Pengasuhan Positif

Menambah Berat Badan Secara Sihat

Jika anda telah mengikuti rencana-rencana tentang diet dan pemakanan yang berkhasiat dalam Positive Parenting Magazine, anda tentu sudah tahu bahawa kepercayaan tentang ‘memakan untuk dua orang’ (eat for two) ketika hamil adalah tidak benar langsung. Secara teknikal, anda sememangnya sedang makan untuk dua orang – tetapi jangan lupa bahawa ‘orang kedua’ ini adalah jauh lebih kecil daripada anda!

Berapakah pertambahan berat badan yang sesuai untuk saya?

Secara purata, wanita yang berada dalam lingkungan berat badan yang sihat untuk ketinggian mereka harus menambah kira-kira 12.5 kg pada keselurahan masa kehamilani.

Pada keseluruhannya, anda harus menambah 0.5 kg setiap bulan bagi lima bulan yang pertama dan 0.5 kg setiap minggu seterusnyaii. Jumpalah pakar obstetrik anda atau pakar diet untuk nasihat tentang apa dan berapakah jumlah makanan yang hendak dimakan bagi mencapai kadar tambahan berat badan ini.

Berat badan yang berlebihan pada ibu mengandung adalah berkaitan dengan kecacatan pada bayi terutama sekali kecacatan tiub saraf; komplikasi ketika bersalin dan melahirkan anak; kematian janin dan neonatal; tekanan darah tinggi pada ibu; diabetes dan kelahiran bayi yang bersaiz terlalu besar berbanding usia kehamilan. Manakala penambahan berat terlalu kurang mungkin mendedahkan bayi kepada risiko kelahiran pramatang dan berat lahir berkurangan.

Menambah berat badan dengan cara yang sihat

Kini anda tahu bahawa anda tidak sepatutnya memakan dua kali ganda kerana hamil, pertimbangkan petua-petua berikut untuk menambah berat badan secara sihat ketika hamil:

  • Jika anda berada di luar lingkungan berat badan yang sihat sebelum hamil, sama ada terlebih berat atau kurang berat, anda harus beringat bahawa pertambahan berat badan anda perlu kurang atau lebih daripada jumlah yang disyorkan di atas. Pakar diet boleh membantu anda merumus suatu rancangan diet yang akan memastikan anda menambah berat badan dengan betul.
  • Makan makanan seimbang dengan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar, bersama sekurang-kurangnya 2 cawan susu rendah lemak setiap hari (atau produk tenusu seperti keju dan yogurt).
  • Anda boleh mengelakkan pedih hulu hati dan serangan gastrik dengan memakan makanan ringan yang sihat di antara waktu-waktu makan, atau makan dengan sedikit tetapi kerap.
  • Jika anda sering rasa mual dan kerap muntah, gantikan cecair yang hilang dengan meminum air, jus buah-buahan perahan segar yang tidak bergula atau susu.
  • Awasi pertambahan berat badan anda di rumah dengan menimbang diri sendiri sekali atau dua kali seminggu pada waktu yang sama setiap hari, iaitu sebelum sarapan atau sebelum tidur. Pakailah pakaian jenis ringan dan gunakan penimbang yang sama setiap kali menimbang berat badan anda.

Penting: Jika secara tiba-tiba pertambahan berat anda lebih daripada biasa dan terasa kembung yang tidak normal, hubungilah doktor anda dengan segera. Penahanan air dalam badan adalah sesuatu yang biasa dalam kehamilan, tetapi ia juga menandakan pra-eklampsia, suatu keadaan tekanan darah tinggi ketika hamil yang memerlukan perhatian perubatan.

Kemanakah perginya berat badan yang berlebihan

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa berat badan perlu bertambah dengan banyak jika akhirnya berat badan bayi hanya lebih kurang 3 kg sahaja. Pertambahan berat badan yang selebihnya akan ke bahagian-bahagian berikut:

  • Uri, satu organ unik yang terdapat di rahim yang menghubungkan bayi dengan anda serta membolehkan anda membekalkan bayi anda dengan segala yang diperlukannya untuk membesar. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, uri yang tidak digunakan lagi akan terkeluar dari badan anda.
  • Bendalir amnion, sejenis bendalir jernih di dalam mana bayi bergantungan ketika hamil. Ia membantu untuk menyokong tubuh bayi dan melindunginya dari sebarang kecederaan ketika anda bergerak atau tersentak secara tiba-tiba.
  • Tisu payudara (buah dada), yang akan membesar sebagai persediaan untuk penyusuan.
  • Bekalan darah, yang akan bertambah untuk memenuhi keperluan anda dan bayi. Tatkala badan anda membesar, anda memerlukan lebih banyak darah untuk beredaran dalam badan. Dan ketika bayi membesar serta berkembang, dia memerlukan darah yang lebih banyak juga.
  • Penyimpanan lemak – ini merupakan sumber tenaga yang terbaik untuk badan, dan banyak diperlukan apabila tiba masanya untuk bersalin. Susu badan juga mengandungi banyak lemak yang diambil dari ‘stok’ simpanan badan.
  • Pengembangan rahim, sesuatu yang diperlukan dalam kehamilan. Semakin bayi membesar, rahim juga turut ‘membesar’ untuk menampung saiz bayi. Ini menyebabkan pertambahan berat badan.

Kesemua ini merupakan sebab-sebab mengapa anda tidak harus menghalang pertambahan berat badan semasa hamil. Jika anda menghadkan pengambilan sesetengah makanan, anda mungkin akan menjejaskan perkembangan bayi atau sebaliknya badan anda mungkin akan menggunakan simpanannya untuk diberikan kepada bayi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen