Pengasuhan Positif

Menangani Masalah Ketidaksuburan

Dalam rencana ini, kami akan memberi tumpuan kepada pelbagai intervensi perubatan yang tersedia ada untuk merawat ketidaksuburan jika anda masih gagal untuk hamil setelah mencuba selama satu tahun.

Mengambil langkah pertama

Sebelum memulakan rawatan bagi ketidaksuburan, ia adalah penting supaya anda berbincang dengan pasangan anda sejauh mana kesediaan anda. Sebagai contohnya, anda mungkin hanya mahu mencuba ubat-ubatan dan bukannya pembedahan. Ia perlu diperhatikan bahawa rawatan untuk ketidaksuburan adalah agak mahal, jadi anda harus jelas tentang kos untuk ubat-ubatan dan prosedur ini. Terdapat beberapa faktor risiko dan komplikasi yang perlu dipertimbangkan apabila anda menilai rawatan kesuburan yang berbeza.

Merawati masalah ketidaksuburan

Rawatan untuk ketidaksuburan bergantung kepada puncanya, tempoh ketidaksuburan, umur kedua-dua pasangan, dan pelbagai pilihan peribadi. Ketidaksuburan boleh dirawat dengan ubat-ubatan, pembedahan, permanian beradas atau teknologi reproduktif bantuan (ART).

  1. Rawatan untuk lelaki
  2. Menangani masalah ketidaksuburan di kalangan lelaki termasuk rawatan untuk:

    • Masalah seksual
    • Banyak kes disfungsi seksual pada lelaki boleh diperbetulkan dengan merawati masalah fizikal atau psikologi yang mendasarinya. Rawatan untuk mati pucuk atau ejakulasi pramatang boleh dibantu dengan menggunakan ubat-ubatan, terapi tingkah laku atau suplemen hormon (terapi penggantian hormon testosteron).

    • Kekurangan sperma atau pergerakan sperma
    • Analisis air mani akan dijalankan untuk melihat sama ada sperma adalah sihat atau jumlah sperma adalah mencukupi. Jika bilangan sperma adalah sedikit atau semen tidak mengandungi sperma akibat sistem pembiakan lelaki yang tersumbat, maka pembedahan boleh dijalankan untuk membetulkan masalah tersebut. Dalam sesetengah kes, doktor akan mengeluarkan sperma terus dari saluran reproduktif lelaki untuk proses permanian.

    • Ketidakseimbangan Hormon
    • Dalam kes-kes yang jarang berlaku seperti ini, rawatan dengan ubat-ubatan atau hormon boleh membantu memulihkan penghasilan sperma pada lelaki.

  3. Rawatan untuk wanita
  4. Pendekatan yang melibatkan isu ketidaksuburan di kalangan wanita termasuk rawatan untuk:

    • Masalah ovulasi
    • Ubat kesuburan adalah rawatan utama bagi masalah ini kerana ubat ini bertindak seperti hormon semula jadi untuk merangsangkan ovari untuk melepaskan telur dan mencetus ovulasi. Jika anda mengalami satu keadaan yang dikenali sebagai Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), doktor anda mungkin memberi anda ubat kesuburan atau menjalankan pembedahan Laparoskopik seperti penggerudian ovari (mewujudkan lubang pada kulit luar ovari yang menebal untuk membolehkan ovulasi). Jika ubat tidak berkesan, langkah yang seterusnya ialah suntikan hormon yang melibatkan suntikan harian yang berturut-turut pada permulaan edaran haid anda. Ia mungkin mendatangkan beberapa kesan sampingan, oleh itu anda harus berbincang dengan doktor anda untuk sebarang rawatan.

    • Tiub fallopio yang tersumbat atau rosak
    • Jika doktor mendapati bahawa tiub fallopio anda adalah tersumbat atau rosak dan menghalang telur daripada disenyawakan oleh sperma, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan tiub untuk membetulkan kerosakan tersebut. Bagi sumbatan tiub yang lebih teruk, doktor anda mungkin akan mencadangkan untuk melangkau pembedahan tiub dan menjalankan persenyawaan In-vitro (IVF). Ini mungkin memerlukan pengeluaran tiub terlebih dahulu.

    • Ketidaksuburan yang belum dikenalpasti puncanya
    • Jika doktor tidak dapat mengenalpasti punca ketidaksuburan, maka ubat kesuburan atau suntikan hormon mungkin akan digunakan untuk merawat masalah ini. Namun, pada peringkat ini, doktor mungkin mengesyorkan permanian beradas, iaitu meletakkan sperma terus ke dalam rahim untuk meningkatkan peluang anda untuk hamil.

    • Endometriosis
    • Jika ketidaksuburan anda adalah disebabkan oleh endometriosis (pertumbuhan tisu endometrium pada bahagian lain badan), doktor mungkin menggunakan ubat-ubatan atau menjalankan pembedahan Laparoskopik untuk membuangkan ketumbuhan tisu endometrium. Jika pembedahan tidak berkesan, ataupun anda mengalami endometriosis yang teruk, anda boleh mempertimbangkan ART.

Pilihan rawatan lain

Pilihan rawatan lain yang boleh anda pertimbangkan jika ubat atau pembedahan tidak berkesan termasuk:

  1. Permanian beradas (IUI) – Prosedur ini meletakkan sperma suami yang telah dibasuh secara khas ke dalam rahim isteri melalui leher rahim sebagai prosedur pesakit luar. Kos IUI adalah jauh lebih rendah daripada IVF.
  2. Teknologi reproduktif bantuan (ART) – Ini termasuk IVF (Persenyawaan In-vitro), GIFT (Pemindahan Gamet Intrafallopian), ZIFT (Pemindahan Zigot Intra-fallopian) dan ICSI (Suntikan Sperma Intracytoplasmic). IVF merupakan bentuk ART yang paling lazim digunakan hari ini.

Sebelum anda membuat keputusan tentang rawatan untuk ketidaksuburan, ia adalah dinasihatkan supaya anda dan pasangan anda mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan. Kebanyakan pasangan bermula dengan berjumpa dengan pakar obstetrik-ginekologi. Oleh kerana ketidaksuburan adalah satu bidang perubatan yang lebih teknikal, bincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui sama ada anda perlu berjumpa dengan seorang pakar perubatan.

Maklumat mengenai kesuburan juga boleh didapati daripada laman web Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) website www.ogsm.org.my

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen