh bayi anda.
- Jadi realistik. Jangan tentukan harapan yang terlalu tinggi dan awal pada diri atau cuba memenuhi semua harapan pasangan anda. Terangkan kepada pasangan anda untuk memahami anda tidak dapat menanggung tugas dan tanggungjawab dan perlukan bantuan, terutama jika anda berdua masing-masing sibuk selepas kelahiran.
- Dapatkan bantuan daripada orang lain. Berbual dengan orang lain boleh membantu. Jika anda tidak selesa berkongsi pengalaman anda dengan kawan atau saudara-mara, dapatkan bantuan daripada kaunselor atau pakar terapi. Mereka dapat membantu anda memahami ketidakselesaan anda dan berasa lebih baik dengan diri sendiri.
Tak Cukup Masa?
Kelahiran bayi anda mungkin menandakan kekurangan masa untuk diri sendiri dan pasangan. Berikut adalah beberapa petua untuk meraih lebih masa bersama pasangan anda:
- Dapatkan bantuan! Minta orang lain menjaga anak anda sambil anda suami isteri keluar untuk mengeratkan hubungan. Pada mulanya anda mungkin terasa berat hati meninggalkan anak anda, tetapi hargai masa ini sebagai masa yang layak anda nikmati.
- Rebut peluang. Jangan buka televisyen atau memberi tumpuan kepada kerja setiap kali si manja anda tidur. Sebaliknya gunakan masa ini untuk ‘berdua-duaan’ dengan pasangan atau makan bersama. Anda boleh mencari masa dengan cara mudah sebegini.
- Tunjukkan keprihatinan. Sedikit usaha seperti meninggalkan ‘nota kasih’ atau memberikan pelukan dan kucupan setiap hari boleh membantu mengeratkan hubungan. Ini tidak memakan masa, tetapi boleh meninggalkan kesan yang ketara dalam fikiran pasangan.
Komen